ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Disember 17, 2024 -Selasa

 
  TEATER TRADISIONAL BORIA "KEMBARA BORIA - SATU PERJALANAN"

Monday 24/07/2023



KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), terus komited dalam menyemarak dan memartabatkan seni budaya negara dengan pelaksanaan Panggung Seni Tradisional 2023 atau singkatannya (PST2023). PST2023 memasuki siri ke empat (4) dengan persembahan “Kembara Boria – Satu Perjalanan” karya Persatuan Seni dan Budaya Era Baru atau (MANES). Menerusi persembahan yang dilaksanakan bermula 22 hingga 23 Julai 2023 ini, penonton telah dibawa mengimbau sejarah perjalanan seni Boria di negeri Pulau Pinang.
 
Boria adalah sejenis teater yang amat popular di Pulau Pinang. Persembahan Boria yang lengkap mempunyai dua segmen iaitu sketsa dan nyanyian. Nyanyian Boria diketuai oleh seorang tukang karang yang kebiasaannya akan memegang tongkat penunjuk ketika menyanyi. Rangkap karangan Boria mempunyai hujung suku kata sama dengan setiap rangkap kisah yang berkaitan dengan sketsa dipersembahkan. Enam orang dipanggil ‘Selor’ yang berada di belakang akan menyanyi dengan mengulangi rangkap pertama nyanyian tukang karang. Alat-alat muzik Boria pula berubah mengikut peredaran masa, namun penggunaan viola, marwas, gendang panjang, akordion dan harmonika sangat digalakkan dalam persembahan ini.
 
Menariknya penceritaan menyelusuri “Kembara Boria-Satu Perjalanan” ini, penonton dibawa mengenali persembahan tersebut dengan mengungkap permulaan asal usul Boria yang dibawa masuk ke Pulau Mutiara ini ketika era pemerintahan kolonial British dahulu. Kemudian beralih kepada Boria Kampung yang mendapat penyertaan daripada kalangan penduduk tempatan dan bagaimana boria mula dipersembahkan di atas pentas sempena pesta keramaian. Malah, penonton juga telah disajikan dengan tarian-tarian yang telah dikreasikan dan pemuzik menggunakan pancaragam atau ‘band’. Lagu-lagu yang dihasilkan pula disadurkan dengan genre yang popular pada ketika itu.
 
Penonton dapat melihat transisi boria dalam segmen keempat apabila ia melalui fasa komersil dengan melangkah ke saluran media seperti radio dan televisyen. Di sinilah sketsa Boria yang mempunyai ciri serta konsep tersendiri bermula diperkenalkan. Boria Moden melabuhkan tirai “Kembara Boria-Satu Perjalanan” pada segmen kelima dengan persembahan finale yang memaparkan kemunculan pelbagai jenis kumpulan daripada kampung atau persatuan-persatuan seni yang ada di sekitar Pulau Pinang.       
 
“JKKN sentiasa memperlihatkan keindahan kebudayaan dan kesenian tradisional masyarakat majmuk di Malaysia dalam setiap siri persembahan dalam Panggung Seni Tradisional (PST). Program ini bukan sekadar persembahan ‘sehala’ tetapi merupakan serampang dua mata kepada kumpulan atau persatuan seni budaya untuk mempelajari pelaksanaan sesebuah produksi bagi sesuatu persembahan. Program ini merupakan usaha bagi memastikan kelestarian seni persembahan tradisional dapat diteruskan. Ia juga sebagai langkah pemeliharaan dan pengekalan seni warisan negara yang berupaya menjadi serampang dua mata dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab persembahan tradisional dan salah satu produk pelancongan negara”, kata Mohd Amran bin Mohd Haris, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Dasar dan Perancangan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara ketika menghadiri program tersebut.
 
Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan https://www.facebook.com/PanggungSeniTradisionalTraditionalArtsShowcase?mibextid=ZbWKwL atau www.facebook.com/mysenibudaya dan www.facebook.com/PanggungSeniTradisionalTraditionalArtsShowcase   

Dikeluarkan Oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 03-2614 8200
Faks: 03-2697 0786
Emel: ukk@jkkn.gov.my
Laman Sesawang: www.jkkn.gov.my

 
Platform Media Sosial Rasmi JKKN:
Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & YouTube: @mysenibudaya

--BERNAMA 
 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.