ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 27, 2024 -Sabtu

 
  KEMENTERIAN MOHON PERTIMBANGKAN KEPUTUSAN MENUTUP KESELURUHAN OPERASI LADANG DAN KILANG SAWIT ENAM DAERAH DI SABAH

Wednesday 08/04/2020



KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ingin menarik perhatian berhubung laporan Bloomberg pada 7 April 2020 mengenai kenyataan Ketua Menteri Sabah semasa temubual dalam Buletin Utama TV3 pada 2 April 2020 untuk meneliti semula dan memberi kata putus terhadap penutupan operasi ladang dan kilang sawit di enam daerah di Sabah. Keputusan itu dijangka akan diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah selepas Mesyuarat Kabinet Negeri pada 8 April 2020.

KPPK sememangnya mengalu-alukan dan menyambut baik langkah tegas yang diambil oleh Kerajaan Negeri Sabah dalam membendung penularan wabak COVID-19 di Negeri Sabah terutama di kawasan-kawasan yang terlibat. Pada masa yang sama, KPPK juga yakin bahawa solusi yang terbaik akan diambil oleh Kerajaan Negeri Sabah demi kepentingan sosio-ekonomi semua pihak yang terlibat.

Dalam hal ini, KPPK berpandangan kenyataan oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan Persatuan Pemilik Ladang Sawit Malaysia (MEOA) pada 7 April 2020 bahawa penutupan operasi ladang dan kilang sawit akan memberi implikasi ke atas sosio-ekonomi masyarakat Sabah mempunyai meritnya dan wajar dipertimbangkan semula oleh Kerajaan Negeri Sabah berdasarkan kes demi kes. Kementerian menyokong penutupan ladang dan kilang sawit dihadkan kepada ladang dan kilang sawit yang pekerjanya disahkan positif COVID-19.

Langkah penutupan operasi ladang dan kilang sawit bukan sahaja memberi implikasi dari aspek ekonomi dan sosial kepada pekerja dan pemilik ladang dan kilang sawit, malah turut memberi kesan kepada hasil pendapatan, khususnya negeri Sabah dan negara secara amnya. Kutipan hasil daripada sektor perladangan sawit adalah amat diperlukan oleh Kerajaan Negeri Sabah dalam membiayai program membendung penularan wabak COVID-19 dan juga memberi bantuan secara langsung kepada rakyat Negeri Sabah yang terjejas semasa dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan.

Selain itu, penutupan operasi ladang dan kilang sawit juga dilihat akan merencatkan dan menjejaskan rantaian pengeluaran bekalan minyak masak untuk keperluan domestik, khususnya di Negeri Sabah.

Bagi mengatasi isu ini, pihak Kementerian ingin mencadangkan supaya ladang dan kilang sawit di enam (6) daerah tersebut khususnya bagi kawasan yang tidak terjejas dengan penularan wabak COVID-19 serta jauh di pedalaman dan terasing daripada kawasan yang terkesan dengan wabak tersebut dapat diteruskan. Ladang dan kilang di kawasan ini dicadangkan beroperasi dengan pematuhan sepenuhnya secara lebih ketat langkah-langkah pencegahan dan Standard Operating Procedure (SOP) yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Untuk makluman, KPPK pada 25 Mac 2020 telah pun mengemukakan surat rayuan kepada Ketua Menteri Sabah supaya mempertimbangkan semula perintah penutupan operasi bagi enam daerah yang terlibat. Selain itu Kementerian melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga telah mengemukakan maklumat dan input yang berkaitan kepada pihak Kerajaan Negeri Sabah dengan harapan satu penilaian dan pertimbangan yang sewajarnya dapat dibuat.

Dalam pada itu, Kementerian sentiasa menasihatkan kepada kesemua penggiat industri sawit negara untuk sentiasa mematuhi perintah kawalan pergerakan termasuk meminimakan tenaga kerja dan pergerakan pekerja dengan menjaga penjarakkan sosial (social distancing) serta mengamalkan penjagaan kebersihan pada setiap masa.

YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
7 April 2020

SUMBER: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Mohd Hilmi Bin Mohd Ali
Pegawai Komunikasi Strategik 1
Unit Komunikasi Korporat (UKK)

Tel: +603-88803325 / +6016-2058311
E-mel: hilmihajiali@mpi.gov.my

 
--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.