ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 09, 2024 -Khamis

 
  PROGRAM TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT HASIL

Monday 23/10/2023



“DEKAT PADAMU SABAH 2023”  

SEMPORNA, 23 Okt (Bernama) -- 
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) turun padang sekali lagi untuk berkongsi bersama-sama dengan masyarakat yang memerlukan dengan menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Program Dekat Padamu Sabah 2023 merangkumi empat (4) program CSR di sekitar Semporna, Sabah yang berlangsung selama dua (2) hari bermula pada 19 Oktober hingga 20 Oktober 2023.
 
Pada hari pertama, HASiL menjalankan program CSR di Kampung Pulau Bum-Bum dengan menyampaikan sumbangan kepada pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Bum-Bum seperti yang berikut:

i.   Sebuah komputer riba;

ii.  Sebuah televisyen 65 inci;

iii. Sebuah projektor;

iv. Buku dan bahan bacaan bagi perpustakaan sekolah; serta

v.  Sumbangan wang tunai sebanyak RM5,000.00.

Sumbangan ini bakal dimanfaatkan oleh anak-anak warga SK Pulau Bum-Bum dan menjadi penyuntik semangat untuk terus belajar walaupun berada jauh di pedalaman. Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hajam Lajah Alam, Pengarah HASiL Sabah kepada Encik Mokhtar Makling, Guru Penolong Kanan Pentadbiran yang mewakili Encik Rozali Datuk Haji Melali, Guru Besar SK Pulau Bum-Bum. Dalam ucapan YBhg. Datuk Hajam Lajah Alam, beliau berkongsi pengalaman kerjaya dan memberi kata-kata semangat kepada semua murid agar menjadi insan yang berjaya serta berguna untuk negara sekali gus mengharumkan nama Kampung Bum-Bum yang juga merupakan tempat kelahiran beliau.
 
Team HASiL turut menyantuni masyarakat tempatan dan jemaah Masjid Imam Hailullah Kampung Pulau Bum-Bum dengan menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000.00 dan seunit penyedut hampagas berkuasa tinggi serta lain-lain keperluan. Majlis telah dihadiri oleh 50 orang penduduk kampung bersama-sama dengan Ketua Kampung, Tuan Hajima Mabantok dan Imam Masjid, Tuan Haji Abdul Raha.
 
Pada masa yang sama, program CSR Marin di sekitar Semporna telah dijalankan oleh pasukan HASiL Divers yang diketuai oleh Encik Ahmad Khairuddin Abdullah, Pengarah Jabatan Siasatan HASiL merangkap Presiden Kelab Penyelam HASiL. Program CSR ini telah dijalankan di pulau-pulau tumpuan pelancong sekitar Semporna meliputi Mataking, Pandanan dan Tampi-tampi yang bertujuan memelihara dan memulihara ekosistem marin. Acara kemuncak program adalah menurunkan sebuah tukun tiruan yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hajam Lajah Alam dan diharapkan dapat meningkatkan kadar pertumbuhan hidupan laut di sekitar Pulau Bum-Bum.

Pada hari kedua, program CSR diteruskan oleh Team HASiL Prihatin Orang Kelainan Upaya (OKU) Sejahtera Peringkat Negeri Sabah 2023 di Pusat Pertubuhan Dalam Komuniti (PPDK) Kampung Bugaya, Semporna dengan kehadiran seramai 60 orang pelatih PPDK yang terdiri daripada golongan OKU bersama-sama dengan penjaga. Turut hadir adalah Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Semporna, Puan Razwah Raham dan Pengerusi PPDK Bugaya, Puan Ummai Salmah Abdul Karim.
 
HASiL telah menyumbangkan sejumlah RM20,000.00 untuk kegunaan pihak pengurusan PPDK dalam urusan harian serta kelengkapan asas bagi pelatih-pelatih. Pusat ini merupakan pusat baharu ditubuhkan serta masih banyak memerlukan sokongan daripada masyarakat luar dalam penyediaan persekitaran bebas halangan, termasuklah kemudahan di dalam dan luar bangunan serta ruang awam.
 
YBhg. Datuk Hajam Lajah Alam, dalam ucapannya berkata HASiL amat komited meneruskan usaha menyantuni rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat dalam memberikan pelbagai bantuan melalui pendekatan CSR. Di samping dapat meringankan beban terutamanya masyarakat luar bandar yang memerlukan, ia dapat melahirkan warga kerja HASiL yang prihatin.
 
Secara keseluruhan program ini membuktikan bahawa peranan dan tanggungjawab Team HASiL tidak hanya terhad kepada mentadbir cukai semata-mata, malahan  berperanan membantu masyarakat menerusi program kesedaran dan pendidikan cukai sekali gus mampu memberi kesan kepada peningkatan pematuhan cukai secara sukarela seiring aspirasi Malaysia MADANI.
 
Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:

a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);

b) HASiL Live Chat; dan
 
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public.

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia


Tarikh:  20 Oktober 2023

SUMBER: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Bahagian Komunikasi | 
Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Hasil Care Line : 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara)
Hasil Recovery Call Centre: 03-8751 1000  
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my


--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.