ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 09, 2024 -Khamis

 
  MEREALISASIKAN IMUNITI KELOMPOK MELALUI GERAKAN KOMUNITI

Monday 31/05/2021



BACHOK, 31 Mei (Bernama) -- Pengisytiharan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun dikenali ‘total lockdown’ oleh kerajaan adalah keputusan tepat. 

Ia bukan sahaja dijangkakan boleh mengurangkan kadar kebolehjangkitan, menurunkan kes Covid-19, tetapi juga boleh menjadi usaha untuk merealisasikan imuniti kelompok secara sistematik melalui penyertaan komuniti. 

Apa itu imuniti kelompok? Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), imuniti kelompok atau herd immunity adalah keadaan di mana agen jangkitan tidak dapat memasuki atau tersebar dalam kelompok disebabkan sebahagian besar daripada anggota masyarakat mempunyai imuniti dan terlindung daripada penyebab jangkitan tersebut. 

Sudah pasti berkaitan dengan pandemik Covid-19, cara terbaik untuk mencapai imuniti kelompok adalah melalui kesedaran dan pelaksanaan vaksinasi.

Memandangkan tiada lagi pergerakan bebas dibenarkan sepanjang lockdown nanti, usaha untuk merealisasikan imuniti kelompok mungkin lebih mudah untuk dilaksanakan. Bagaimanakah caranya? Kita pernah didedahkan bahawa peratus rakyat yang tidak hadir dalam janji temu pemberian vaksin adalah tinggi. 

Mereka termasuklah dari kalangan warga emas dan kelompok tercicir yang lain. 

Kita boleh membuat andaian bahawa mereka mungkin berhadapan dengan masalah pengetahuan tentang kepentingan vaksinasi, cakna keperluan pendaftaran, kemaskini tarikh janji temu serta mempunyai masalah berkaitan pengangkutan. 

Apa sahaja sebabnya, ruang dari lockdown ini membolehkan kerajaan mencapai imuniti kelompok dengan memanfaatkan gerakan komuniti. Inilah masanya penggerak komuniti boleh lebih membantu.

Mereka adalah terdiri daripada pemimpin atau ahli organisasi dalam komuniti seperti penggawa, penghulu, pengerusi dan ahli pelbagai peringkat organisasi dalam komuniti, atau apa sahaja nama mereka. 

Termasuklah juga para pemimpin agama dalam komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam komuniti. 

Rasionalnya, mereka bukan sahaja kenal ahli komuniti masing-masing, malah hubungan mereka yang akrab memboleh usaha penyampaian maklumat berkaitan vaksinisasi berlaku dengan lebih berkesan dan tidak terjebak dengan diayah yang prejudis.

Seterusnya mereka boleh membantu komuniti untuk akses kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran.

Penggerak komuniti dianggap sebagai bersedia untuk memikul tugas ini kerana lazimnya mereka mempunyai senarai ahli komuniti masing-masing.

Jika tiada sekalipun, inilah masanya untuk mempraktikkan konsep ‘data terbuka (open data)’, iaitu mereka dibenarkan untuk menggunakan dan menilai kembali data dari pangkalan data sedia ada seperti e-kasih dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, data dari pangkalan data tersebut juga boleh dibersihkan, ditingkatkan dan seterusnya boleh digunakan untuk aktiviti lain di masa hadapan kelak seperti usaha intervensi pengurusan kemiskinan dan peningkatan kesejahteraan komuniti.

Namun, jika konsep data terbuka belum sesuai untuk dilaksanakan, maka inilah masanya untuk memperkasakan penggerak komuniti dengan ilmu pemetaan komuniti.

Mereka mungkin boleh dipertimbangkan untuk dibenarkan bergerak dalam komuniti masing-masing sepanjang tempoh lockdown ini dan sudah pasti dengan koordinasi serta prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Jika ada ahli komuniti yang mempunyai masalah berkaitan pengangkutan untuk ke PPV, maka inilah masanya semua pihak untuk berganding bahu membawa ahli komuniti ke PPV.

Misalnya, agensi kerajaan berkaitan, penggerak di peringkat DUN atau parlimen, boleh menyediakan pengangkutan untuk tujuan vaksinasi. 

Begitu juga dengan penyertaan dari pihak industri, mereka juga boleh menjadi pemangkin kepada usaha yang digerakkan oleh penggerak komuniti. 

Misalnya perkhidmatan teksi, perkhidmatan seru-pandu (e-hailing), dan pengangkutan awam lain. 

Mereka boleh menyediakan perkhidmatan sama ada secara percuma, bayaran minimum atau dengan bantuan subsidi. 

Syukur, perkara ini telah pun dilakukan oleh beberapa pihak dengan SOP tertentu, dan usaha ini perlu diperluaskan lagi. 

Inilah juga masanya pihak industri menunjukkan sokongan penuh kepada usaha kerajaan untuk merealisasikan imuniti kelompok dengan pelbagai pendekatan atau konsep.

Mungkin boleh menggunapakai konsep CSR kebersamaan bersasar untuk menggalakkan lagi penyertaan rakyat dalam program imunisasi vaksin Covid-19. Sudah pasti, manfaatnya juga akan kembali kepada semua. 

Justeru, sempena dengan namanya sebagai imuniti kelompok, adalah wajar ia diterjemahkan dengan penyertaan komuniti melalui gerakan komuniti. 

Usaha begini sudah pasti merupakan salah satu tafsiran yang tepat kepada slogan “kita jaga kita”, iaitu kesedaran dan tindakan bijaksana bersama dalam komuniti untuk mewujudkan imuniti kelompok.

Penulis Prof. Madya Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail adalah Pengarah Institut penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

SUMBER: Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI

Pusat Komunikasi Korporat, UMK
Nama: Encik Mohd Adzwan Bin Kamaruzaman
Tel: 0199811719 
E-mel: adzwan@umk.edu.my

Nama: Syarimie Wosley
Tel: 019 9681001
E-mel: syarimie@umk.edu.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.