ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 20, 2024 -Isnin

 
  WEBINAR "SAINS DAN ISLAM BERTERASKAN AL-QURAN DAN AL-SUNNAH"

Monday 01/11/2021



KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menganjurkan sebuah webinar bertajuk “Sains dan Islam Berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah” secara maya Program ini menampilkan pakar-pakar berautoriti dan berlatarbelakangkan bidang  pengajian Islam dan sains daripada kalangan para ahli bidang bagi membincangkan: (1) hubungan Al-Quran dan Al-Sunnah dengan fenomena alam dan inovasi sains, (2) isu semasa berkaitan sains dari perspektif Al-Quran dan Al-Sunnah dengan fenomena alam dan inovasi sains, dan (3) interaksi  Al-Quran dan Al-Sunnah dengan sains dalam usaha mendepani isu semasa berkaitan sains dalam masyarakat. Webinar ini berlangsung selama sehari dan disiarkan secara langsung kepada umum melalui laman web TVIKIM dan Laman Facebook IKIM.

Penganjuran Muzakarah Pakar ini sebenarnya sebahagian usaha berterusan IKIM dalam mengarusperdanakan pemikiran yang menyepadukan sains tabii dan pengajian Islam. Usaha ini adalah untuk mendepani fahaman ekstrem dalam kalangan masyarakat, iaitu: (1) sekularisme yang menolak peranan agama dalam pembangunan sains dan teknologi, dan (2) fahaman segelintir umat Islam yang melihat ilmu duniawi, khususnya sains, sebagai tidak serasi dengan agama, lantas menolak pelbagai manfaat perkembangan sains dan teknologi.

Webinar ini mengandungi dua sesi. Sesi pertama bertemakan “Tanda-Tanda Kebesaran Allah  dalam Al-Quran”. Sesi ini menampilkan YBhg. Profesor Emeritus Dr. Shaharir bin Mohamad Zain, Felow Kehormat, IKIM; YBhg. Profesor Datuk Dr. Azizan binti Baharuddin, Profesor Kehormat, Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya; YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Yakub @ Zulkifli Bin Mohd Yusoff, Profesor, Jabatan Al-Quran and Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya; YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd. Yusof bin Hj. Othman, Ahli Lembaga Pengarah, IKIM; dan Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen bin Shaikh Mohd Salleh Felow Kanan/Pengarah, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM.

Sesi kedua webinar ini bertemakan “Isu-Isu Semasa Sains dari Perspektif al-Quran dan al-Sunnah.” Antara isu yang diulas adalah berkaitan vaksin menurut kaca mata Islam, inspirasi al-Quran dalam pembangunan teknologi membran untuk merawat bekalan air,  isu penggunaan plastik sekali guna, dan penghayatan fenomena gunung dan hutan menurut sains dan al-Quran. Sesi ini menampilkan Dr. Suhazeli bin Abdullah, Pakar Perubatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia; Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail, Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), merangkap Pengasas, Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTEC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Tuan Jamalullail bin Abu Bakar, Setiausaha Bahagian Pengurusan Alam Sekitar, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA); dan Gs. Dr. Muhammad Hafeez bin Jeofry, Pensyarah, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Webinar ini menyerlahkan beberapa perkara penting berhubung Islam dan sains. Antaranya adalah bahawa: (1) Islam dan sains tabii adalah serasi dan tidak bercanggah antara satu sama lain, (2) al-Quran dan al-Sunnah mengandungi elemen sains yang patut diketengahkan untuk menggalakkan penguasaan sains dalam kalangan umat Islam, (3) wujud keperluan kerjasama erat antara saintis dan pakar agama untuk menyerlahkan hubungan aqli dan naqli, (4) penelitian elemen sains dalam teks wahyu dan alam perlu berteraskan kepada matlamat mengesakan Allah SWT, dan (5) sains dan teknologi dibangunkan menurut acuan agama demi memberikan manfaat kepada masyarakat.

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Pn. Zarita Bt Kasim      
Tel: 017 - 366 1496 
Emel: zarita@ikim.gov.my

Nama: Pn. Suzanahwati Sanil 
Tel: 013 - 228 8992 
Emel: suzana@ikim.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.