ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 09, 2024 -Khamis

 
  PELANCARAN PERTANDINGAN MEREKA CIPTA VIDEO PENDEK KEFAHAMAN ISLAM (VIPKI) UNTUK PENUNTUT INSTITUT PENGAJIAN TINGGI (IPT) 2024 DENGAN TEMA "HARMONI"

Thursday 22/02/2024



Table
YBhg. Prof. Madya. Dato’ Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM, ketika melancarkan VIPKI HARMONI 2024 

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 21 Februari 2024 telah melancarkan  “Pertandingan Mereka Cipta Video Pendek Kefahaman Islam (VIPKI) untuk Penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2024 dengan tema “Harmoni”.

Pertandingan ini telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah IKIM, YBhg. Prof. Madya. Dato’ Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil.  Menurut beliau, penganjuran VIPKI pada tahun 2024 ini merupakan penganjuran buat kali yang kedua selepas VIPKI 2023 mendapat sambutan yang sangat baik daripada para penuntut IPT.  Pada tahun lalu seramai 618 peserta dari 49 IPT telah menyertai pertandingan ini dan 10 peratus daripada peserta merupakan penuntut bukan Islam.

VIPKI dianjurkan bertujuan untuk menggalakkan penghasilan video pendek kefahaman Islam bagi membina minda Islami dan menanamkan nilai-nilai murni sejagat dalam kalangan masyarakat.

Pertandingan ini diharap dapat menarik minat ramai anak muda untuk memahami Islam dan menyampaikan mesej Islam itu melalui video pendek yang dihasilkan.  “VIPKI juga diharap dapat menggalakkan anak muda Islam dan bukan Islam untuk bergabung dan bersinergi bagi menghasikan karya yang hebat”, ujar Ketua Pengarah IKIM. 
 
Menurut Prof. Madya Dato’ Dr Mohamed Azam, pada tahun 2024 ini, tema pertandingan adalah “HARMONI” dan sehubungan itu, karya yang dipertandingkan hendaklah menggambarkan kehidupan masyarakat majmuk Malaysia yang harmoni.       

Idea teras VIPKI hendaklah berasaskan kehidupan masyarakat majmuk harmoni Malaysia seperti: (a) Menghormati perbezaan, menghargai persamaan dan mencintai kedamaian; (b) Menegakkan keadilan dan kesaksamaan; dan, (c) Menggalakkan kerjasama antara masyarakat.
 
“Antara nilai-nilai masyarakat harmoni yang perlu diterjemahkan dalam video pendek yang dipertandingkan adalah: (a) adab; (b) muhibbah; (c) tolak ansur; (d) toleransi; (e) kemanusiaan; (f) empati; (g) kejujuran; (h) kesederhanaan; dan, (i) kerendahan hati”, ujar beliau lagi.
 
Banyak kisah-kisah positif yang melibatkan hubungan antara budaya dan etnik; keterbukaan terhadap ciri-ciri budaya etnik lain; dan, keprihatinan serta kepedulian terhadap rakan dan jiran yang berbeza etnik dan budaya dapat diketengahkan melalui VIPKI.  Karya-karya yang dihasilkan hendaklah berjaya meningkatkan kesedaran terhadap peri penting keharmonian dalam hubungan masyarakat majmuk.
 
Menurut Prof. Madya. Dato’ Dr Mohamed Azam lagi, dengan tema “HARMONI” ini, IKIM bukan sahaja mahu memperbanyakkan video pendek yang meraikan hubungan masyarakat majmuk yang harmoni di Malaysia, tetapi IKIM juga mahu menjadikan pertandingan ini sebagai satu wadah yang bakal menyuburkan hubungan antara kaum dalam kalangan anak-anak muda ini.  Sehubungan itu, untuk VIPKI Harmoni 2024:

·  penyertaan hanyalah secara berkumpulan sahaja dan tiada penyertaan secara individu;
·  penyertaan pelbagai etnik dan agama dalam satu kumpulan amatlah digalakkan; dan,
·  penyertaan perlu melibatkan pelakon daripada pelbagai kumpulan etnik.

“Dalam kata-kata lain, VIPKI Harmoni 2024 bukan sahaja mahu menghasilkan karya yang ‘menonjolkan’ kehidupan harmoni masyarakat majmuk di Malaysia, tetapi kita juga mahu agar proses pembikinan karya itu melibatkan kerjasama dan sinergi yang harmoni daripada pasukan yang melibatkan pelbagai etnik dan agama”, ujarnya lagi.
 
IKIM masih mengekalkan hadiah pertandingan seperti tahun lalu iaitu:

· RM15,000 untuk hadiah tempat pertama;
· RM10,000 untuk hadiah tempat kedua;
· RM5,000 untuk hadiah tempat ketiga; dan,
· 5 hadiah saguhati bernilai RM1,000 setiap satu.
 
Tarikh tutup pertandingan adalah pada 31 Julai 2024. 

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT

Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Tel: 016-2195345 
Emel: nikhasnah@ikim.gov.my

Nama: Cik Nor Zuliana binti Mohd Zaman 
Tel: 019-5622221 
Emel: zuliana@ikim.gov.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.