ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 27, 2024 -Sabtu

 
  KPPK KOMITED TINGKAT USAHA PEMULIHARAAN UNTUK MEMINIMUMKAN KONFLIK HIDUPAN LIAR-MANUSIA DEMI KEMAMPANAN SEKTOR PERLADANGAN

Monday 01/08/2022



KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Kematian seorang pekerja ladang kelapa sawit yang dipijak gajah liar di Temerloh baru-baru ini adalah insiden tragis. Kementerian ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
 
Sejak sekian lama, KPPK melalui pelbagai agensi seperti Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan pertumbuhan sektor perladangan yang mampan. Ini termasuk pembangunan Santuari Hidupan Liar Gajah Borneo untuk menangani konflik manusia-gajah dan mewujudkan kawasan perlindungan akses awam terkawal untuk lebih memahami dan menjaga haiwan ini.
 
MPOGCF juga telah memulakan program untuk menanam spesies rumput gajah untuk menggalakkan haiwan tersebut menggunakan koridor hidupan liar yang dapat membantu mengurangkan konflik manusia-gajah. KPPK turut menyokong Inisiatif "Heart of Borneo", sebuah program unik yang diterajui kerajaan dan disokong NGO yang telah bermula sejak Deklarasi bersama oleh kerajaan Brunei, Indonesia dan Malaysia pada tahun 2007.
 
Program ini antara lainnya bertujuan untuk memulihara biodiversiti di Borneo untuk manfaat orang ramai melalui rangkaian kawasan perlindungan, pengurusan hutan lestari dan penggunaan tanah secara mampan. Usaha ini menunjukkan komitmen Kerajaan ke arah memelihara kekayaan biodiversiti kita. Malaysia menyokong dan mengambil bahagian dalam Deklarasi Pemimpin Mengenai Hutan dan Penggunaan Tanah dan Ikrar Metana Global (Leaders' Declaration on Forest and Land Use and the Global Methane Pledge) pada Persidangan Parti Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP-26) yang diadakan di Glasgow, United Kingdom pada November 2021.
 
Penglibatan Malaysia bersama 141 negara lain dalam deklarasi ini adalah selaras dengan Deklarasi Pemimpin Mengenai Hutan dan Guna Tanah Negara. Deklarasi ini bertujuan untuk terus mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah negara di bawah liputan hutan serta mengukuhkan komitmen Kerajaan dalam pemuliharaan dan pengurusan mampan hutan dan ekosistem lain dan guna tanah, termasuk bagi tujuan pertanian dan perladangan.
 
Bagi memastikan usaha yang lebih mantap ke arah pemuliharaan alam sekitar, KPPK merancang untuk memohon lebih banyak peruntukan daripada Kementerian Kewangan di bawah Bajet 2023 untuk tujuan ini. Ini juga selaras dengan komitmen Malaysia ke arah merealisasikan sasaran yang ditetapkan di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
 
Usaha seperti ini juga sekaligus menyangkal kritikan terutamanya dari Barat, bahawa Malaysia tidak mematuhi piawaian alam sekitar global, demi tujuan komersial. Saya dan seluruh warga kementerian sentiasa menyangkal pandangan yang tersasar ini, terutamanya semasa misi perdagangan saya di luar negara, bertepatan dengan kempen "Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit".
 
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
31 JULAI 2022 


Sumber: KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Mahdini binti Jaini
Tel: 03-88803325
E-mel: mahdini@mpic.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.