ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Julai 09, 2024 -Selasa

 
  CIMB MENJADI BANK MALAYSIA PERTAMA YANG MELENGKAPKAN SASARAN NYAHKARBON 2030 UNTUK SEKTOR PELEPASAN TINGGI, MEMPERCEPATKAN PERJALANAN KELESTARIAN KE ARAH SIFAR BERSIH MENJELANG TAHUN 2050

Wednesday 03/07/2024



Table

CIMB Group ialah bank Malaysia pertama yang melengkapkan penetapan sasaran nyahkarbon 2030 untuk sektor yang berpelepasan tinggi seperti perlombongan arang batu haba, simen, minyak sawit, kuasa, minyak dan gas dan hartanah dalam usaha untuk mencapai komitmen Sifar Bersih menjelang 2050. (Kiri-kanan) Luanne Sieh, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan, CIMB Group dan Gurdip Singh Sidhu, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Malaysia dan CIMB Bank Berhad, membentangkan kertas putih yang memperincikan rancangan nyahkarbon, laluan khusus sektor dan strategi untuk kesemua enam sektor.
 
 
CIMB mensasarkan pengurangan intensiti pelepasan bagi portfolio minyak & gas dan hartanah masing-masing sebanyak 16% dan 34% 
 
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- CIMB Group Holdings Berhad (“CIMB”) hari ini mengumumkan sasaran iklim 2030 untuk portfolio minyak dan gas dan hartanah, sekali gus menjadi bank Malaysia pertama yang melengkapkan penetapan sasaran nyahkarbon 2030 untuk sektor yang berpelepasan tinggi dalam usaha untuk mencapai komitmen Sifar Bersih menjelang 2050. Sektor-sektor lain termasuk perlombongan arang batu haba, simen, minyak sawit dan kuasa.
 
CIMB juga telah mengemas kini kertas putihnya yang diterbitkan sebelum ini, memperincikan rancangan nyahkarbon serta menggariskan laluan khusus sektor dan strategi segera secara teliti untuk kesemua enam sektor yang menyumbang kepada 60% portfolio pembiayaan pelepasan CIMB setakat 2023.
 
Gurdip Singh Sidhu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia dan CIMB Bank Berhad berkata, “Kami berbesar hati untuk mengumumkan penyempurnaan sasaran nyahkarbon 2030 CIMB yang menandakan satu pencapaian penting ke arah merealisasikan sasaran Sifar Bersih jangka panjang kami menjelang 2050. Sasaran interim ini menunjukkan akauntabiliti dan komitmen kami untuk mendorong peralihan yang adil di seluruh ASEAN. Dengan menghuraikan matlamat jangka panjang kami ke atas pencapaian yang boleh diukur dan dilaksanakan, kami membuka jalan untuk kemajuan yang nyata. Di samping usaha kami dalam melaksanakan langkah proaktif untuk menangani risiko iklim dalam portfolio kami, serta menggalakkan amalan kewangan yang mampan, CIMB juga kekal komited untuk menyokong dan memperkasakan pelanggan- pelanggan kami dalam peralihan ke amalan perniagaan yang lebih mampan.”
 
“Selain itu, rancangan nyahkarbon untuk sektor-sektor ini telah direka khas dengan teliti, sejajar dengan dasar kerajaan setiap negara. Ini menggambarkan dedikasi kami untuk memajukan objektif nasional di seluruh rantau di mana kami beroperasi," tambah Gurdip, yang juga menyelia usaha keseluruhan Kelestarian Kumpulan di CIMB.
 
CIMB komited untuk membantu pelanggan minyak dan gasnya dalam pelaksanaan usaha nyahkarbon dan peralihan ke arah sumber alternatif boleh diperbaharui dan rendah karbon dalam portfolio mereka. Justeru, CIMB menyasarkan untuk memudahkan peralihan dengan mengurangkan Intensiti Pinjaman Pelepasan Dibiayai ("FELI") bagi portfolio minyak dan gasnya sebanyak 16% menjelang 2030. Sasaran ini merangkumi pelepasan Skop 1, 2 dan 3 yang berasal dari penerokaan huluan tulen dan syarikat pengeluaran serta pemain minyak dan gas bersepadu.

