ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 06, 2024 -Isnin

 
  SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA MINGGU EPIDEMIOLOGI 13 (24 MAC 2024 - 30 MAC 2024)

Monday 08/04/2024



KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Pada Minggu Epidemiologi ke-13 tahun 2024, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,579 kes berbanding 3,041 kes pada minggu sebelumnya. Terdapat tiga (3) kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-13 tahun 2024.

Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-13 adalah sebanyak 44,144 kes berbanding 28,587 kes bagi tempoh sama tahun 2023. Manakala terdapat 31 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 18 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.

Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-13 adalah sebanyak 135 lokaliti berbanding 141 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya. Dari 135 lokaliti yang dilaporkan, 114 lokaliti di Selangor, 10 lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, lima (5) lokaliti Pulau Pinang, empat (4) lokaliti di Sembilan dan dua (2) lokaliti di Kedah.

Bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-13. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 13 kes. Tiada wabak Chikungunya dilaporkan pada ME13/2024. Bagi survelan zika, sebanyak 621 sampel darah dan satu (1) sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan telah berlaku fasa peralihan monsun bermula pada 29 Mac 2024 dan dijangka berterusan sehingga Mei 2024 di mana keadaan cuaca panas dan kering dijangka akan beransur-ansur pulih. Fasa ini akan menyaksikan negara akan menerima tiupan angin lemah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang. Keadaan ini menyebabkan takungan air boleh terjadi terutama di dalam bekas-bekas takungan buatan manusia di persekitaran dan mampu menarik nyamuk Aedes untuk membiak. Oleh itu, bagi memastikan persekitaran premis bebas dari pembiakan nyamuk Aedes, lakukan aktiviti Cari dan Musnah tempat berpotensi pembiakan Aedes dengan melupus atau mengitar semula bekas-bekas berpotensi pembiakan Aedes di dalam dan luar rumah secara berjadual, sekurang kurangnya 10 minit sekali seminggu. Cuci dan sental bekas-bekas yang menakung air sehingga bersih serta menutup rapat semua bekas penyimpanan air atau masukkan bahan pembunuh jentik-jentik mengikut sukatan yang disyorkan pada label. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika.

DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN
Ketua Pengarah Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia
6 April 2024

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: NURHANIS ASYEERA BINTI RAHMAN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia 
Emel: nurhanisasyeera@moh.gov.my   

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.