ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 18, 2024 -Sabtu

 
  KERAJAAN PERPADUAN PEMACU PRODUKTIVITI NEGARA

Wednesday 30/11/2022



Table
Ketua Pengarah MPC, YBhg. Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Sejarah  tercipta di Istana Negara apabila terbentuk Kerajaan Perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran Malaysia. Kemelut politik yang melanda negara telah berakhir dan tahniah kepada YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke 10.

Rakyat Malaysia sudah tentu menerima baik kerajaan perpaduan yang dibentuk melalui kerjasama parti-parti politik berhasrat untuk membentuk kerajaan yang stabil demi negara dan rakyat. Dimana pembentukan kerajaan ini lebih menekankan pemantapan perpaduan dan keharmonian sebagai agenda nasional memandangkan persoalan perpaduan adalah tunjang kepada keamanan, kesejahteraan, kestabilan dan pengukuhan ekonomi negara.

Kestabilan politik atas jenama Kerajaan Perpaduan juga diharap memacu pertumbuhan ekonomi negara agar terus berkembang agar terus produktif dan lebih berdaya saing.

Di Malaysia, aspek ini dimanifestasikan dalam penjagaan kesihatan yang berkualiti; perumahan mampu milik; peningkatan keselamatan dan ketenteraman awam; penambahbaikan perkhidmatan kecemasan; pengukuhan integrasi sosial dan perpaduan; serta penyertaan yang meluas dalam sukan. Kesejahteraan yang lebih baik juga akan meningkatkan produktiviti dan kemajuan rakyat.

Prestasi produktiviti pekerja pada suku tahunan ketiga 2022 mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan sebanyak 10.1 peratus dengan nilai ditambah per pekerja  RM24,241 berbanding RM23,322 atau 5.5 peratus pada suku sebelumnya.

Tahun 2021 menunjukkan kebangkitan yang luar biasa daripada impak kelembapan ekonomi yang dialami daripada kesan pandemik walaupun negara masih belum kembali kepada prestasi produktiviti sebelum pandemik melanda. Contohnya, Pertumbuhan keseluruhan subsektor di bawah sembilan Nexus Sektor Produktiviti melantun kepada purata 3.3 peratus pada 2021 daripada -5.1 peratus pada 2020.

Kestabilan politik juga menjadi faktor pemacu untuk negara ini meningkatkan produktiviti negara, menyasarkan pertumbuhan pada purata 3.6 peratus setiap tahun, dari tahun 2021 hingga 2025 seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang pada 6.1 peratus tahun ini berdasarkan kepada jangkaan jualan barangan elektrik dan peralatan kesihatan, meningkatkan eksport Malaysia dan permintaan domestik yang didorong oleh faedah yang diperoleh daripada sokongan kerajaan. Unjuran itu sejajar dengan unjuran Kementerian Kewangan (MoF) bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara akan berkembang antara 5.5 dan 6.5 peratus pada 2022.

Untuk mencapai pertumbuhan produktiviti yang lebih tinggi, negara perlu memberi fokus kepada lima pemacu produktiviti utama yang perlu diperincikan di peringkat nasional, sektor dan perusahaan - iaitu bakat, teknologi, persekitaran perniagaan, struktur industri dan minda produktif.

Mengenai program pembangunan bakat, MPC telah membantu dalam menangani isu  kebergantungan negara kepada pekerja asing kurang mahir dengan meningkatkan kemahiran serta pendidikan bakat melalui inisiatif Academy in Factory (AiF).  Sehingga kini, lebih 3,000 belia telah menyertai inisiatif AiF bagi mendapatkan peluang pendidikan dan pekerjaan. Disamping itu lebih daripada 50 syarikat telah menjadi rakan strategik AiF. Belia yang terlibat terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), belia Orang Asli dan orang yang diparol  terlatih dibawah program AiF.