Sasaran nyahkarbon tersebut ditetapkan berdasarkan Senario Pelepasan Sifar Bersih Agensi Tenaga Antarabangsa menjelang 2050 (“IEA NZE”), yang dipertingkatkan dengan cerapan daripada Senario Pembangunan Lestari Agensi Tenaga Antarabangsa (“IEA SDS”), untuk merumuskan senario Sifar Bersih yang bersesuaian bagi konteks ASEAN.
 
Pada masa yang sama, mulai 1 Januari 2025, CIMB juga akan menghentikan pembiayaan baharu khusus untuk penerokaan medan minyak huluan baharu yang diluluskan untuk pembangunan pasca 2021. Ini sejajar dengan IEA NZE, yang menyatakan bahawa di peringkat global, projek minyak dan gas baharu tidak diperlukan lagi selain daripada apa yang telah dilaksanakan setakat tahun 2021, memandangkan aset semasa sudah memenuhi penawaran dan permintaan. Walau bagaimanapun, dengan mengiktiraf peranan penting gas asli sebagai bahan api peralihan yang diperlukan oleh ASEAN, CIMB akan terus menyokong inisiatif-inisiatif berkaitan gas asli. Ini amatlah penting terutamanya dalam mengurangkan pergantungan terhadap arang batu dalam sektor tenaga dan memastikan sekuriti tenaga untuk memenuhi keperluan serta permintaan jangka pendek.
 
CIMB juga telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan intensiti pelepasan operasi portfolio hartanah komersilnya sebanyak 34% menjelang 2030. Sasaran interim ini, yang terdiri daripada pelepasan Skop 1 dan 2 oleh pelanggan hartanah CIMB ditetapkan sejajar dengan peningkatan dalam kecekapan tenaga yang dinyatakan oleh Pemantau Hartanah Risiko Karbon (“CRREM”) tetapi menggunakan kadar nyahkarbon grid kuasa selaras dengan laluan Senario Ikrar yang Diumumkan IEA (“APS”).
 
Pemilihan senario rujukan tersebut mengiktiraf bahawa walaupun pelanggan hartanah CIMB dapat mengawal kadar peningkatan kecekapan tenaga mereka, pencapaian sasaran ini amat bergantung kepada nyahkarbon bekalan kuasa grid, di mana CIMB menyedari bahawa pelanggannya mempunyai pengaruh yang terhad.
 
Untuk mencapai sasaran ini, CIMB akan secara aktif berusaha untuk membiayai pembangunan, pengubahsuaian dan penyelenggaraan bangunan yang lebih cekap tenaga termasuk peralihan tenaga dalam bangunan melalui pemasangan tenaga boleh diperbaharui di tapak seperti PV solar atas bumbung dan penyimpanan tenaga. Pada masa yang sama, CIMB juga menyokong penyahkarbonan grid kuasa melalui sasaran sektor Kuasa Jajaran Sifar Bersih kami.
 
Pada tahun 2021, CIMB merupakan Bank pertama dalam kalangan pasaran memuncul global yang mengumumkan komitmennya untuk mencapai kebebasan dari arang batu menjelang 2040, selaras dengan matlamat Perjanjian Paris. Baru-baru ini, CIMB juga muncul sebagai Bank pertama di seluruh dunia yang mengumumkan laluan nyahkarbon Sifar Bersih untuk portfolio minyak sawitnya. Ringkasan sasaran iklim 2030 CIMB adalah seperti di bawah:

Ringkasan sasaran iklim 2030 CIMB 
 
Luanne Sieh, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan, CIMB Group berkata, “Walaupun ini merupakan tanda aras penting dalam perjalanan Sifar Bersih kami, ia hanyalah satu permulaan. Kami kini giat melaksanakan langkah-langkah strategik ke dalam perniagaan sedia ada dan proses-proses risiko. Ini merupakan usaha komprehensif yang dijangka akan berlangsung dalam tempoh dua ke tiga tahun akan datang dan ia memerlukan penyelarasan yang meluas di seluruh Bank. Kolaborasi adalah amat penting, dan kami bekerjasama rapat dengan pelanggan kami untuk memacu perubahan yang memberi kesan dan nyahkarbon ekonomi sebenar, di samping melindungi sebuah peralihan yang adil.”
 
