ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 20, 2024 -Isnin

 
  GERAN PENYELIDIKAN DR RANJEET BHAGWAN SINGH - MENYOKONG PENYELIDIK MUDA TEMPATAN DALAM BIDANG PERUBATAN DAN SAINTIFIK

Wednesday 07/09/2022



Table

Penerima Geran Penyelidikan Dr Ranjeet Bhagwan Singh 2022, Profesor Madya Dr. Tan Jun Jie


KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai agensi peneraju agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara sentiasa memberi galakan kepada saintis muda dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D). Usaha ini penting selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 untuk menjadi negara berteknologi tinggi berasaskan inovasi tempatan.

Justeru itu, dana merupakan satu aspek penting dalam ekosistem R&D negara. Selain peruntukan kerajaan, MOSTI juga mengawal selia Geran Penyelidikan Dr Ranjeet Bhagwan Singh. Geran ini kekal menjadi komitmen MOSTI bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) untuk menyokong penyelidik muda tempatan setiap tahun dalam bidang perubatan dan saintifik.

Geran penyelidikan yang diuruskan menerusi Akaun Amanah Tabung Penyelidikan Perubatan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh sejak tahun 1997 ini telah diberikan kepada 26 penyelidik muda dengan jumlah dana sebanyak RM632,265.00. 

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), YBrs. Dr. K. Nagulendran dalam ucapannya mewakili Yang Berhormat Menteri MOSTI, Dato’ Sri Dr. Adham Baba pada Majlis Pengumuman Penerima Geran Penyelidikan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh 2022 berkata, “Mendiang telah mewasiatkan keseluruhan hartanya dianggarkan berjumlah RM1 juta untuk digunakan bagi tujuan berkenaan setiap tahun sehingga kini. Ini jelas menunjukkan bahawa beliau adalah seorang individu dengan visi jauh ke hadapan, melihat kepentingan konsep filantropi bagi menyokong penyelidik muda tempatan tanpa mengira bangsa dan agama.”

Dr. K. Nagulendran kemudiannya mengumumkan Penerima Geran Penyelidikan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh 2022 iaitu Profesor Madya Dr. Tan Jun Jie daripada Universiti Sains Malaysia. Beliau menerima geran penyelidikan berjumlah RM50,000 menerusi penyelidikan bertajuk ‘Preclinical Assessment of Human Induced Pluripotent Stem Cell-derived Pre-epicardial Cell/Cardiomyocyte Theraphy in Acute Myocardial Infarcted Rat Hearts’ yang bertujuan untuk mencipta sel jantung dari sel stem untuk merawat serangan jantung.  

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Presiden Akademi Sains Malaysia, Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia, Puan Hazami Habib.

Mendiang Dr. Ranjeet adalah seorang saintis penyelidikan perubatan tanah air terkemuka dan telah memberikan sumbangan tidak ternilai dalam bidang perubatan dan saintifik, khususnya bagi pembangunan makmal diagnostik di Malaysia.

Mendiang telah mewujudkan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh Medical Research Endownment Fund sejak tahun 1982 dengan menyumbang dana awal berjumlah RM50,000. Mendiang kemudiannya telah mewasiatkan keseluruhan hartanya dianggarkan berjumlah RM1 juta untuk digunakan bagi tujuan berkenaan setiap tahun sehingga kini yang diuruskan oleh MOSTI dan ASM menerusi Akaun Amanah Tabung Penyelidikan Perubatan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh. 

Dikeluarkan oleh:
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
6 September 2022

SUMBER: AKADEMI SAINS MALAYSIA


UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: En Najib Mohd Idris
Senior Executive Communications 
Tel:03-62030633 / 0193037847
Faks:03-62030634
Email: najib@akademisains.gov.my 

--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.