ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 09, 2024 -Khamis

 
  PRA HEALTH SCIENCES MELANTIK PEGAWAI KANAN FDA UNTUK MENGETUAI PUSAT KECEMERLANGAN GLOBAL UNTUK STRATEGI KAJIAN KLINIKAL TERPENCAR

Tuesday 24/11/2020



Dr. Isaac Rodriguez-Chavez membawa pengalaman yang luas dalam pematuhan kawal selia dan metodologi penyelidikan klinikal kepada amalan DCT peneraju industri PRA

RALEIGH, N.C., 24 Nov (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- PRA Health Sciences, Inc. (NASDAQ: PRAH) hari ini mengumumkan pelantikan Isaac Rodriguez-Chavez, PhD, MHS, MS sebagai Timbalan Presiden Kanan, Hal Ehwal Saintifik dan Klinikal. Beliau akan mengetuai Pusat Kecemerlangan Global untuk Strategi Kajian Klinikal Terpencar (Decentralized Clinical Trial, DCT) syarikat tersebut. Tanggungjawab Dr. Rodriguez-Chavez melibatkan pembangunan dan perkembangan berterusan strategi percubaan klinikal terpencar peneraju industri PRA, penghasilan rangka kerja kawal selia dan pemodenan percubaan klinikal.

Dr. Rodriguez-Chavez mempunyai lebih daripada 32 tahun pengalaman dalam virologi, mikrobiologi, imunologi, vaksinologi dan onkologi virus, termasuk penyelidikan asas, praklinikal dan klinikal (fasa I-IV). Dalam jawatan terakhirnya sebagai Pegawai Kanan Metodologi Penyelidikan Klinikal, Kepatuhan Kawal Selia dan Pembangunan Dasar Perubatan bersama Pusat Penilaian dan Penyelidikan Ubat (Center for Drug Evaluation and Research, CDER) Pentadbiran Makanan dan Ubatan A.S., beliau telah mengetuai pembangunan panduan percubaan klinikal terpencar menggunakan teknologi kesihatan digital. Bersama FDA, beliau telah menilai dan memodenkan protokol penyelidikan klinikal yang memberikan impak kepada beberapa bidang penyakit.

“Kami berbesar hati kerana salah seorang perintis percubaan klinikal terpencar dan pakar yang terkemuka dalam pemodenan percubaan klinikal menyertai PRA Health Sciences,” kata Colin Shannon, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif di PRA. “Paradigma pembangunan ubat klinikal terus berevolusi menjadi model yang lebih terpencar agar lebih selaras dengan cara jagaan kesihatan disampaikan kepada individu. Dengan menggandingkan Dr. Rodriguez-Chavez, salah seorang pakar yang terkemuka dalam percubaan klinikal terpencar, dengan platform DCT canggih PRA, kami akan memodenkan proses percubaan klinikal.”

“Saya berbesar hati menyertai PRA Health Sciences untuk mengetuai Pusat Kecemerlangan Global untuk Strategi Kajian Klinikal Terpencar dan membolehkan pelaksanaannya dengan teknologi kesihatan digital baharu,” kata Dr. Rodriguez-Chavez. “PRA Health Sciences memiliki infrastruktur, modal insan dan pengalaman pelopor untuk memberikan kecemerlangan dalam penyelidikan klinikal dan perkhidmatan jagaan kesihatan global. Kami kini mengalami perkembangan pesat penerimaan reka bentuk percubaan klinikal moden dalam bidang ini, termasuk percubaan klinikal terpencar dan saya amat berbesar hati dapat membantu menerajui perubahan ini. Lebih-lebih lagi, PRA Health Sciences turut benar-benar mengetahui keadaan peserta percubaan serta mengambil pendekatan yang betul untuk membantu individu dengan kesihatan mereka menggunakan inovasi terkini dalam sistem penjagaan kesihatan.”

Sebelum bekerja dengan FDA, Dr. Rodriguez-Chavez merupakan pengasas dan CEO 4Biosolutions Consulting dan merupakan Timbalan Presiden untuk Penyelidikan di Institut Penyelidikan Bioperubatan Texas. Sebelum itu, beliau merupakan Pengarah Program AIDS & Pengimunotindasan di Institut Kebangsaan Penyelidikan Pergigian dan Kraniofasial, Institut Kesihatan Kebangsaan (National Institutes of Health, NIH). Dr. Rodriguez-Chavez juga pernah memegang jawatan sebagai Saintis Klinikal Kanan di Schering Plough Corporation dan Pengarah portfolio untuk Vaksin HIV di Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan, NIH.

Dr. Rodriguez-Chavez turut memberikan khidmat kepada komuniti penyelidikan klinikal dalam pelbagai kapasiti, termasuk:

·  Ahli Lembaga Kepimpinan Saintifik Persatuan Perubatan Digital (Digital Medical Society, DiME)
·  Penasihat Kawal Selia Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (Institute of Electrical and Electronics Engineers, IEEE), memfokus pada inisiatif percubaan terpencar menggunakan teknologi kesihatan digital
·  Ahli Majlis Kepimpinan Kesatuan Percubaan & Penyelidikan Terpencar (Decentralized Trials & Research Alliance, DTRA)
·  Ahli Lembaga Persatuan Kardiomiopati Hipertrofi (Hypertrophic Cardiomyopathy Association, HCMA)
·  Menerbitkan 50 artikel saintifik dan teknikal dalam bidang kepakaran beliau
·  Penceramah dalam 68 persidangan global
 
Dr. Rodriguez-Chavez memiliki B.S. dalam Biologi (Venezuela), M.S. dalam Mikrobiologi (Venezuela), M.H.S. dalam Penyelidikan Klinikal (Duke School of Medicine) dan Ph.D. dalam Virologi dan Imunologi (University of Delaware).

