ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 17, 2024 -Jumaat

 
  MAJLIS BERSAMA RAKAN STRATEGIK HARI WARTAWAN NASIONAL (HAWANA) 2024

Tuesday 30/04/2024



KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi YB Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024.

Sebanyak 27 rakan strategik telah menyatakan komitmen dan sokongan bagi menjayakan HAWANA 2024 yang akan diadakan pada 25 hingga 27 Mei, 2024 di Kuching, Sarawak.

Pusat borong terbesar Malaysia, GM Klang dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) antara rakan strategik yang menyampaikan tajaan bagi penganjuran HAWANA yang memasuki edisi keempat tahun ini.

Replika cek sumbangan disampaikan kepada YB Fahmi Fadzil pada majlis yang berlangsung di Wisma Bernama di sini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Komunikasi YB Teo Nie Ching, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Nik Kamaruzaman Nik Husin, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Nur-ul Afida Kamaludin dan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Samuel Simon.

Selain GM Klang dan KKDW, HAWANA 2024 turut menerima tajaan daripada Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), CelcomDigi Berhad, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Wasco Management dan British Malaysia Chamber of Commerce.

Turut menaja ialah Bank Islam Malaysia Berhad, Malaysian Palm Oil Berhad, Public Bank Berhad, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ninja Van Malaysia, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Rakan Strategik lain ialah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, PerbadananTabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Agrobank,Tune Protect Group, Co-opbank Pertama dan Oldtown White Coffee Malaysia.

MR D.I.Y Ecommerce (M) Sdn Bhd, Mamee, Holiday Villa Hotels & Resort, Johor Plantation Group Berhad, Sunway Lagoon Marketing Sdn Bhd, MOMAwater dan AirAsia turut menjadi rakan strategik.

Majlis Kemuncak HAWANA 2024 akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei ini.

Lebih 1,000 pengamal media, wakil-wakil persatuan wartawan tempatan dan wakil media dari negara anggota ASEAN dijemput menghadiri HAWANA 2024 yang bakal menghimpunkan fraterniti media profesional dan pakar industri sambil bertukar-tukar idea serta menjalinkan hubungan strategik.

Perhimpunan terbesar wartawan Malaysia itu akan dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak manakala Bernama adalah agensi pelaksana program ini.

Pelbagai aktiviti telah dirangka bagi mengisi penganjuran HAWANA 2024 antaranya Persidangan Media Sarawak dan Pameran HAWANA 2024 di Kuching,  manakala acara sukan untuk pengamal media seperti bola sepak, bola jaring serta boling dijangka diadakan di beberapa lokasi lain.

Buat julung-julung kalinya juga, HAWANA 2024 menampilkan Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa yang akan memberi pendedahan kepada mahasiswa universiti mengenai dunia media.

Program itu akan melibatkan sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pengamal media selain sumbangan peralatan untuk kegunaan universiti/fakulti dan mahasiswa.

Tabung Kasih@HAWANA yang menyantuni wartawan serta petugas media seluruh negara sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara, sebagai manifestasi keprihatinan dan sokongan Kementerian Komunikasi serta komuniti media kepada rakan-rakan seperjuangan yang memerlukan bantuan juga diteruskan.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium bagi membentuk minda masyarakat bermaklumat dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.
 
Dikeluarkan oleh: Sekretariat HAWANA 2024

SUMBER: Sekretariat HAWANA 2024

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Sekretariat HAWANA 2024
Tel: 03-2693 9933

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.