ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Jun 30, 2024 -Ahad

 
  DUA PENGARAH SYARIKAT DIDENDA KERANA MEMILIKI DENGAN TUJUAN MENJUAL KELENGKAPAN KOMUNIKASI TIDAK DIPERAKUI

Tuesday 18/06/2024



CYBERJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Dua (2) orang pengarah syarikat masing-masing didenda sebanyak RM5,500.00 dan RM2,500.00 oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu baru-baru ini atas pertuduhan memiliki dengan tujuan untuk menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui iaitu walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S dan Wireless Adapter pelbagai jenama.
 
Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Tuan Amir Shah Amir Hassan telah membuat keputusan itu selepas kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) tersebut mengaku bersalah bagi pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
 
OKS pertama seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun didakwa atas dua (2) pertuduhan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kerana memiliki dengan tujuan untuk menjual lima (5) unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S dan enam (6) unit Wireless Adapter pelbagai jenama di Lintas Plaza, Kota Kinabalu pada 11 Oktober 2023.
 
Manakala OKS kedua pula seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun didakwa atas satu (1) pertuduhan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kerana memiliki dengan tujuan untuk menjual dua (2) unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S di Sinsuran Complex, 88000 Kota Kinabalu pada tarikh yang sama.
 
Bagi kesemua pertuduhan tersebut, OKS boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300,000.00 atau dipenjarakan maksimum tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.

Justeru, MCMC ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak melibatkan diri dengan aktiviti menjual, memiliki dan menggunakan apa-apa kelengkapan komunikasi yang tidak mempunyai pemerakuan. Hal ini bagi mengelakkan kesan buruk penggunaannya yang boleh mendatangkan impak negatif kepada pengguna.

Sebagai contoh, penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui boleh mengakibatkan gangguan kepada rangkaian telekomunikasi, kualiti perkhidmatan dan akhirnya mengundang masalah kepada pengguna lain. Selain itu, kelengkapan komunikasi tidak diperakui mungkin tidak berfungsi dengan baik dan mengakibatkan kualiti perkhidmatan yang rendah dan ketidakpuasan pengguna.
 
Orang ramai adalah dinasihatkan supaya menggunakan aplikasi ‘MCMC Check Your Label’ untuk menyemak status pemerakuan sesebuah kelengkapan komunikasi sebelum membeli dan menggunakannya.
 
KOMUNIKASI KORPORAT MCMC 

SUMBER : Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC)
Tel: 03 86 88 80 00
Fax: 03 86 88 10 00
E-mel : scd@mcmc.gov.my
Laman Web : www.mcmc.gov.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.