ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  KEMATIAN WANITA DI JOHOR BAHRU ADALAH DISEBABKAN OLEH MASALAH JANTUNG, BUKANNYA PENCEMARAN

Sunday 07/07/2019



KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk mengenai isu tular di media sosial pada 6 Julai 2019 yang melaporkan ”masalah sesak nafas beberapa hari lalu akibat pencemaran udara di Pasir Gudang membawa kepada terkorbannya seorang ibu”. Wanita yang dimaksudkan adalah merupakan seorang penghidap penyakit kronik terutama penyakit hipertensi (darah tinggi) selama 10 tahun. Pihak KKM ingin mengucapkan takziah kepada suami serta ahli keluarga dan amat bersimpati terhadap apa yang sedang mereka lalui. Namun begitu, adalah dimaklumkan bahawa punca kematian beliau bukan disebabkan oleh insiden pencemaran di Pasir Gudang.

Adalah dimaklumkan bahawa pada 5 Julai 2019, arwah telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru (HSIJB) kerana mengalami gejala kesukaran bernafas dan batuk selama 3 hari, bengkak di bahagian kaki dan demam selama sehari. Beliau telah dimasukkan ke dalam wad, di mana pemeriksaan mendapati arwah berada dalam keadaan akut (acute) iaitu tekanan darah yang sangat tinggi serta kadar pernafasan yang tinggi (sesak nafas). Pasukan perubatan yang merawat telah berusaha sedaya upaya memberikan rawatan kepada beliau, namun keadaan kesihatannya menjadi semakin serius dan telah meninggal dunia pada 6 Julai 2019, jam 4.20 pagi dengan penyebab kematian sebagai Decompensated Heart Failure.

Berdasarkan presentasi klinikal, gejala yang dialami serta hasil pemeriksaan/ujian berkaitan telah menunjukkan beliau mengalami kegagalan jantung dan fungsi jantung yang merudum akibat masalah kesihatan yang kronik. Semakan laporan sediada di HSI Johor Bahru juga mendapati bahawa tiada rekod yang melaporkan arwah pernah mendapatkan rawatan semasa kejadian di Sungai Kim Kim atau sejak 20 Jun 2019 lalu (iaitu apabila terdapat laporan kejadian pelajar sekolah sesak nafas di Pasir Gudang). 

Sekali lagi pihak KKM ingin mengucapkan takziah kepada suami serta ahli keluarga. KKM juga bersedia untuk berjumpa dengan ahli keluarga arwah bagi menerangkan semula penyebab kematian. Orang ramai, pihak media dan juga lain-lain pihak adalah dinasihatkan untuk menghormati perasaan keluarga arwah serta mengelak menyebarkan maklumat yang tidak sahih/benar. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

YB DATUK SERI DR. DZULKEFLY AHMAD
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

7 Julai 2019

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia


UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Baharudin Bin Mohamad
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 dan 017-2635008

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.