ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 03, 2024 -Jumaat

 
  STATUS SEMASA PENYAKIT BERKAITAN CUACA PANAS

Monday 15/04/2024



KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada status cuaca panas yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada 13 April 2024, kawasan yang berada pada Tahap Amaran 1 (Berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian 35 °C hingga 37°C sekurang-kurangnya tiga (3) hari berturut- turut) adalah di seluruh negeri Perlis, Kedah (Pulau Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang, Yan, Kuala Muda, Kulim, Bandar Baharu, Baling, Padang Terap, Sik), Pulau Pinang (Timur Laut), Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta), Kelantan (Gua Musang), Pahang (Raub), Sarawak (Limbang) dan Sabah (Tenom, Beaufort, Tuaran).
 
Satu (1) kawasan direkodkan berada di Tahap Amaran 2 (Gelombang Haba dengan suhu maksimum harian melebihi 37°C hingga 40°C sekurang- kurangnya tiga (3) hari berturut-turut) iaitu Pokok Sena, Kedah. Pada masa yang sama, MET Malaysia juga menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35°C masih berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sehingga pertengahan April 2024.

Pemantauan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga 13 April 2024 mendapati terdapat 45 kes penyakit berkaitan haba dilaporkan melibatkan 33 kes kelesuan haba, 11 kes strok haba dan satu (1) kes kejang haba. Kes-kes mengikut pecahan negeri adalah  lapan (8)  kes  di  Perak, lapan  (8)  kes  di  Kedah, enam (6) di Selangor, lima (5) di Johor, lima (5) di Negeri Sembilan, lima (5) kes di Pahang, empat (4) kes di Sabah, dua (2) kes di Perlis, satu (1) kes di Pulau Pinang dan satu (1) di Kelantan.
 
Secara kumulatif, dua (2) kes kematian akibat strok haba telah dilaporkan. Kes kematian pertama adalah seorang lelaki berumur 22 tahun dan kes kematian kedua adalah seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga (3) tahun di Kelantan. Pada masa ini, terdapat empat (4) kes yang masih mendapat rawatan di hospital iaitu satu (1) kes strok haba yang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan tiga (3) kes dirawat di wad biasa, yang terdiri daripada dua (2) kes strok haba dan satu (1) kes kelesuan haba. Kes-kes lain telah sembuh dan didiscaj. Kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi melibatkan seorang lelaki berumur 24 tahun telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Port Dickson semenjak 10 Mac 2024 dan telah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, pada 5 April 2024.
 
Sehubungan itu, KKM menasihatkan agar semua pihak meneruskan langkah berjaga-jaga dengan memastikan tahap hidrasi yang mencukupi dan mengurangkan aktviti fizikal lasak, serta aktiviti-aktiviti di luar rumah pada musim cuaca panas sekarang. Orang awam juga diminta agar mengelakkan diri daripada terdedah kepada cuaca panas, banyakkan berteduh dan berehat lebih kerap semasa cuaca panas, memilih untuk melakukan ziarah pada  waktu  kurang  panas  atau  waktu  malam,  terutamanya  ketika mengunjungi sanak saudara dan rakan taulan semasa perayaan.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia (https://www.met.gov.my/iklim/status- cuaca- panas/) dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM (http://www.myhealth.gov.my/cuaca-panas-a-kesihatan).

DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 
14 APRIL 2024

SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Nurhanis Asyeera Binti Rahman

Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-mel: nurhanisasyeera@moh.gov.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.