ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Julai 19, 2024 -Jumaat

 
  ASEAN HERITAGE TRAIN ENHANCING CONNECTIVITY TOWARDS CULTURAL DIVERSITY

Friday 19/07/2024



Table
Majlis Pembukaan ASEAN Heritage Train: Enchanting Connectivity Towards Cultural Diversity
 
KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Bahagian Hubungan Antarabangsa Kebudayaan (HAK), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah penyelarasan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), MOTAC dengan kerjasama Persatuan Penggiat Pelancongan Senibudaya Warisan Kraf Negeri Selangor (PESTA) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad  akan menganjurkan program ASEAN Heritage Train – Enhancing Connectivity towards Cultural Diversity. Program ini merupakan program di bawah ASEAN Cultural Fund (ACF) dengan penglibatan penggiat seni budaya bidang Seni Persembahan, Gastronomi dan Kraf daripada sembilan (9) negara ASEAN iaitu Brunei, Filipina,Indonesia,Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar,Thailand dan Vietnam.  Program ini akan merentasi tiga (3) buah negara ASEAN iaitu Lao PDR, Thailand dan Malaysia yang akan diadakan pada 09 Julai hingga 26 Julai 2024 menggunakan keretapi sebagai pengangkutan utama.
 
Program ini menjadikan keretapi sebagai medium utama bagi memudahkan interaksi, menggalakkan keharmonian serantau, dan menghubung kekayaan warisan budaya ASEAN. Perjalanan bermula di Laos dan melalui Thailand sebelum berakhir di Malaysia. Sepanjang laluan yang menarik ini, para delegasi akan terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk persembahan kesenian, pameran, bengkel, demonstrasi kraf dan masakan tradisi.
 
Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memupuk pemahaman dan penghayatan yang lebih mendalam tentang kepelbagaian budaya yang kaya di rantau ini. Selain itu juga, ia dapat mengukuhkan hubungan dan kerjasama dalam kalangan peserta, mewujudkan rangkaian kerjasama untuk perkongsian dan memudahkan aktiviti kerjasama pada masa hadapan. Ia juga memperkenalkan seni budaya tempatan di samping mempromosikan tempat-tempat pelancongan setempat.
 
Program AHT ini akan bermula pada 9 hingga 14 Julai 2024 di Luang Prabang, Vang Vieng dan Vientiane, Laos, seterusnya  15 hingga 20 Julai 2024 di Nong Khai, Bangkok, Petchaburi dan Songkhla, Thailand dan pada 21 hingga 26 Julai 2024, peserta AHT akan ke Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
 
Para peserta AHT akan memasuki Malaysia melalui Kompleks ICQS Padang Besar dan seterusnya dibawa melawat ke Muzium Padi pertama di Malaysia dan keempat di dunia iaitu di Sungai Keriang, Alor Setar, Kedah. Peserta AHT akan diperkenalkan dengan pelbagai persembahan kesenian tradisional negeri Kedah ketika berlangsungnya Majlis Makan Malam. Salah satu pengisian adalah persembahan Mek Mulung yang telah mendapat pengiktirafan di bawah senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Yang Perlu Dilindungi UNESCO. Selain itu juga, para peserta akan mengunjungi Kompleks Kraftangan Kedah, menyertai demonstrasi makanan tradisional di Pekan Rabu dan menikmati pemandangan indah di Menara Alor Setar.
 
Seterusnya, para peserta AHT akan dibawa menaiki komuter dari Stesen KTM Alor Setar ke Stesen KTM Butterworth dan akan menaiki feri ke Georgetown, Pulau Pinang. Sebuah pengalaman yang tidak akan dilupakan apabila berada di lokasi Tapak Warisan Dunia (UNESCO). Di sini peserta AHT berpeluang menikmati makanan popular di sekitar Pulau Pinang antaranya Nasi Kandar, Masakan Jawi Peranakan, Kuih Tradisi Peranakan,  Char Kuey Tiaw dan macam-macam lagi. Peserta AHT turut dibawa mengunjungi Peranakan Mansion dan akan menonton persembahan Teochew Puppetry Puppet di Teochew Puppet & Opera House Lebuh Armenian Pulau Pinang dan persembahan Boria di JKKN Pulau Pinang.
 
Peserta AHT akan berada di Pulau Pinang sehingga 23 Julai 2024 dan akan menggunakan perkhidmatan keretapi sewaan khas (Charter Train) khusus dari Stesen KTM Butterworth ke Stesen KTM KL Sentral. Terdapat pelbagai pengisian dalam tren ini yang dirujuk ‘Arts and Culture On Board’ antaranya persembahan Wayang Kulit dan Dikir Barat, bengkel hiasan kepala tradisional, demonstrasi kraftangan dan makanan tradisional serta persembahan busking yang disertai oleh pelbagai NGO yang bergiat aktif dalam bidang masing-masing.
 
Antara pengisian utama program ini adalah Pameran Hiasan Kepala Tradisional ASEAN yang akan berlangsung pada 22 Julai hingga 24 Julai 2024 di KL Sentral. Majlis pelancaran pameran ini akan diadakan pada 23 Julai 2024 dan dijangka disempurnakan oleh YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Pameran ini mendapat kerjasama daripada Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu dan World Culture Organization (WCO). Orang ramai akan dapat melihat hiasan kepala tradisional daripada negara-negara ASEAN termasuk destar Alam Melayu serta hiasan kepala seni persembahan pelbagai kaum.
 
Peserta AHT akan berada di Kuala Lumpur sehingga 26 Julai 2024. Di Kuala Lumpur, peserta akan menyertai Lawatan Pelancongan Budaya dengan menaiki bas Hop On Hop Off. Mereka akan mengunjungi lokasi-lokasi yang menarik di sekitar Kuala Lumpur antaranya KLCC, Dataran Merdeka, Istana Negara, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dan Tugu Negara. Peserta AHT juga diberi peluang menyertai Masterclass Gastronomi iaitu Nasi Ulam dan Masterclass Mak Yong di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) seterusnya akan membuat lawatan di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
 
Program ini mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai agensi antaranya Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Jabatan Warisan Negara, Jabatan Penyiaran Malaysia, Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
 
“Diharap program ini akan dapat memupuk semangat menghargai seni budaya dan menyediakan platform komuniti tempatan untuk terlibat sama serta mengukuhkan identiti ASEAN. Program ini juga secara tidak langsung akan dapat membantu meningkatkan pemahaman budaya, menggalakkan pertukaran kebudayaan, dan menyumbang kepada komuniti ASEAN yang lebih inklusif, berhubung dan mapan” Kata Encik Mohd Amran bin Mohd Haris Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam kenyataannya hari ini.
 
Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, boleh layari pautan bahan promosi dalam google drive di https://drive.google.com/file/d/1kUc5aEDzap2hHN4aG_xeypJc_xcSYSnJ/view?usp=sharing dan melayari media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya.  

Dikeluarkan Oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 03-2614 8200 
Faks: 03-2697 0786
Laman Sesawang: www.jkkn.gov.my 
E-mel: ukk@jkkn.gov.my
Platform Media Sosial Rasmi JKKN:
Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & YouTube: @mysenibudaya 

--BERNAMA 
 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.