ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 16, 2024 -Selasa

 
  PEMBERIAN LANJUTAN TEMPOH PELAKSANAAN PROJEK BAGI SEKTOR PERKILANGAN

Tuesday 16/06/2020



KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Sebagai langkah pro-aktif terhadap keprihatinan Kerajaan untuk memastikan sektor-sektor ekonomi Malaysia terus kekal kompetitif dalam situasi pandemik COVID-19 ketika ini, Pegawai Pelesen, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah bersetuju untuk memberikan lanjutan tempoh pelaksanaan projek kepada syarikat-syarikat yang terlibat di dalam sektor perkilangan di Malaysia yang telah diluluskan Lesen Pengilang di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian, 1975.

Berdasarkan amalan semasa, sesebuah syarikat dikehendaki melaksanakan projek yang diluluskan dalam suatu tempoh seperti yang dinyatakan di dalam Surat Kelulusan Lesen Pengilang. Dengan pelaksanaan mekanisma kelonggaran ini, syarikat secara automatik akan diberikan tambahan tempoh selama 12 bulan lagi untuk melaksanakan projek pengilangan yang telah diluluskan. Lanjutan tempoh 12 bulan ini akan bermula dari tempoh tamat seperti yang telah dinyatakan di dalam Surat Kelulusan Lesen Pengilang syarikat.

Lanjutan tempoh secara automatik ini adalah terpakai bagi syarikat-syarikat yang telah mendapat kelulusan interim atau Lesen Pengilang di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian, 1975 daripada MITI, yang masih belum melaksanakan projek tersebut. Bagi membolehkan syarikat-syarikat yang terlibat diberikan lanjutan tempoh pelaksanaan projek secara automatik, syarikat diminta untuk memohon kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) iaitu agensi yang dipertanggungjawabkan oleh MITI melalui imbasan QR code yang disediakan. Syarikat boleh mengemukakan permohonan ini kepada MIDA bermula dari 16 Jun 2020 sehingga 31 Mei 2021.
 

Kerajaan berharap inisiatif ini akan dapat menyokong dan merangsang sektor perkilangan yang terkesan dengan penularan pandemik ini.

Mengenai MIDA

MIDA adalah agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama Kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyelaras dan menggalakkan pelaburan ke dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA mempunyai 12 pejabat wilayah dan 20 pejabat luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik bagi perniagaan dalam merebut peluang yang timbul dari revolusi teknologi pada era masa kini. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.mida.gov.my dan ikuti kami di saluran Twitter, Instagram dan Facebook, Linkedin dan Youtube. 

SUMBER: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Puan Zakiah Sajidan
Pengarah, Seksyen Pematuhan dan Pemantauan Pelesenan dan Galakan, MIDA
Tel: 03-2267 3500
Email: zakiah@mida.gov.my 

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.