KUALA LUMPUR,
22 Dis (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menganjurkan satu webinar bertajuk ‘Ke Arah Umat Digital: Isu, Cabaran dan Cadangan Penyelesaian secara dalam talian, bagi membincangkan apakah isu dan cabaran dalam era digital ini khususnya kepada umat Islam dan seterus memberikan cadangan penyelesaiannya.
Era digital dalam perkembangan sains dan teknologi telah memberi cabaran besar kepada umat Islam. Cabaran-cabaran tersebut adalah seperti jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar terutama penduduk kawasan pendalaman, dilema pekerjaan dalam era digital kerana banyak pekerjaan akan diambil alih oleh kecerdasan buatan
artificial intelligent (AI), robotik dan lain-lain. Tidak ketinggalan cabaran terhadap dakwah yang semakin sengit apabila berlaku penyebaran hadis-hadis palsu, ajaran sesat serta lain-lain fahaman di media sosial, cabaran adab ketika menuntut ilmu secara dalam talian dan cabaran terhadap alam sekitar kerana dibimbangi bahan buangan elektronik semakin bertambah setiap hari.
Webinar yang dimulakan dengan ucaptama oleh Prof. Dato' Dr. Mohd Yakub@Zulkifli bin Mohd Yusoff, Pengerusi, Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia (NUIM)) ini bertujuan membincangkan sudut pandang Islam terhadap isu, cabaran dan cadangan penyelesaian era digital masa kini.
Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Dato' Dr. Mohd Yakub@Zulkifli bin Mohd Yusoff menyatakan bahawa wacana yang dianjurkan oleh IKIM ini harus diteruskan sebagai usaha menyelesaikan masalah di era digital terutamanya dalam kalangan umat Islam dalam konteks membina Keluarga Malaysia yang lebih bertamadun.
7 orang pembentang telah terlibat dalam pembentangan webinar ini iaitu: Prof. Dr. Mohamad Fauzan bin Noordin, Profesor, Kulliyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, UIAM, Prof. Dr. Che Su binti Mustaffa, Profesor, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, UUM, Hajah Mahuran Saro binti Dato' Haji Sariki, Talent Corporation Malaysia Berhad, Dr. Nor Azaruddin Husni Bin Hj Nuruddin, Felow Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM, Dr. Khadijah binti Abdul Razak, Pensyarah Kanan, Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan UKM, Dr. Raja Jamilah binti Raja Yusof, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Perisian, Fakulti Komputer dan Teknologi Maklumat, UM dan Pn. Azrina binti Sobian, Felow Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM. IKIM berharap agar webinar ini akan dapat berkongsi ilmu bagaimana umat Islam perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran pada era digital ini.
UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT
22 Disember 2021
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:Nama: Pn. Zarita Bt Kasim
Tel: : 017 - 366 1496
E-mel: zarita@ikim.gov.myNama: Pn. Suzanahwati Sanil
Tel: 013 - 228 8992
E-mel: suzana@ikim.gov.my
--BERNAMA