ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  KENYATAAN AKHBAR BERSAMA KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA DAN KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI KEMPEN MINGGU KESEDARAN ANTIBIOTIK SEDUNIA PERINGKAT KEBANGSAAN 2019

Friday 15/11/2019



KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Sambutan Kempen Minggu Kesedaran Antibiotik Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 diadakan pada 14hb November 2019 di Institut Kesihatan Negara, Setia Alam, Selangor. Kempen melalui pendekatan “One health” ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat awam dan profesional berkaitan kesan penggunaan antibiotik yang berlebihan dalam kesihatan manusia dan rantaian makanan terhadap kesihatan sejagat.

Peningkatan kes kerintangan antibiotik (antibiotic resistance) adalah serius dan merupakan salah satu daripada empat isu yang dibincangkan di peringkat tertinggi iaitu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa – bangsa Bersatu (PBB). Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) dan Pertubuhan Makanan berasaskan Pertanian (FAO) dimana pihak pertubuhan tersebut telah mengumumkan kerintangan antibiotik sebagai salah satu daripada isu kesihatan global yang semakin meruncing. Ini menggambarkan betapa besarnya ancaman kerintangan antibiotik kepada kesihatan manusia dan haiwan di seluruh dunia.

Data di Malaysia menunjukkan kerintangan Streptococcus pneumonia iaitu sejenis bakteria yang sering dijumpai dalam kalangan pesakit di komuniti adalah 36% rintang kepada antibiotik Erythromycin. Manakala, bakteria Acinetobacter baumannii yang kebiasaannya ditemui di hospital telah menunjukkan 41% rintang terhadap antibiotik Meropenem, iaitu sejenis antibiotik yang dikhaskan untuk merawat jangkitan yang serius.

Kerintangan antibiotik menyebabkan penurunan keberkesanan antibiotik untuk penyembuhan dalam mengubati penyakit atau jangkitan. Ini kerana jangkitan yang disebabkan oleh bakteria menjadi kebal dimana pesakit seringkali gagal untuk bertindak balas kepada rawatan standard yang menyebabkan penyakit sukar diubati. Situasi demikian boleh meningkatkan risiko kematian serta penyebaran atau penularan penyakit kepada orang lain. Selain itu kerintangan antibiotik juga akan menimbulkan masalah kesihatan kepada haiwan, dimana haiwan yang sakit tidak akan dapat dirawat dengan sempurna. Jika haiwan tersebut adalah ternakan penghasil makanan, maka, apabila berlaku penyakit, sumber bekalan makanan berasaskan ternakan akan berkurangan dan tidak selamat (food safety), seterusnya boleh menyebabkan bekalan makanan terjejas (food security).

Bakteria kebal boleh merebak melalui beberapa cara, contohnya dari individu yang dijangkiti kepada individu lain, dan melalui rantaian makanan seperti pengambilan makanan berasaskan ternakan dan tumbuhan yang tercemar dengan bakteria kebal. Jangkitan juga boleh berlaku apabila manusia atau haiwan terdedah kepada persekitaran yang tercemar, contohnya air dan tanah yang mengandungi bakteria kebal. Selain itu risiko kerintangan antibiotik juga boleh terjadi sekiranya seseorang individu mengambil makanan yang mengandungi residu antibiotik serta tidak mengambil antibiotik secara betul seperti yang disarankan oleh doktor perubatan.

Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama beberapa kementerian lain dan disokong oleh WHO telah menjalankan kajian terhadap bakteria yang dipanggil E.coli dalam kalangan manusia, rantaian makanan dan alam sekitar. E.coli secara amnya adalah bakteria biasa yang wujud di dalam usus manusia dan haiwan. Apabila E.coli menjadi kebal terhadap antibiotik, ia boleh menyebabkan jangkitan serius kepada manusia. Walaupun E. coli jenis kebal sering ditemui pada pesakit di hospital, hasil kajian ini turut menunjukkan bahawa E.coli kebal juga ditemui pada individu yang sihat di komuniti. Kajian juga turut menemukan E.coli kebal dalam usus ayam dari rumah penyembelihan dan di dalam air di persekitaran kawasan yang berpenduduk dan mempunyai aktiviti penternakan haiwan. Semua ini berkemungkinan dikaitkan dengan pencemaran yang berpunca daripada air kumbahan di kawasan tersebut. Kajian juga membuktikan bahawa bakteria E. coli kebal yang ditemui dari pesakit di hospital, dari ayam ternakan serta dari persekitaran didapati saling berkait secara genetik.

Selain daripada pihak berkuasa yang terlibat dalam penggubalan polisi dan garis panduan menangani isu kerintangan antibiotik, profesional kesihatan dan veterinar serta masyarakat awam dan sektor pertanian juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan kejadian kerintangan antibiotik. Oleh itu, antibiotik sewajarnya hanya digunakan untuk penyakit yang disebabkan oleh bakteria, antibiotik tidak diperlukan untuk mengawal jangkitan virus yang menyebabkan selesema biasa, sakit tekak atau demam denggi. Pesakit perlu patuh kepada preskripsi doktor jika diberikan antibiotik. Manakala penggunaan antibiotik untuk tujuan penggalak tumbesaran , atau dalam ternakan yang sihat perlu dielakkan. Malaysia telah mengharamkan penggunaan antibiotik colistin dalam haiwan ternakan dan akan meluaskan senarai antibiotik yang dilarang penggunaan sebagai penggalak tumbesaran pada tahun-tahun akan datang.

Penggunaan antibiotik secara rasional dan berhemah adalah tanggungjawab semua pihak. Kesedaran berkaitan penggunaan antibiotik dengan betul adalah penting demi menjaga kesihatan kita bersama dan juga generasi akan datang.

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Baharudin bin Mohamad 
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia

Tel: 03-88834536 / 017-2635008

--BERNAMA
 


 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.