|
|
Disember 17, 2024 -Selasa |
|
|
|
|
|
|
DEWG G20 KEDUA MEMBERI TUMPUAN KEPADA PENYAMBUNGAN DIGITAL UNTUK PEMULIHAN
Thursday 19/05/2022
AsiaNet 96062
JAKARTA, Indonesia, 19 Mei, 2022, Agensi Berita Antara Kerajaan Indonesia telah menggesa Kumpulan Kerja Ekonomi Digital (DEWG) G20 untuk meneruskan perbincangan berhubung ketersambungan digital.
“Saya percaya kita semua telah menyaksikan kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi di dalam membantu orang ramai menghadapi kesan pandemik COVID-19,” kata Menteri Komunikasi dan Informatika, Johnny G. Plate.
DEWG adalah sebahagian daripada Trek Sherpa G20 Indonesia. Kumpulan kerja itu bermula dengan pembentukan Pasukan Petugas Ekonomi Digital (DETF) G20 pada tahun 2017 semasa Jerman menjawat jawatan presiden G20.
Kumpulan kerja itu telah diberikan mandat untuk membincangkan pelaksanaan bagi sebuah teknologi digital yang saling berkaitan, dilindungi dan selamat untuk membangunkan sebuah ekonomi digital yang inklusif, berdaya tahan dan mapan.
Mesyuarat DEWG kedua, di bawah kendalian Indonesia sebagai pemegang jawatan presiden G20, yang diadakan di Yogyakarta pada 17-19 Mei, 2022, telah membincangkan isu mengenai ketersambungan digital.
Sebagai pengerusi bagi jawatan Presiden G20 2022, Indonesia telah menggalakkan peserta DEWG G20 2022 untuk membincangkan tiga isu keutamaan: ketersambungan digital dan pemulihan pasca COVID-19; kemahiran digital dan literasi digital; serta aliran data rentas sempadan dan aliran data percuma yang dipercayai.
Pada mesyuarat itu, Menteri Plate menekankan pentingnya untuk mengatasi jurang digital dengan membina ketersambungan digital atau infrastruktur telekomunikasi.
Semasa mesyuarat DEWG kedua itu, beliau menggesa perbincangan itu ditumpukan kepada keterangkuman, pemerkasaan dan kelestarian untuk mengukuhkan kedudukan global dan pulih daripada pandemik COVID-19.
Jurang digital itu kekal sebagai satu isu sehingga kini. Menurut data daripada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), pada tahun 2021, sejumlah 2.9 bilion orang di seluruh dunia tidak pernah menggunakan Internet.
Sementara itu, menurut data Bank Dunia bagi Indonesia, 94 juta orang dewasa tidak dapat mengakses Internet melalui peranti mudah alih pada tahun 2019.
“Jurang digital itu kekal sebagai satu cabaran. Mereka yang mempunyai akses kepada Internet jalur lebar tetap adalah lebih sedikit,” kata Plate.
Jurang digital itu telah menjadi satu daripada sebab bagi forum DEWG G20 itu untuk membincangkan isu berkaitan ketersambungan digital.
Kementerian Komunikasi dan Informatika, yang bertanggungjawab ke atas DEWG, sedang berusaha untuk menangani jurang digital itu dengan mengukuhkan kerjasama untuk memacukan pembinaan besar-besaran bagi infrastruktur digital di antara negara-negara anggota G20 dan dengan seluruh dunia.
Ketersambungan Digital Perbincangan mengenai kesalinghubungan telah menjadi lebih relevan di tengah-tengah kegawatan ekonomi global yang telah menjejaskan ketersediaan makanan, komoditi dan tenaga serta menyebabkan kadar inflasi melonjak.
“Perbincangan mengenai ketersambungan digital menjadi penting pada mesyuarat DEWG kedua kerana selepas pandemik COVID-19, ekonomi sangat disokong melalui penggunaan penyambungan digital di dalam menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat serta memperkasakan komuniti itu sendiri,” tegas Menteri Plate.
Plate seterusnya menegaskan bahawa pandemik itu telah menunjukkan sejauh mana orang bergantung kepada ekosistem digital di dalam pelbagai sektor awam, seperti pendidikan, kesihatan dan, sudah tentunya, pembangunan ekonomi.
