ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Julai 16, 2024 -Selasa

 
  ASWARA RAIKAN 30 TAHUN PENUBUHAN PADA MALAM KEMUNCAK FESTIVAL PETA 2024

Tuesday 09/07/2024



KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- YBhg. Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), telah merasmikan Malam Kemuncak Festival Penilaian Tahun Akhir (PeTA) 2024 yang berlangsung di Panggung Eksperimen, ASWARA. Di samping itu, ASWARA, satu-satunya institusi pengajian tinggi berteraskan bidang seni, budaya dan warisan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), turut meraikan ulang tahun ke-30 penubuhannya pada 6 Julai 2024.
 
Festival PeTA merupakan program signature ASWARA sejak 10 tahun lalu yang mengangkat karya para pelajar menerusi penilaian yang dilaksanakan oleh tenaga pengajar dan pihak industri. Para pelajar akan dinilai berdasarkan pementasan dan karya yang diketengahkan bermula pada 1 Julai 2024 yang lalu. Penilaian Tahun Akhir (PeTA) bersifat eskperimentasi ini dilihat sebagai mekanisma terbaik dalam wadah pendidikan kepada para pelajar sebelum memasuki industri sebenar seni kreatif. Sebanyak 100 karya seni hebat oleh para pelajar yang dinilai dari tujuh (7) fakulti telah dipersembahkan dalam bentuk persembahan teater, tari, muzik, filem, animasi, pameran visual, penulisan kreatif dan sebagainya. 
 
Tercatat di dalam lipatan sejarah ASWARA, sambutan ulang tahun yang ke-30 kali ini diraikan meriah dengan kehadiran pengurusan tertinggi MOTAC bersama Ketua-Ketua Pengarah Agensi di bawah MOTAC dan warga ASWARA. Tahun ini, ASWARA menjengah ke usia 30 tahun, dan sumbangannya dalam merekayasakan bidang seni budaya serta warisan ke peringkat lebih tinggi harus diakui. Banyak graduan dan insan seni terkemuka telah lahir dari hasil didikan cendekiawan serta tenaga pengajar di ASWARA. 

Hari Terbuka ASWARA 2024, yang berlangsung pada sebelah siangnya, telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan penglibatan seramai 800 pengunjung yang terdiri daripada orang awam, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pelajar sekolah dan pelajar ASWARA. Aktiviti seperti bengkel, persembahan, dan pameran demonstrasi yang disusun rapi bukan sahaja menarik perhatian ramai, malah turut memupuk minat masyarakat setempat terhadap bidang seni dan budaya yang terdapat di negara kita.
 
ASWARA berharap penganjuran program seumpama ini dapat dilihat sebagai salah satu mekanisme terbaik dalam memperkasakan serta melestarikan warisan seni budaya agar tidak ditelan zaman. Pada masa yang sama, program ini bertujuan membentuk generasi muda yang cakna dan menghargai kekayaan seni warisan bangsa. Usaha ini juga selari dengan imej ASWARA sebagai institusi pendidikan seni budaya terulung, yang terus mempromosikan dan mendekatkan seni budaya kepada masyarakat setempat.


SUMBER : AKADEMI SENI BUDAYA DAN WARISAN KEBANGSAAN (ASWARA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT
AKADEMI SENI BUDAYA DAN WARISAN KEBANGSAAN (ASWARA)
TEL : 03 – 2778 5921/5922/5923
FAKS : 03 – 2778 5903
LAMAN WEB: www.aswara.edu.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.