ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

November 21, 2024 -Khamis

 
  CI UMP PELUANG MAHASISWA TAMBAH KEMAHIRAN

Thursday 17/10/2019



PEKAN, 17 Okt (Bernama) -- Pelancaran Confucius Institute Universiti Malaysia Pahang (UMP)  bukan sahaja akan berperanan sebagai sebuah institut bahasa Mandarin malahan ianya juga akan menyediakan silibus pengajaran dan pembelajaran bahasa Mandarin dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang dapat membantu bakal graduan universiti dilengkapi dengan pelbagai kemahiran komunikasi bahasa yang memberi peluang tambah nilai dan penempatan pekerjaan dengan lebih luas buat mereka.

Hadir merasmikan penubuhan Confucius Institute (CI) UMP ialah Setiausaha Bahagian, Perancangan dan Penyelarasan Dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Normah Osman. Hadir sama Naib Canselor UMP, Prof Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Pengarah Kebudayaan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia, Feng Jun, Naib Presiden Hebei University, Prof. Dr. Shen Shigang, Pengarah Confucius Institute China, Prof Gui Fuliang dan Pengarah Confucius Institute UMP, Yong Ying Mei.

Menurut Prof Ir. Dr. Wan Azhar, institut ini akan turut menyediakan ujian kefasihan bahasa Mandarin-Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa kepada seluruh warga Malaysia. Turut disediakan perkhidmatan latihan kepada guru bahasa Mandarin dan menjadi pusat penyelidikan bahan pengajaran bahasa Mandarin.

UMP telah mempunyai Mandarin Language & Culture Centre (MLCC) sejak 8 tahun lalu dengan penganjuran pelbagai kursus bahasa Mandarin dan aktiviti kebudayaan Cina dalam kalangan warga UMP, masyarakat setempat dan komuniti setempat termasuk daripada agensi kerajaan, badan swasta dan industri sehingga berupaya menjadi pusat rujukan utama berhubung kait dengan bahasa Mandarin dan kebudayaan Cina di Pantai Timur.

“Sokongan pihak KPM, Confucius Institute Headquarter (Hanban) dan Hebei University terhadap penubuhan CI UMP ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna kepada seluruh warga universiti untuk meningkatkan inisiatif dan memperluas kerjasama di pentas global agar CI UMP ini terus relevan dan memberi nilai tambah terutamanya buat mahasiswa UMP dan pihak luar,” ujarnya.
 
Selain itu, institut ini juga berperanan menyediakan perkhidmatan pertukaran pelajar UMP ke universiti di negara Republik Rakyat China sebagai usaha untuk memberi pendedahan kepada para mahasiswa terhadap budaya dan amalan kehidupan harian melalui pembelajaran di bilik kuliah, penglibatan kegiatan kebudayaan dan pergaulan masyarakat tempatan.
 
Sementara itu, Feng Jun berkata, terdapat 530 buah CI yang berada di 155 negara dan wilayah di seluruh dunia. Pihaknya yakin hubungan baik China dan Malaysia ini bakal memanfaatkan bidang pendidikan dan budaya menjelang pengumuman tahun 2020 merupakan Tahun Pelancongan dan Kebudayaan di China.

Dalam pada itu, Normah berkata, pihak kementerian amat menghargai usaha UMP dan Hebei University dalam menubuhkan Confucius Institute ini yang memberi nilai tambah kepada seluruh warga universiti dan juga masyarakat setempat. Beliau mengharapkan CI ini sebagai gedung ilmu yang dapat diserlahkan dan disedari kepentingannya kepada para mahasiswa dan masyarakat dalam pertukaran budaya, penjanaan ekonomi dan pengukuhan ilmu pengetahuan dalam bidang Sains dan Teknologi melibatkan dua negara.
 
Setakat ini terdapat empat Confucius Institute di Malaysia. Selain UMP, tiga lagi terdapat di Universiti Malaya, Segi University dan Universiti Malaysia Sabah yang menyumbang terhadap pembelajaran Bahasa Mandarin dan pertukaran kebudayaan dengan negara China.   
 
Sebagai sebagai sebuah universiti teknikal beliau mengharapkan pelbagai peluang hasil penubuhan Confucius Institute ini  melalui perkongsian kepakaran teknikal dan juga perpindahan teknologi, pengetahuan, pembangunan dan penyelidikan  juga pengkomersialan produk dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara. 
 
Selain itu, usaha ini juga bakal menjayakan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa dalam mempromosikan pertukaran bahasa dan budaya selain memacu usaha ke arah menggalakkan program mobiliti mahasiswa serta staf universiti. 
 
Bersempena dengan itu, UMP menganjurkan Festival Seni Budaya Malaysia-China melibatkan pelajar Hebei University yang menampilkan citra warna persembahan kebudayaan dan warisan Cina termasuk kesenian kaligrafi Cina, lukisan, persembahan seni tari Tarian Singa serta seni mempertahankan diri seperti Taichi dan Wushu serta penganjuran forum yang dilihat sebagai medium perkongsian budaya.

Sumber: Universiti Malaysia Pahang
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Mimi Rabita Abdul Wahit
Pegawai Perhubungan Awam dan Media
Universiti Malaysia Pahang
Tel: 09-42450584/ 0199887321
E-mel: mimirabitah@ump.edu.my 

--BERNAMA
 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.