ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 20, 2024 -Isnin

 
  "MELAKAR HALUAN BAGI KEMAKMURAN BERSAMA MENERUSI KETERANGKUMAN" MEMPROMOSI PERNIAGAAN INKLUSIF DI RANTAU APEC

Monday 05/12/2022



KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp. Malaysia telah menganjurkan “APEC Workshop on Inclusive Business: Charting the Path for Shared Prosperity through Inclusivity” dari 29 - 30 November 2022 secara dalam talian. Bengkel ini bertujuan mempromosikan Perniagaan Inklusif (IB) sebagai kerangka perniagaan mampan yang akan memacu dan membangunkan semula ekonomi pasca COVID-19 dalam kalangan anggota ekonomi APEC.

Dalam ucaptama yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Suriani Binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyatakan, “Agenda pembangunan PMKS diberi keutamaan tinggi dalam APEC, seperti yang ditunjukkan pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-29 yang diadakan baru-baru ini di Thailand. Deklarasi Pemimpin 2022 yang diterbitkan mengesahkan komitmen Pemimpin APEC untuk menggalakkan pertumbuhan yang kukuh, seimbang, terjamin, mampan dan inklusif”.

Menurut beliau, “Bengkel Perniagaan Inklusif (IB) ini seiring dan menyumbang kepada salah satu pemacu ekonomi APEC iaitu "Pertumbuhan Kukuh, Seimbang, Selamat, Mampan dan Inklusif" yang merupakan salah satu usaha Kerajaan bagi memastikan rantau Asia-Pasifik berdaya tahan terhadap kejutan, krisis, wabak dan kecemasan lain”.

“Kerajaan Malaysia mempromosikan IB sebagai satu pendekatan untuk menangani keperluan kumpulan B40 secara berskala. IB juga telah digariskan sebagai strategi untuk menggalakkan golongan B40, PMKS dan Perusahaan Sosial mengambil bahagian dalam rantaian bekalan syarikat.”, ujar beliau lagi.

YBrs. Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia mengulas bahawa Projek Rintis Inisiatif Pembangunan Rantaian Nilai Perniagaan Inklusif (IB-VCDI) telah dimulakan pada bulan Jun tahun ini. Program ini bertujuan untuk membangunkan perusahaan mikro serta komuniti inklusif termasuk 40% kumpulan pendapatan isi rumah terbawah (B40), wanita, belia serta pihak-pihak lain untuk menjana pendapatan melalui penyepaduan di dalam rantaian nilai perniagaan atau rantaian bekalan.

Bengkel yang dihadiri oleh 200 peserta dari rantau APEC ini disertai oleh penggubal dasar, penggiat industri, pelabur, wakil Kerajaan, syarikat yang bercirikan model IB, persatuan perniagaan dan pemegang taruh utama lain dalam ekosistem IB. Bengkel ini mengenengahkan IB sebagai model perniagaan baharu bagi menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang inklusif menerusi penglibatan golongan B40 dalam rantaian nilai perniagaan.

Penganjuran bengkel ini mendapat sokongan dan komitmen dari APEC SME Working Group (SMEWG), APEC Secretariat, United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UN ESCAP) dan Inclusive Business Action Network (iBAN).

Turut hadir secara dalam talian bagi bengkel ini ialah YBhg. Dato’ Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan YBrs. Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corp. Malaysia.

Tentang SME Corp. Malaysia

SME Corp. Malaysia merupakan sebuah Agensi Penyelaras Pusat di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang berperanan sebagai pusat pengumpulan dan rujukan setempat bagi maklumat dan khidmat nasihat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), penyelaras program pembangunan PKS, penilaian ekonomi serta pengakreditasian PKS, pembangunan perniagaan dan program sokongan, dan juga fasilitasi akses PKS kepada pasaran dalam dan luar negara.

Bermula pada 2 Mei 1996, SME Corp. Malaysia dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC), bermatlamat membangunkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia yang berkeupayaan dan berdaya tahan agar mampu berdaya saing di pasaran global. Pada tahun 2007, SMIDEC telah diberi mandat oleh Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri untuk menggubal dasar dan strategi menyeluruh bagi PKS dan memacu program PKS merentasi Kementerian dan Agensi. Sehubungan itu, SMIDEC telah dijenamakan semula secara rasmi sebagai SME Corp. Malaysia pada 2 Oktober 2009. 

SUMBER: SME Corp. Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Pn. Raja Rozaila bt Raja Azman
Pengarah
Bahagian Komunikasi Strategik
Tel: 03-27756203 atau 016-3322121
Emel: rozaila@smecorp.gov.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.