ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Julai 16, 2024 -Selasa

 
  ADUAN BERKAITAN PENJUALAN VAPE MENERUSI MESIN LAYAN DIRI (VENDING MACHINE)

Friday 12/07/2024



KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu berkaitan aduan penjualan rokok elektronik atau vape menerusi mesin layan diri (vending machine) sebagaimana tular di Aplikasi X pada 10 Julai 2024. 
 
Di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024   [Akta 852], Seksyen 10 ada memperuntukkan larangan penjualan dan pameran semua produk merokok. Peraturan berkaitan penjualan di mana larangan penjualan termasuk menerusi kaedah mesin layan diri (vending machine) adalah dilarang kini sedang diperhalusi dan akan dikuatkuasakan bersama Akta 852 setelah diluluskan.
 
Selain itu, larangan penjualan rokok elektronik melalui mesin layan diri ini juga kesinambungan daripada larangan penjualan hasil tembakau seperti rokok, cerut dan tembakau lerai melalui mesin layan diri di bawah peraturan sedia ada iaitu Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di bawah Akta Makanan 1983 [Akta 281].

Sebagai persediaan ke arah penguatkuasaan Akta bersama peraturan dan perintah di bawahnya, KKM telah mengadakan Siri Taklimat Penguatkuasaan Akta 852 kepada semua pegawai penguatkuasa KKM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara bermula 9 Jun 2024. Ini adalah bagi memaklumkan tentang larangan-larangan yang terdapat di bawah Akta 852 dan peraturan di bawahnya termasuk larangan penjualan produk merokok melalui mesin layan diri.
 
Khusus bagi aduan ini, pihak KKM telah turun dan bertemu dengan pihak pengurusan pusat membeli belah yang terlibat bagi menerangkan tentang larangan penjualan menerusi mesin layan diri tersebut. Pihak KKM turut menyarankan agar pihak pengurusan menutup operasi mesin layan diri tersebut serta merta sebagai tanggungjawab sosial dan mereka bersetuju serta akur dengan saranan tersebut.
 
KKM sentiasa mengadakan hebahan, taklimat dan sesi penerangan dari masa ke masa untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya tabiat merokok termasuk penggunaan rokok elektronik. Kepada golongan yang tidak merokok, jauhilah tabiat ini kerana ia boleh mengakibatkan kesan kesihatan. Manakala bagi golongan perokok dan pengguna rokok elektronik pula, anda dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan berhenti merokok mengikut kaedah yang diiktiraf oleh KKM di mana-mana klinik kesihatan yang menyediakan perkhidmatan berhenti merokok atau melalui laman sesawang www.jomquit.com
 
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
12 JULAI 2024 

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: NURHANIS ASYEERA BINTI RAHMAN
Unit Komunikasi Korporat
E-mel: nurhanisasyeera@moh.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.