ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 20, 2024 -Isnin

 
  85 USAHAWAN MIKRO DI LAWAS MENDAPAT MANFAAT MENERUSI SKIM KREDIT MIKRO SARAWAK (SKMS) BERJUMLAH RM2.02 JUTA

Monday 01/11/2021



Table

Dzulkornain bin Masron, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED menyerahkah replika cek Skim Kredit Mikro Sarawak bernilai RM45 juta kepada Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, sebagai simbolik kerjasama strategik yang terjalin di antara kerajaan negeri Sarawak dan Agrobank, sambil disaksikan oleh YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak.

 
LAWAS, 1 Nov (Bernama) -- Seramai 85 orang usahawan mikro di Lawas, Sarawak telah mendapat manfaat daripada kemudahan Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) yang ditawarkan oleh Agrobank dengan nilai pembiayaan sebanyak RM2.02 juta setakat 30 September 2021.
 
Pengumuman ini dibuat pada majlis penyerahan replika cek dana SKMS kepada penerima dana bersempena lawatan rasmi YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak ke Lawas pada Ahad. Beliau diiringi oleh YAB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak.
 
Di majlis yang sama, YAB Ketua Menteri Sarawak turut menyaksikan penyerahan replika cek dana Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) bernilai RM45 juta oleh Dzulkornain bin Masron, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, (MINTRED) kepada Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar, sebagai simbolik kerjasama strategik yang terjalin di antara kerajaan negeri Sarawak dan Agrobank.
 
Mengulas mengenai kerjasama itu, Khadijah berkata, “Sejak dari awal penubuhan Agrobank, negeri Sarawak sentiasa menjadi fokus utama perniagaan kami dan Agrobank akan terus komited untuk memperkasakan kumpulan B40 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak menerusi pelbagai program pembiayaan mikro berstruktur kami.”
 
“Berdasarkan jumlah pelanggan yang telah kami berikan perkhidmatan di Sarawak, jelas terbukti, bahawa aktiviti ekonomi di negeri ini terus rancak, dan melalui program kerjasama strategik seperti ini, nyata akan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan agro serta ekosistemnya untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini. Inisiatif kerajaan negeri Sarawak ini adalah tepat pada masanya untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana di Sarawak terutamanya yang terjejas oleh COVID-19,” katanya.
 
SKMS merupakan inisiatif kerajaan negeri Sarawak untuk membantu perniagaan kecil dan sederhana di kalangan kumpulan B40 dan hanya memerlukan dokumentasi yang minimum. Ia adalah satu skim untuk menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk pembiayaan mudah kepada kumpulan B40, pemilik perniagaan mikro dan kecil yang mempunyai akses terhad kepada sumber modal tradisional, seperti bank-bank komersial dan institusi kewangan lain.
 
Pelancaran SKMS telah diadakan pada Mac 2020 dan merupakan kolaborasi di antara Agrobank dan kerajaan negeri Sarawak melalui Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan. Inisiatif SKMS ini merupakan salah satu daripada tujuh pakej Bantuan Kerajaan Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0 – 7.0 yang masih ditawarkan kepada mereka yang memerlukan sehingga sekarang.
 
Kerajaan negeri Sarawak melalui BKSS telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM50 juta bagi tujuan SKMS di mana Agrobank telah diperuntukkan sebanyak RM45 juta manakala SEDC menerima peruntukan dana sebanyak RM5 juta. SKMS ini terbahagi kepada dua skim iaitu SKMS 1 dan SKMS 2. Di bawah SKMS 1, ianya menyediakan pembiayaan dari RM1,000 hingga RM10,000 tanpa faedah. Manakala SKMS 2 menyediakan pembiayaan dari RM5,000 hingga RM50,000 dengan kadar keuntungan sebanyak 4% berdasarkan baki bulanan berkurangan.

Mengenai Agrobank
 
Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI)* di Malaysia. Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro. Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015.
 
Sebagai sebuah IKP (Institusi Kewangan Pembangunan) yang berorientasikan pelanggan, fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian. Justeru itu, Agrobank beriltizam untuk bergerak seimbang dalam melaksanakan peranan pembangunan dan komersialnya bagi memanfaatkan sektor pertanian. Agrobank menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian kepada pengguna.
 
Agrobank juga menawarkan penyelesaian pembiayaan perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti-pertanian. Ini dilaksanakan menerusi 206 rangkaiannya sehingga tahun 2020 yang merangkumi 138 cawangan, 33 kiosk, 19 pusat perdagangan dan 16 rangkaian perbankan.
 
Pada tahun 2019, Agrobank meraikan ulang tahun Jubli Emas menandakan 50 tahun penubuhannya membangunkan industri agro.
 
www.agrobank.com.my
 
*VBI atau perantaraan berasaskan nilai merupakan satu inisiatif daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertujuan untuk menambah nilai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam bagi menggalakkan keusahawanan, kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi tanpa mengabaikan pulangan kepada para pemegang saham.

Dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Korporat Agrobank


Sumber: Agrobank

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:

Nama: Shahreen Rahim
Ketua Bahagian Perhubungan Awam
Jabatan Komunikasi Korporat, Agrobank
Tel: 03-2731 1660 / +6012-943 6217 
E-mel: shahreen.rahim@agrobank.com.my
 
Nama: Rasheffa Rashid
Eksekutif, Perhubungan Awam
Jabatan Komunikasi Strategik, Agrobank
Tel: 03-2731 1650 / +6019-2729907
E-mel: rasheffa@agrobank.com.my 

--BERNAMA

 

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.