ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 05, 2024 -Ahad

 
  MALAYSIA MEMECAH REKOD DALAM PENYELIDIKAN KLINIKAL YANG DITAJA

Wednesday 24/04/2024



Table

Clinical Research Malaysia (CRM) telah memformalisasikan kolaborasi dengan The Chinese University of Hong Kong (CUHK) melalui Perjanjian Memorandum Persefahaman serta disaksikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua dari kiri) selepas pelancaran Laporan Tahunan Clinical Research Malaysia (CRM) 2023 di Kementerian Kesihatan
 
PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Malaysia telah berjaya mencapai satu lagi pencapaian yang mengagumkan dalam penyelidikan klinikal tajaan industri, melepasi sasaran dan pencapaian pada tahun-tahun sebelumnya, seperti yang dikemukakan dalam Laporan Tahunan Clinical Research Malaysia (CRM) 2023. Pencapaian ini diumumkan semasa majlis pelancaran Laporan Tahunan CRM oleh Menteri Kesihatan Malaysia, YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, di pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Laporan tahunan tersebut menunjukkan sebanyak 276 kajian penyelidikan klinikal baru yang telah ditaja di negara ini serta mewakili jumlah tertinggi yang direkodkan sejak penubuhan CRM pada 2012. Pada tahun 2023, Malaysia telah menduduki  tempat kedua dalam rantau Asia Tenggara dari segi bilangan kajian tajaan industri global. Angka-angka ini juga menyumbang kepada Pendapatan Kasar Negara yang telah menjana nilai terkumpul sebanyak RM1.16 bilion daripada penyelidikan yang ditaja sejak 2012.

Penyelidikan klinikal pada fasa awal di Malaysia telah melaporkan kejayaan yang signifikan melalui kedua-dua tapak kajian First-in-Human (FIH) di negara ini. Hospital Ampang telah memulakan kajian First-in-Patient pertamanya pada November 2023 manakala Hospital Umum Sarawak telah menerima pengiktirafan antarabangsa kerana berjaya menjalankan kajian FIH global. Berikutan pencapaian ini, Malaysia kini dilihat oleh biofarmaseutikal terkemuka dunia sebagai tapak kajian awal klinikal yang berpotensi, dengan dua ujian klinikal FIH baru yang bakal dimulakan pada pertengahan 2024 di Hospital Umum Sarawak dalam bidang Systemic Lupus Erythematosus (tajaan oleh Roche Pharmaceuticals) dan di bidang solid tumour (tajaan oleh AstraZeneca).

“Berdasarkan rekod prestasi kita dalam penyelidikan klinikal, industri farmaseutikal kini bukan sahaja melihat Malaysia sebagai lokasi untuk menjalankan penyelidikan klinikal, malah juga sebagai pangkalan serantau untuk operasi penyelidikan klinikal. Saya yakin bahawa kedudukan hab-hab ini akan memberi impak yang besar kepada komuniti penyelidikan klinikal negara dan mengharapkan lebih banyak kolaborasi industri kami berjaya” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia.

Pada program yang sama, Clinical Research Malaysia (CRM) juga telah memformalisasikan  kolaborasi  dengan  The Chinese University of Hong Kong (CUHK). Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) ini ditandatangani oleh Dr Akhmal Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif CRM, dan Profesor Juliana Chan, Pengarah Clinical Research Management Office di CUHK serta disaksikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Kolaborasi antara kedua-dua organisasi ini bertujuan mewujudkan usaha sama dalam bidang klinikal, akademik dan prospek penyelidikan antara kedua-dua pihak, serta dapat mengukuhkan lagi usaha dalam meningkatkan kemahiran penyelidik dalam penyelidikan klinikal. Kedua-dua CRM dan CUHK komited untuk saling mempromosi dan bekerjasama dalam penyelidikan klinikal dan inovasi antara kedua-dua negara.

Mengenai Clinical Research Malaysia (CRM):
 
Clinical Research Malaysia (CRM) adalah Organisasi Pengurusan Penyelidikan Dipercayai Global yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2012. Organisasi ini mengutarakan prinsip Kemanusiaan, Kestabilan, dan Kemampanan dalam mengutamakan penyelesaian kajian klinikal global dan membolehkan ekosistem penyelidikan klinikal berkembang maju di negara ini. Pada terasnya, CRM bertekad untuk membawa penyelidikan klinikal yang menangani keperluan pesakit yang tidak dapat dipenuhi oleh ubatan yang sedia ada, dan mengolah penjagaan kesihatan Malaysia.  
 
CRM menguruskan kajian klinikal yang ditaja dengan aspek Speed, Quality dan Reliability melalui kecemerlangan operasi dan bekerja dengan pihak berkepentingan dengan menyediakan perkhidmatan sokongan penyelidikan klinikal yang menyeluruh. Diperakui dengan kedua-dua ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Kualiti) dan ISO 37001:2016 (Sistem Pengurusan Anti-Rasuah), dan selaras dengan peraturan antarabangsa, nilai teras dan tatakelakuan  organisasi adalah terbenam di seluruh CRM. Kekuatan organisasi ini terletak pada warga CRM di mana visi kami adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penyelidikan klinikal pilihan di rantau Asia. https://clinicalresearch.my
 
SUMBER: Clinical Research Malaysia (CRM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
  
Nama: Siti Nazatul Tokshim
Eksekutif Komunikasi Korporat   
Tel : +6019-784 2080 | +603-7931 5566 (ext. 121)      
E-mel: siti.nazatul@clinicalresearch.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.