ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Jun 26, 2024 -Rabu

 
  MALAYSIA HANYA AKAN TANDATANGANI PERJANJIAN ANTARABANGSA SEKIRANYA KUASA YANG DI-PERTUAN AGONG, MARTABAT RAJA-RAJA DAN KEDAULATAN NEGARA TERJAMIN

Friday 24/05/2024



KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa YB Menteri Kesihatan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland bagi menghadiri Persidangan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-77 (WHA77) yang akan berlangsung pada 27 sehingga 31 Mei 2024. Antara perkara yang akan dibincangkan semasa persidangan ini adalah berkenaan perkembangan rundingan bagi Pindaan Bersasar IHR 2005 dan rundingan bagi penyediaan Perjanjian Pandemik.
 
Untuk makluman, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama semua Negara Anggota, yang mana Malaysia adalah salah satu daripadanya, telah bersepakat untuk menubuhkan dua platform rundingan antarabangsa, iaitu:
 
i) Intergovernmental Negotiating Body (INB) bagi menghasilkan instrumen antarabangsa yang dikenali sebagai Perjanjian Pandemik; dan
ii) Working Group on Amendments to the International Health Regulations (WGIHR) untuk membuat pindaan bersasar kepada IHR 2005.
 
Penubuhan kedua-dua platform ini adalah bagi memperkukuhkan aspek kesiapsiagaan, pencegahan, pengesanan, serta respon terhadap kecemasan kesihatan menghadapi pandemik pada masa akan datang di peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kedua-dua sesi rundingan ini diterajui sepenuhnya oleh Negara Anggota, manakala WHO hanya bertindak sebagai Sekretariat kepada kedua-dua sesi rundingan dan semua keputusan adalah tertakluk kepada persetujuan Negara Anggota.
 
Metodologi rundingan INB dan WGIHR yang sistematik dan komprehensif memberi peluang kepada setiap negara menyuarakan pandangan dan pendirian masing-masing. Setiap cadangan yang dimasukkan dalam draf kedua-dua dokumen ini dibincangkan secara terperinci dengan mengambilkira kapasiti, keupayaan, dan kebolehlaksanaan Negara Anggota.
 
Sehingga kini, rundingan masih diteruskan. Rundingan INB ke-9 (sambungan) yang telah diadakan pada 29 April 2024 sehingga 10 Mei 2024 akan dilanjutkan sehingga 24 Mei 2024 bagi menentukan hala tuju penyediaan dokumen baharu ini. Rundingan WGIHR ke-8 (sambungan) yang telah berlangsung pada 16 hingga 18 Mei 2024 juga akan diteruskan sehingga 24 Mei 2024.
 
Pihak WHO memaklumkan bahawa laporan hasil rundingan bagi Perjanjian Pandemik dan pindaan bersasar IHR 2005 akan dibincangkan semasa Persidangan Kesihatan Sedunia kali ke-77 (77th World Health Assembly) yang akan berlangsung pada 27 Mei 2024 sehingga 1 Jun 2024. Pihak WHO juga menyatakan bahawa Peraturan IHR yang dipinda tidak akan memberi hak kepada WHO untuk mengarahkan atau memaksa sesebuah negara untuk mengenakan sebarang langkah kesihatan, termasuk sekatan atau perintah kawalan pergerakan (lockdown) atau lain-lain tindakan.
 
KKM mengambil maklum dakwaan sesetengah pihak bahawa Malaysia mempertaruhkan kedaulatan negara dalam memuktamadkan pindaan bersasar dokumen IHR 2005. Namun begitu, KKM ingin menegaskan bahawa penyertaan Malaysia dalam kedua-dua platform rundingan ini adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan kesihatan awam negara. Ia juga wajib mematuhi tiga (3) prinsip utama iaitu:
 
(i) Kedaulatan: Kedaulatan negara serta kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja dipastikan tidak akan disentuh.
(ii) Kesamarataan (equity): Negara-negara maju perlu membantu negara-negara membangun bagi menjamin agihan sumber seperti produk kesihatan berkaitan pandemik adalah adil dan saksama, serta tidak dimonopoli oleh negara maju sahaja.
(iii) Pendanaan: Pewujudan mekanisme kewangan kecemasan kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pandemik tidak akan melibatkan sebarang dana tambahan.

Proses rundingan ini melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dengan komitmen yang tinggi bagi memastikan kepentingan negara dan rakyat dilindungi serta memelihara kedaulatan undang-undang negara. Malaysia sentiasa memastikan prinsip asas seperti kedaulatan dan autonomi, keadilan dan solidariti, ketelusan serta kesamarataan disuarakan dalam setiap rundingan.
 
Sekiranya instrumen yang akan dimuktamadkan mengutamakan prinsip-prinsip asas yang dipertahankan terutamanya kedaulatan negara, KKM akan mengangkat kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan bagi Kerajaan menandatangani instrumen berkenaan. Sehingga itu, Kerajaan tidak akan terikat dengan instrumen berkenaan.
 
KKM sentiasa meneliti dan memantau rundingan antarabangsa bagi pindaan bersasar IHR 2005 dan penyediaan Perjanjian Pandemik ini. Perkembangan terkini berkaitan kedua-dua rundingan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

YB DATUK SERI DR. HAJI DZULKEFLY AHMAD
MENTERI KESIHATAN

24 MEI 2024 

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187 

--BERNAMA
 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.