Pusat Kecemerlangan Global untuk Strategi Kajian Klinikal Terpencar PRA
Pelantikan Dr. Rodriguez-Chavez merupakan kemuncak kepada pelaburan yang dibuat sejak lebih lima tahun lalu dalam bentuk kakitangan, proses dan teknologi untuk membangunkan Pusat Kecemerlangan Global untuk Strategi Kajian Klinikal Terpencar, pusat rundingan penyelidikan klinikal yang paling mantap dan bersepadu dalam industri ini.

“Fokus kami sejak dahulu lagi adalah mewujudkan ekosistem jagaan kesihatan mudah alih yang inovatif untuk membolehkan penyampaian percubaan klinikal terpencar bagi pihak pelanggan dan penaja kami,” kata Kent Thoelke, Timbalan Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Saintifik di PRA. “Kami berbesar hati Dr. Rodriguez-Chavez menyertai PRA untuk mengetuai usaha tersebut dalam Pusat Kecemerlangan Global kami dan menggunakan kepakaran kawal selia beliau untuk membantu PRA memastikan penyelidikan klinikal menjadi pilihan penjagaan bagi semua pesakit.”

Sejak setahun yang lalu sahaja, PRA telah menggerakkan pelaburan tersebut, memberi penaja dan rakan kongsinya panduan dalam pembangunan strategi percubaan klinikal terpencar dan hibrid, pembangunan protokol dan mendapatkan kelulusan kawal selia. PRA telah menetapkan standard untuk perancangan dan pelaksanaan integrasi teknologi dalam penyelidikan klinikal dan penanda aras berfokuskan percubaan terpencar termasuk:

·  Selain mengaktifkan lebih daripada 50 percubaan klinikal hibrid yang melibatkan teknologi kesihatan digital baharu sejak tiga tahun yang lalu, PRA telah melancarkan percubaan klinikal pencarian petunjuk, mudah alih, terpencar sepenuhnya yang pertama untuk kegagalan jantung pada bulan November 2019. Peserta dalam percubaan yang sedang dijalankan tersebut dapat melibatkan diri menggunakan telefon dan komputer dari rumah mereka sendiri. Kajian ini menggunakan Platform Kesihatan Mudah Alih PRA dan teknologi pintar yang boleh dipakai untuk menilai kualiti hidup peserta dan menjejaki aktiviti fizikal mereka.
·   PRA mengembangkan Platform Kesihatan Mudah Alihnya pada bulan Mac 2020, membolehkan penaja melakukan semua perkara yang boleh dilakukan di tapak klinikal secara jarak jauh. Platform ini termasuk aplikasi mudah alih yang tersedia untuk kegunaan kedua-dua penaja dan peserta apabila melibatkan diri dalam percubaan klinikal. Aplikasi mudah alih ini berkemampuan mengumpul persetujuan termaklum elektronik dan e-tandatangan serta hasil yang dilaporkan oleh pesakit secara lengkap — daripada telefon atau tablet peribadi peserta. Menggunakan peranti yang disambungkan, aplikasi tersebut juga boleh mengumpul data jagaan kesihatan rumah dan menyertakan data tersebut dalam sumber untuk percubaan klinikal.
·   PRA telah mengambil alih Care Innovations pada bulan Januari 2020, peneraju teleperubatan berfokuskan pengguna dan pemantauan peserta percubaan jarak jauh. Bersama, PRA dan Care Innovations telah menggunakan aplikasi Health Harmony untuk melancarkan Program Pemantauan COVID-19 pada bulan Mac. Program yang dipacu oleh aplikasi tersebut membolehkan pekerja, pembayar, penyedia dan sistem jagaan kesihatan menjejaki kesihatan dan kesejahteraan individu yang mungkin tidak mengalami gejala, yang terdedah kepada jangkitan SARS-CoV-2 atau didapati dijangkiti COVID-19.
 
Pusat Kecemerlangan Global untuk Strategi Kajian Klinikal Terpencar menyatukan kepakaran pasukan PRA yang mempunyai pengalaman praktikal untuk melaksanakan penyelesaian berkesan yang diperlukan dengan segera oleh penaja semasa melaksanakan reka bentuk percubaan terpencar dan hibrid. Untuk maklumat lanjut tentang kemampuan dan penyelesaian percubaan terpencar PRA, sila lawati https://prahs.com/decentralized-clinical-trials.

Perihal PRA Health Sciences

PRA Health Sciences merupakan salah sebuah organisasi penyelidikan kontrak global utama melalui pendapatan, menyediakan pembangunan klinikal yang disumber luar dan perkhidmatan penyelesaian data kepada industri bioteknologi dan farmaseutikal. Platform pembangunan klinikal global PRA merangkumi lebih daripada 75 pejabat merentas Amerika Utara, Eropah, Asia, Amerika Latin, Afrika, Australia dan Timur Tengah dan memiliki lebih 17,500 pekerja di seluruh dunia. Sejak tahun 2000, PRA telah mengambil bahagian dalam kira-kira 4,000 percubaan klinikal di seluruh dunia. Selain itu, PRA mengambil bahagian dalam percubaan penting atau sokongan yang berjaya memperoleh kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubatan A.S. atau pengawal selia antarabangsa untuk lebih 95 ubat. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang PRA, sila lawati www.prahs.com.

PERTANYAAN PELABUR: InvestorRelations@prahs.com

PERTANYAAN MEDIA: Laurie Hurst, Pengarah Kanan, Komunikasi dan Perhubungan Awam
hurstlaurie@prahs.com | +1 (919) 786-8435
 


SUMBER: PRA Health Sciences, Inc.

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.