MPC juga memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki dan memantapkan  persekitaran perniagaan melalui peraturan tangkas dan pelaksanaan Good Regulatory Practice (GRP). Tadbir urus yang baik serta peraturan berkualiti  membantu melonjakkan prestasi Malaysia ke tangga 10 teratas di dalam Indeks Daya Saing Digital Global. Usaha meningkatkan penerimagunaan teknologi bagi memacu produktiviti dilaksanakan secara bersasar dan inklusif melalui sokongan 11 Nexus Produktiviti yang diterajui oleh pihak swasta. Selain itu, usaha juga dipergiat untuk meningkatkan daya saing digital negara dengan memberi tumpuan kepada kerjasama sektor awam dan swasta dalam menambahbaik indikator daya saing digital seperti dalam Laporan Indeks Daya Saing Digital Global oleh Institute Management Development (IMD).

MPC akan terus menerajui inisiatif mengurangkan bebanan peraturan yang tidak wajar melalui program #MyMudah. Program ini dijangka mampu mengurangkan kos pematuhan peraturan sebanyak RM1.5 billion melibatkan industri dan peniaga yang menghadapi kesukaran menjalankan operasi perniagaan.

Selain daripada itu, MPC komited membimbing organisasi ke arah pendigitalan dan inovasi melalui MyReskill IOT dan Industry4WRD yang diterajui bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi merealisasikan agenda transformasi industri dengan menjadikan teknologi dan digitalisasi sebagai pemangkin untuk memacu produktiviti negara.

MPC kini sedang merancang strategi untuk membentuk minda produktif secara bersasar dan sistematik bagi mentransfomasi pemikiran rakyat ke arah minda produktif seterusnya dapat membudayakan produktiviti sebagai cara hidup. 

Bagi merealisasikan usaha ini, kita memerlukan kualiti modal insan negara sebagai penentu utama kejayaan Malaysia pada masa hadapan. Modal insan berkualiti, rakyat dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing serta mampu menerokai dan memanfaatkan kelebihan dan sumber dimiliki.

Setiap rakyat Malaysia perlu memainkan peranan dan tanggungjawab meningkatkan produktiviti mereka. Rakyat tidak boleh cuai dan alpa melayan “politicking”. Generasi muda sebagai pelapis negara perlu sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran. Mereka sebagai pewaris bangsa merdeka perlu memahami dan mengutamakan perpaduan sebagai rahsia menjadikan Malaysia terbaik dan berjaya.

Bagi memastikan agar media sosial menjadi wadah perpaduan dengan menekankan nilai, norma dan world view yang menyatupadukan kaum untuk mewujudkan budaya produktif tidak ada noktah dalam menuntut dan mencari ilmu serta kemahiran yang diperlukan negara.

Perancangan dan pelaksanaan pelbagai dasar dilakukan kerajaan hari ini akan diwarisi generasi muda sebagai penerus perjuangan. Oleh demikian, generasi muda perlu merebut dan memanfaatkan peluang disediakan kerajaan demi kelangsungan negara. Bersandarkan produktiviti sebagai cara hidup, rakyat Malaysia terus berpegang teguh kepada nilai akhlak, moral dan etika yang baik. Jadilah insan mulia, berilmu dan berpekerti tinggi serta menyedari tanggungjawab kepada negara.

Kita tidak akan mampu melangkah lebih jauh sekiranya kita tidak bersama-sama dalam usaha meningkatkan ekonomi kita hari ini.

Semoga Kerajaan Perpaduan yang dibina bersama dapat memupuk suasana harmoni dan saling menghormati di kalangan rakyat pelbagai kaum dan  akan terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur, bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara berdaulat. 
 
OLEH : KETUA PENGARAH MPC, YBHG. DATO’ ABDUL LATIF HAJI ABU SEMAN

SUMBER : Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Huda Atiqah Samsir
Tel : +6013-7261950
E-mel : atiqah@mpc.gov.my 


--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.