CIMB komited dalam usahanya untuk menyediakan pelbagai penyelesaian kewangan mampan kepada pelanggannya, berpandukan rangka kerja Produk dan Perkhidmatan Impak Hijau, Sosial, Mampan Kumpulan (“GSSIPS”), suatu taksonomi dalaman yang ditetapkan untuk menyampaikan kewangan mampan yang dampak. Pada tahun lepas, CIMB juga mengumumkan bahawa ia telah meningkatkan sasaran kewangan mampannya sebanyak tiga kali ganda kepada RM100 bilion menjelang 2024, peningkatan daripada sasaran awal RM30 bilion yang diumumkan pada 2021. Pada Disember 2023, CIMB telah merekodkan lebih RM80 bilion dalam kewangan mampan, dan berada pada landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran RM100 bilion, serta akan mengumumkan pelan baharu dalam masa terdekat.
 
Terbaru, CIMB melakar satu lagi kejayaan melalui pemilihannya ke dalam Kumpulan Pemandu Perikatan Perbankan Sifar Bersih (“NZBA”) yang diketuai oleh industri dan dihimpunkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Ini merupakan gabungan Bank global yang komited untuk membiayai peralihan kepada pelepasan gas rumah hijau Sifar Bersih menjelang 2050. Sebagai sebahagian daripada Kumpulan Pemandu ini, CIMB memainkan peranan penting dalam mengawasi pembuatan keputusan dan strategi serta menyediakan perspektif pasaran memuncul yang penting kepada meja perbincangan.
 
Untuk maklumat menyeluruh mengenai pendekatan, metodologi dan strategi peralihan CIMB berkaitan sasaran untuk kesemua enam sektor, sila layari https://www.cimb.com/en/sustainability/sustainability-cimb 

Tentang CIMB
 
CIMB Group merupakan sebuah institusi perbankan ASEAN yang terkemuka dan penyedia perkhidmatan kewangan kedua terbesar di Malaysia, mengikut aset. Disenaraikan di Bursa Malaysia melalui CIMB Group Holdings Berhad, CIMB mempunyai permodalan pasaran sekitar RM70.8 bilion setakat 31 Mac 2024. CIMB menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan pengguna, perbankan komersial, perbankan borong, perbankan transaksi, perbankan Islam dan pengurusan aset. Berpusat di Kuala Lumpur, CIMB beroperasi di lapan negara ASEAN (Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Kemboja, Vietnam, Myanmar dan Filipina).
 
Di luar ASEAN, CIMB Group turut beroperasi di pasaran China, Hong Kong dan UK. CIMB mempunyai salah satu rangkaian cawangan perbankan yang terluas di ASEAN dengan 601 buah cawangan dan sekitar 34,000 orang pekerja setakat 31 Mac 2024. Unit perbankan pelaburan CIMB merupakan salah sebuah bank pelaburan terbesar yang berpusat di Asia Pasifik, yang beroperasi di 16 negara di seluruh Asia Pasifik. CIMB juga memegang 92.5% saham di Bank CIMB Niaga, Indonesia dan 94.8% saham di CIMB Thai,Thailand. 

SUMBER : CIMB Group Holdings Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Anis Azharuddin/Kelvin Jude Muthu
Komunikasi Korporat Kumpulan
CIMB Group Holdings Berhad
Emel: anis.azharuddin@cimb.com / kelvinjude.muthu@cimb.com 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.