ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 03, 2024 -Jumaat

 
  ISU KINGU GINSENG CANDY DIKESAN MENGANDUNGI TADALAFIL

Monday 15/04/2024



KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan media massa mengenai nasihat yang dikeluarkan oleh Agensi Makanan Singapura (SFA) terhadap pembelian gula-gula ginseng dari Malaysia iaitu “Kingu Ginseng Candy” yang dikesan mengandungi tadalafil.

KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah menjalankan siasatan dan saringan awal mendapati produk ini dijual secara dalam talian di platform Lazada. Hasil siasatan juga mendapati label produk tersebut tidak mematuhi kehendak-kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama dan alamat pengilang / pembungkus / pengedar / empunya hak untuk mengilang / pengimport. Sehubungan itu, pihak Lazada telah diarahkan untuk memadam kandungan iklan dan penjualan produk tersebut serta merta.

Tadalafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk. Ubat-ubat yang mengandungi tadalafil hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor.
 
Penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan kesihatan serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.
 
KKM ingin menegaskan bahawa status keselamatan produk-produk di pasaran termasuk produk makanan yang disyaki diaduk dengan racun berjadual termasuk tadalafil sentiasa dipantau dari semasa ke semasa. Sejak tahun 2018 sehingga kini, daripada 1,575 sampel produk yang telah diambil kerana disyaki mengandungi racun berjadual, 32 sampel (2.03%) didapati mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan di bawah Peraturan- Peraturan Makanan 1985. Tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas syarikat dan produk terlibat.
 
Menurut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan. Apabila disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. Oleh itu:

1. Mana-mana peniaga termasuk peniaga dalam talian yang mempunyai stok produk ini diarahkan untuk menghentikan serta- merta penjualan produk berkaitan.

2. Semua platform e-dagang dan media sosial diminta untuk menghentikan penyiaran kandungan iklan makanan tersebut serta merta.

3. Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini pula perlu menghentikan penggunaan dan mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau melayari laman sesawang serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) seperti berikut:
 
-  http://moh.spab.gov.my
-  https://www.facebook.com/bkkmhq


KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
15 APRIL 2024


SUMBER : KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama : Nurhanis Asyeera Binti Rahman

Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-mel : nurhanisasyeera@moh.gov.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.