ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Julai 20, 2024 -Sabtu

 
  MPC TINGKATKAN KECEKAPAN PEMBINAAN HOSPITAL SWASTA DI PAHANG

Friday 19/07/2024



PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah berjaya menganjurkan "Bengkel Peningkatan Produktiviti Melalui Pengukuhan Kemahiran Dalam Projek Rintis Pembinaan Pantas di Temerloh Bersama Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS)” di Putrajaya, semalam. Bengkel ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail, yang turut dihadiri oleh 42 peserta mewakili pelbagai pihak berkepentingan utama dalam sektor pembinaan kesihatan.
 
Bengkel ini menyaksikan penyertaan wakil dari Bahagian Dasar & Hubungan Antarabangsa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), CKAPS, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan KKM, Bomba Pahang, Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Kulim, pemaju, dan perunding projek. Tujuan utama bengkel ini adalah untuk mempertingkatkan kefahaman mengenai keperluan pembinaan berkaitan peraturan kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan swasta. Selain itu, bengkel ini juga bertujuan untuk memperbaiki proses sedia ada bagi meningkatkan kecekapan melalui projek rintis inisiatif pembinaan pantas sebuah hospital swasta di Temerloh, di bawah program GovX Pahang 1st.
 
Dalam ucapannya, Zahid Ismail menegaskan, kepentingan projek rintis ini sebagai sebahagian daripada usaha mempercepatkan proses pembinaan di Pahang, khususnya untuk hospital swasta. "Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dalam pembinaan tetapi juga memastikan semua proses dan kelulusan yang diperlukan dapat diselaraskan dan dipatuhi dengan lebih baik”, ujar beliau.
 
Dalam bengkel ini, beberapa penyelarasan telah dibuat bagi memudahcara kelulusan. Antaranya kelulusan Borang 1, Bahagian 1 yang mana pihak pengawalselia bersetuju untuk memberi kelulusan dalam tempoh 7 hari bekerja sekiranya perunding mematuhi ulasan dan mengemukakan permohonan lengkap seperti yang dipersetujui dalam bengkel ini. Kelulusan ini memberi peluang kepada perunding untuk mengemukakan permohonan pelan bangunan kepada Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) bagi tujuan proses pembinaan seterusnya.
 
Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti dalam sektor pembinaan dan kesihatan, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan. Langkah ini bakal memperkukuh kedudukan Pahang sebagai pusat pelaburan yang produktif dan berdaya saing. Penambahbaikan yang dilaksanakan dijangka membawa kepada tadbir urus yang lebih baik, peningkatan produktiviti, dan daya saing negara yang lebih tinggi.

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama.  
 
SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) 
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Mohd Azhar
Tel: 013-3305953
E-mel: : mohdazhar@mpc.gov.my
 
Nama: Noor Izzati Kamis
Tel: 012-2867346
E-mel: noorizzati@mpc.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.