Dengan mengambil kira kepentingan isu ketersambungan digital, isu keutamaan DEWG dibincangkan dalam lima subtopik.
Pertama, kata Plate, DEWG membincangkan satu pemahaman umum tentang ketersambungan digital dengan menempatkan komuniti sebagai tumpuan utama bagi usaha pembangunan ketersambungan digital.
“Inilah yang kami maksudkan dengan ketersambungan digital berpaksikan rakyat,” kata beliau.
Subtopik kedua bagi perbincangan ketersambungan digital itu pada mesyuarat DEWG kedua ialah keselamatan digital sebagai satu pemboleh utama untuk menyokong komuniti perniagaan.
Pengukuhan bagi komunikasi digital secara tidak langsung turut menimbulkan cabaran baharu di dalam bentuk pelbagai risiko keselamatan digital yang mengancam keselamatan dalam talian bagi pengguna internet, khususnya pelaku ekonomi digital yang semakin digital.
Menyedari pentingnya keselamatan digital di dalam menyokong kemapanan bagi perniagaan digital pada masa hadapan, DEWG telah mengambil keputusan untuk memudahkan pengumpulan amalan keselamatan digital yang sedia ada.
Berhubung dengan subtopik ketiga, Kumpulan Kerja itu bersetuju untuk menubuhkan sebuah Rangkaian Inovasi Digital G20 sebagai satu kesinambungan bagi Liga Inovasi G20 yang dihoskan oleh Itali sebagai presiden G20 pada tahun lepas.
Rangkaian sedemikian bertujuan untuk menampung dan menyokong kerjasama bagi pelaku inovasi digital di seluruh dunia, seperti syarikat permulaan, kapitalis usaha niaga, perbadanan dan kerajaan.
Pada subtopik keempat, DEWG G20 mengalu-alukan pelaksanaan ekspo transformasi digital yang akan mempamerkan pencapaian oleh ahli-ahli G20 berhubung dasar-dasar strategik dan maklumat mengenai transformasi digital.
“Presiden G20 Indonesia berharap konsep bagi acara itu akan diterima secara positif dan penuh bersemangat oleh pemegang jawatan presiden G20 yang seterusnya,” kata Menteri Plate.
Mengenai subtopik kelima, DEWG G20 itu menyokong tanggapan daripada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) berhubung inisiatif kampung pintar dan pulau pintar.
“Sokongan terhadap idea ini menunjukkan komitmen Indonesia untuk mengambil kesempatan daripada peranan G20 untuk menyelesaikan pelbagai isu di dalam komuniti global. DEWG menggalakkan perpaduan dalam penggunaan transformasi digital, bukan sahaja dari negara anggota G20 tetapi juga negara bukan anggota, terutamanya negara-negara membangun kepulauan kecil,” kata beliau.
Menteri Plate melahirkan rasa terima kasih di atas pelaksanaan mesyuarat DEWG kedua yang berjalan lancar, wajar dan berfokus.
Plate turut mengingatkan semua delegasi dan rakan ilmuan untuk menyertai mesyuarat DEWG kali ketiga yang akan diadakan di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, pada 20-21 Julai, 2022. SUMBER: Kementerian Komunikasi dan Informatika, bagi Republik Indonesia Pautan Lampiran Imej:
Pautan: http://asianetnews.net/view-attachment?attach-id=421514
Kapsyen: Menteri Komunikasi dan Informatika Johnny G Plate (tengah), Pengerusi Kumpulan Kerja Ekonomi Digital (DEWG) G20 2022, Mira Tayyiba (kiri), dan Pengerusi Gantian DEWG G20 2022, Dedy Permadi, semasa satu sidang media bagi mesyuarat DEWG kedua di Yogyakarta pada Rabu (18 Mei 2022). Mesyuarat DEWG kedua yang diadakan pada 17-19 Mei, 2022 membincangkan tiga isu utama termasuk ketersambungan digital dan pemulihan pasca COVID-19, kemahiran digital dan celik digital, serta aliran data rentas sempadan dan aliran data percuma yang dipercayai.
--BERNAMA |
|
|
|
|
|