ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 27, 2024 -Sabtu

 
  SITUASI TERKINI RABIES DI SARAWAK

Wednesday 09/10/2019




KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Hari Rabies Sedunia disambut setiap tahun pada 28 September sebagai satu usaha meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai kepentingan pencegahan penyakit rabies. Pada tahun ini tema yang dipilih adalah ‘Rabies : Pemvaksinan untuk Menghapuskan’ (Rabies : Vaccinate to Eliminate). Susulan sambutan Hari Rabies Sedunia 2019, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kejadian wabak rabies di Sarawak. 

Wabak rabies di Sarawak yang telah diisytiharkan pada 1 Julai 2017 kini telah memasuki tahun ketiga. Bilangan kes gigitan haiwan khususnya anjing dan kucing masih tinggi dengan purata dari 40 ke 60 kes sehari, pada kadar yang hampir sama seperti pada tahun pertama wabak rabies. Kebanyakan kes gigitan ini boleh dielakkan sekiranya haiwan-haiwan ini dikendalikan dengan baik. Orang ramai khususnya ibu bapa diminta untuk mendidik dan memantau anak-anak bagi memastikan tahap penjagaan kebersihan diri yang tinggi terutama langkah mencuci tangan yang betul selepas berinteraksi dengan haiwan.

Pada tahun 2019 juga, sejumlah besar anjing dan kucing yang menggigit mangsa didapati positif ujian rabies. Berdasarkan laporan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, sehingga 30 September 2019, sebanyak 138 (32.8%) sampel daripada sejumlah 420 anjing dan kucing yang dijalankan ujian adalah didapati positif rabies. 

Pada tahun ini juga, terdapat lima (5) kes disahkan rabies dalam kalangan manusia. Kes terakhir adalah pada 21 Ogos 2019 melibatkan seorang lelaki berumur 64 tahun dari sebuah rumah panjang di Mukah, Sarawak. Pesakit telah digigit oleh anjing yang diambil daripada saudaranya di Kanowit. Kes telah meninggal dunia pada 19 Ogos 2019 semasa dalam perhatian rapi pakar perubatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Bintulu. 

Sejak 1 Julai 2017 sehingga 3 Oktober 2019, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia adalah 21 orang. Kesemua kes telah meninggal dunia kecuali seorang kanak-kanak yang masih hidup dan kini berumur sembilan (9) tahun yang mengalami komplikasi neurologi teruk akibat jangkitan rabies. Kejadian kesemua kes rabies ini boleh dielakkan sekiranya luka gigitan segera dicuci dengan sempurna bagi menghilangkan air liur haiwan. Selanjutnya hendaklah segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan. 

Gigitan atau cakaran anjing adalah punca utama bagi hampir kesemua kes rabies yang dilaporkan. Jangkitan rabies kepada manusia boleh dielakkan melalui imunisasi rabies kepada haiwan tersebut. Pastikan haiwan peliharaan mendapat imunisasi rabies setiap tahun bagi memastikan mereka kekal dilindungi dari jangkitan rabies. Elakkan mengambil atau memelihara anjing yang tidak diketahui status kesihatannya. Lima (5) kes daripada 21 kes rabies terbabit memberi sejarah digigit oleh anjing yang diambil daripada individu lain dengan status vaksinasi rabies haiwan tersebut tidak diketahui. 

Hampir keseluruhan Negeri Sarawak ada melaporkan anjing dan kucing yang didapati positif rabies kecuali Limbang yang masih bebas rabies. Justeru, setiap pemilik bertanggungjawab memastikan haiwan peliharaan mereka telah mendapat imunisasi rabies. Elakkan haiwan peliharaan berkeliaran di luar rumah atau bercampur dengan anjing atau haiwan liar.

KKM ingin menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi saranan dan arahan pihak berkuasa dalam pelaksanaan Program Kawalan dan Pencegahan Rabies bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat Sarawak. 
 
Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
K
etua Pengarah Kesihatan Malaysia

9 Oktober 2019

SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: BAHARUDIN BIN MOHAMAD

Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 dan 017-2635008

--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.