ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 20, 2024 -Isnin

 
  BAJET 2023 MAMPU PERKUKUH PRODUKTIVITI DAN DAYA SAING SUB-SEKTOR LOGISTIK

Monday 17/10/2022



KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Bajet 2023 yang diumumkan baru-baru ini mampu memperkukuh ekonomi negara serta meningkatkan produktiviti dan daya saing rantaian bekalan perniagaan dalam sub-sektor logistik
 
Menurut Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman, Bajet 2023 bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat malah turut memperkukuh rantaian bekalan perniagaan serta daya tahan negara ketika berhadapan dengan cabaran pemulihan di pasca-pandemik.
 
“Bajet 2023 mampu memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat terutamanya dari segi pendapatan dan perlindungan sosial serta membantu negara untuk berhadapan dengan kebimbangan situasi ekonomi serantau dan gangguan rantaian bekalan susulan konflik Rusia-Ukraine”, kata beliau ketika mengulas mengenai Bajet 2023 yang diumumkan baru-baru ini.
 
Beliau berkata, sub-sektor logistik memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Bajet 2023: Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan memperkukuh daya saing rantaian bekalan domestik dan antarabangsa.
 
Dato’ Abdul Latif juga yakin, sasaran negara untuk menjadi Hub Logistik ASEAN mampu direalisasikan melalui perancangan dan strategi yang inklusif serta disokong oleh tumpuan kepada peningkatan produktiviti, daya saing dan prestasi industri logistik di Malaysia.
 
Sementara itu, Pengerusi Nexus Produktiviti Logistik (LPN), Dato’ Seri Dr. Michael Tio turut menyuarakan pandangan yang sama berkaitan pengumuman Bajet 2023 dan kesannya terhadap sektor logistik negara.
 
“Industri logistik negara masih banyak ruang dan peluang untuk ditambahbaik. Melalui LPN, pemain industri logistik mempunyai platform yang kukuh untuk menyumbang kepada peningkatan produktiviti sektor ini”, kata beliau.
 
Menurut Dato’ Seri Dr. Michael, LPN telah pun memulakan inisiatif untuk mengesan, mengukur dan meningkatkan kesediaan industri logistik berasaskan data terkini, amalan, kaedah serta alat yang sesuai.
 
“Pelaksanaan Rangka Prestasi Logistik Mampan (LSPF) berpandukan data terkini akan membantu pihak berkuasa yang berkaitan serta pemain industri merangka intervensi yang sesuai dan pelan tindakan untuk melonjakkan industri ini kehadapan dan seterusnya memacu produktiviti negara,” tambah beliau.
 
Menurut Tinjauan Ekonomi 2023, sub-sektor penyimpanan dan pengangkutan telah meningkat kepada 30.7 peratus pada separuh pertama 2022, dipacu oleh peningkatan ketara dalam semua segmen aktiviti di lebuhraya, pelabuhan dan lapangan terbang.
 
Peningkatan kendalian kargo dan kontena di pelabuhan disokong oleh permintaan luaran dengan jumlah dagangan meningkat sebanyak 28.2 peratus kepada RM1,354.9 billion.
 
Pada separuh kedua 2022, subsektor logistik dijangka terus meningkat sebanyak 24.8 peratus yang disumbang oleh segmen pengangkutan darat diikuti peningkatan dalam jumlah trafik di lebuhraya dan juga pengangkutan penumpang keretapi.
 
Segmen pengangkutan air juga dijangka terus menyumbang kepada pertumbuhan sub sektor ini melalui peningkatan aktiviti kendalian kontena dan kargo perkapalan.

Mengenai  Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MPC menggalakkan produktiviti, kualiti dan daya saing kepada industri dan organisasi di Malaysia. Visi MPC adalah menjadi organisasi terkemuka dalam peningkatan produktiviti untuk daya saing global dan inovasi.

SUMBER : Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Huda Atiqah Samsir
Tel: 0137261950
E-mel:  atiqah@mpc.gov.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.