ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Julai 17, 2024 -Rabu

 
  MALAYSIA ANTIMICROBIAL RESISTANCE (MYAMR) CONFERENCE 2024 - UNITE AGAINST ANTIMICROBIAL RESISTANCE (AMR): FIGHT RESISTANCE WITH EVIDENCE

Wednesday 17/07/2024



KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Kerintangan antimikrob (AMR) telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai antara sepuluh ancaman utama terhadap kesihatan global dan memberi impak terhadap pencapaian Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030. Implikasi daripada AMR ini termasuklah ancaman terhadap keselamatan dan keterjaminan makanan, peningkatan kadar kematian, tempoh tinggal di hospital yang lebih lama, beban kewangan yang meningkat ke atas sistem penjagaan kesihatan dan menjejaskan keupayaan kita untuk memerangi pandemik.

Berdasarkan kajian yang diterbitkan oleh jurnal The Lancet pada tahun 2022, dianggarkan 1.27 juta kematian di seluruh dunia pada tahun 2019 adalah secara langsung dikaitkan dengan AMR terutamanya di negara membangun. Selain itu, laporan Health and Economic Impacts of Antimicrobial Resistance in the Western Pacific Region, 2020-2030 oleh WHO Western Pacific Regional Office (WPRO) mengunjurkan jangkitan berkaitan AMR akan menyebabkan 5.2 juta kematian dan mengakibatkan jumlah kos ekonomi sebanyak US$ 148 bilion di Rantau Pasifik Barat di antara tahun 2020 - 2030.

Sebagai usaha berterusan bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan ahli profesional kesihatan berkaitan ancaman AMR, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkolaborasi dengan Malaysian Society of Infection Control and Infectious Diseases (MyICID) dalam menganjurkan Malaysia Antimicrobial Resistance (MyAMR) Conference 2024 pada 16-18 Julai 2024 bertempat di Petaling Jaya, Selangor. Sepanjang ianya berlangsung, persidangan ini telah dihadiri oleh lebih 900 orang peserta yang terdiri daripada pakar perubatan, pakar mikrobiologi, pegawai perubatan, pegawai farmasi, pegawai penyelidik, jururawat, penolong pegawai perubatan dan pelbagai disiplin lain daripada sektor awam dan swasta.

Bertemakan Unite Against Antimicrobial Resistance (AMR): Fight Resistance with Evidence, persidangan ini menyediakan platform bagi pakar-pakar terkemuka, ahli profesional kesihatan, penggubal dasar dan penyelidik untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta hasil penyelidikan mereka berkaitan aspek pencegahan dan kawalan infeksi (IPC), AMR serta Antimicrobial Stewardship (AMS).

Sorotan utama persidangan MyAMR 2024 pada kali ini adalah pelancaran tiga (3) buah garis panduan dan sebuah modul latihan dalam talian iaitu:

i. National Antimicrobial Guidelines (NAG), 4th Edition

Semakan dan pengemaskinian garis panduan ini secara berterusan adalah penting bagi memastikan kesesuaiannya dengan bukti saintifik dan amalan terbaik terkini. Sehubungan itu, pihak KKM telah mengambil inisiatif untuk mentransformasikan garis panduan ini daripada berbentuk cetakan buku dan e-book kepada sebuah living document yang boleh diakses dalam talian oleh semua ahli profesional kesihatan pada bila-bila masa. Melalui kaedah inovatif ini, saranan rawatan dan pemilihan antimikrobial akan sentiasa dikemaskini untuk dijadikan rujukan utama rawatan penyakit berjangkit yang berkaitan.

ii. Malaysian Consensus Guidelines on Treatment of Multi-drug Resistant Gram-Negative Infections

Jangkitan yang disebabkan oleh bakteria gram-negatif yang rintang terhadap pelbagai antimikrobial adalah salah satu cabaran terbesar yang dihadapi oleh setiap sistem penjagaan kesihatan. Oleh itu, garis panduan yang telah dibangunkan oleh Malaysian Society of Infectious Diseases and Chemotherapy (MSIDC) dan Malaysian Society of Infection Control and Infectious Diseases (MyICID) ini akan dapat memberikan panduan yang lebih jelas tentang rawatan dan strategi pencegahan yang mengimbangi antara keberkesanan, keselamatan dan kawalan penggunaan antimikrobial.

iii. Garis Panduan Perkhidmatan Outpatient Parenteral Antimicrobial Therapy (OPAT) di Hospital KKM

Perkhidmatan Outpatient Antimicrobial Therapy (OPAT) telah dimulakan secara rintis di Hospital Sungai Buloh sejak 2016 dan kini telah diperluaskan secara berperingkat di seluruh negara. Melalui perkhidmatan ini, rawatan antimikrobial intravena dapat diberikan kepada pesakit tanpa perlu kekal di wad dalam jangka masa yang lama. Bagi menyeragamkan perkhidmatan ini di fasiliti kesihatan, sebuah garis panduan telah dibangunkan yang merangkumi struktur organisasi, pembangunan perkhidmatan, proses kerja serta pemantauan dan pelaporan perkhidmatan OPAT.

iv. Modul Pencegahan dan Kawalan Infeksi (IPC) dalam talian

KKM dengan kerjasama WHO, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Infection Prevention and Control Interest Group for Malaysian Society of Infection Control and Infectious Diseases telah membangunkan sebuah Modul Pencegahan dan Kawalan Infeksi (IPC) dalam talian yang boleh diakses melalui platform e-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA), INTAN. Berdasarkan konsep pembelajaran kendiri, modul ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan ahli profesional kesihatan berkaitan pelaksanaan langkah-langkah IPC yang berkesan di fasiliti kesihatan. Modul ini merangkumi tujuh (7) buah topik seperti pengenalan kepada IPC, kebersihan tangan dan alat pelindung diri (PPE).

Antimikrobial merupakan sumber berharga yang perlu digunakan dengan berhemah bersandarkan bukti saintifik dan amalan terbaik terkini bagi memastikan ia kekal berkesan untuk seberapa lama yang boleh. Kerjasama padu melalui kolaborasi dan pendekatan One Health di antara kementerian, agensi, persatuan profesional serta masyarakat awam amat diperlukan bagi memperkukuhkan kawalan AMR, seterusnya memastikan antimikrobial yang sedia ada berkesan bagi menjamin kesejahteraan dan kesihatan manusia, haiwan dan keterjaminan makanan negara di masa akan datang.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

17 JULAI 2024

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia​

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini

Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187

--BERNAMA



 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.