ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

September 28, 2024 -Sabtu

 
  PENCAPAIAN MALAYSIA DALAM MENJAYAKAN PELAKSANAAN PELAN TINDAKAN KESIHATAN MULUT GLOBAL 2023-2030 DAN PEMBANGUNAN STRATEGI GLOBAL KESIHATAN MULUT

Tuesday 04/06/2024



KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Bersempena   Perhimpunan   Kesihatan   Sedunia   (WHA)   kali   ke-77 di Geneva kali ini, Malaysia telah menyertai acara Kesihatan Mulut: Masa untuk Komitmen dan Bertindak yang bertemakan penentuan dan pengukuran kejayaan Pelan Tindakan Kesihatan Mulut Global (GOHAP) 2023-2030.
 
Malaysia telah membentangkan pengalaman dan kejayaannya dalam melaksanakan dan memantau pencapaian GOHAP 2023-2030 kepada komuniti global. Ini turut disertai oleh Ireland, Kenya, Kuwait, Kanada dan Sri Lanka. Wakil daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) termasuk The Borrow Foundation, Persatuan Pergigian Sedunia (FDI), Persatuan Antarabangsa untuk Penyelidikan Pergigian, Mulut dan Kraniofasial (IADR), dan Médecins Sans Frontières (MSF) turut menyertai acara ini. Turut dibincangkan ialah kaedah-kaedah inovatif untuk menilai pelaksanaan, pengukuran kejayaan, dan hala tuju untuk menggembleng pihak-pihak berkepentingan di luar sektor kesihatan mulut.
 
Menerusi sesi interaktif ini, tindakan, konsep, idea pelaksanaan dan pemantauan pencapaian GOHAP antara Negara-negara Anggota dibincangkan sebagai persiapan menuju Mesyuarat Kesihatan Mulut Global yang buat julung kalinya akan dianjurkan oleh WHO di Thailand pada November 2024.
 
Seterusnya, penyakit mulut juga disasarkan untuk diberikan keutamaan dan dimasukkan ke dalam agenda NCD yang baharu pada Mesyuarat Peringkat Tertinggi Keempat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit 2025.
 
Penekanan komitmen politik Negara-negara Anggota terhadap kesihatan mulut serta mempercepatkan lagi peluasan usaha mencegah dan mengawal penyakit mulut bersama NCD lain amatlah penting bagi melaksanakan dasar kesihatan mulut global, memantapkan dasar kesihatan mulut nasional serta menggerakkan pihak berkepentingan di luar sektor kesihatan mulut. Kemajuan menuju liputan perlindungan kesihatan sejagat (UHC) untuk kesihatan mulut menjelang 2030 bergantung pada kemampuan dan kesediaan kementerian kesihatan Negara-negara Anggota dan pihak berkepentingan lain dalam menyelaras, bekerjasama, dan mengintegrasikan usaha ini.
 
Malaysia telah melancarkan Dasar Kesihatan Pergigian Kebangsaan dan Pelan Strategiknya selaras dengan inisiatif global pada tahun 2023. Sejumlah 18 tindakan nasional ke arah mempertingkatkan UHC bagi kesihatan pergigian telah dilaksanakan di seluruh negara selaras dengan enam objektif strategik GOHAP. Ini meliputi aspek tadbir urus kesihatan pergigian, promosi dan pencegahan penyakit, penjagaan kesihatan pergigian, tenaga kerja kesihatan, sistem pengurusan maklumat dan agenda penyelidikan yang dipantau melalui sistem pelaporan yang inovatif.

Pada WHA ke-74 tahun 2021, para Negara Anggota telah bersetuju melaksanakan resolusi   bersejarah   mengenai   kesihatan   mulut (WHA 74.5). Mereka komited untuk memberi keutamaan kepada kesihatan mulut sebagai sebahagian daripada agenda kesihatan global bagi NCD dan agenda UHC.
 
Pada Mei 2022, WHO dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan telah membangunkan Strategi Global Kesihatan Mulut (WHA75.11) yang kemudiannya diterima pakai. GOHAP pula telah dilaporkan sebagai sebahagian daripada laporan Ketua Pengarah WHO   berkenaan NCD pada WHA ke-76 pada Mei 2023. Penilaian asas yang meliputi 11 sasaran GOHAP dan set pertama intervensi berkesan kos (cost-effective) mengenai kesihatan mulut juga telah dimasukkan dalam laporan Ketua Pengarah WHO untuk agenda NCD bagi WHA ke-77 tahun ini.
 
Malaysia beriltizam untuk melaksanakan agenda kesihatan mulut global menerusi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan daripada sektor awam, swasta, badan bukan Kerajaan dan pemain industri lain demi mencapai status kesihatan mulut rakyat yang terbaik.
 
Cadangan Malaysia agar para Negara Anggota membincangkan pelaksanaan GOHAP di Peringkat Wilayah Pasifik Barat kali ke-76 di Manila lewat tahun 2024 telah diterima. Dengan komitmen daripada seluruh pihak berkepentingan, adalah diharapkan agar Negara-negara Anggota dapat mencapai resolusi baharu untuk memperkasa agenda kesihatan mulut di Rantau Pasifik Barat di masa hadapan.
 
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
31 MEI 2024
 
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Nurhanis Asyeera Binti Rahman
Emel: nurhanisasyeera@moh.gov.my 

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.