ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Julai 30, 2024 -Selasa

 
  LADANG AYAM MODEN TINGKAT PRODUKTIVITI INDUSTRI PENTERNAKAN PAHANG

Monday 29/07/2024



TEMERLOH, 29 Julai (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan produktiviti serta daya saing negara dalam pelbagai sektor termasuklah sektor penternakan. Dalam usaha memastikan sekuriti makanan khususnya di negeri Pahang terjamin, MPC dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Pahang telah menganjurkan Bengkel Peningkatan Produktiviti melalui Penternakan Ayam Moden Negeri Pahang yang melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Agensi pengawal selia yang terlibat serta persatuan penternak.  
 
Menurut Pengarah MPC Pahang, Dr. Noor Aishah Haji Hassan, melalui ucapan aluannya menyatakan penganjuran program ini adalah menyelaras keperluan pengawalselia dan memastikan pihak pemain industri mematuhi peraturan dengan kaedah pemudahcaraan. Pemain industri perlu dibantu dalam proses pertukaran ladang ayam tradisional kepada ladang ayam moden ke arah mewujudkan persekitaran perladangan penternakan ayam yang kondusif. Ini selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN2.0) 2021-2030 bagi mewujudkan persekitaran pembangunan yang mampan.
 
Pengarah DVS Negeri Pahang berdasarkan ucapan perasmiannya menyokong penuh usaha ini dan menyatakan pengeluaran ayam di negeri Pahang tidak hanya menyokong ekonomi tempatan tetapi juga memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan makanan yang mencukupi, selamat, dan berkualiti untuk penduduk serta memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa. Sehubungan itu dengan mengambil kira perkembangan semasa, pelbagai isu dan cabaran yang muncul ke arah usaha reban ayam moden, semua pihak termasuk agensi kerajaan dan industri perlu bekerjasama untuk menyelesaikan secara bijak dan efektif.
 
Bengkel dua hala ini mencadangkan penambahbaikan peraturan dalam mempercepatkan proses  kelulusan pertukaran ladang ternakan ayam moden Pahang.  Dalam usaha memastikan produktiviti dan daya saing industri penternakan sentiasa berada pada tahap yang terbaik, antara cadangan yang dikenalpasti adalah proses penambahbaikan terhadap Pemutihan Ladang Sediada (<50,000 Ekor), Pemutihan Ladang Sediada Terbuka (>50,000 Ekor), Pemutihan Ladang Sediada Tertutup (>50,000 Ekor) dan Permohonan Ladang Baru Tertutup.
 
Inisiatif penambahbaikan ini dijangka akan dapat meningkatkan kecekapan urusan pembangunan ladang ternakan ayam moden di Negeri Pahang. Beberapa jangkaan hasil dan impak positif akan dicapai, antaranya adalah peningkatan pengeluaran sebanyak 20%, pengurangan kos operasi perniagaan sebanyak 15%, serta peningkatan tahap sara diri pengeluaran produk unggas negara kepada 140% menjelang tahun 2030. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti dalam sektor penternakan tetapi akan turut menyumbang dalam menstabilkan harga produk ayam, memastikan sekuriti makanan negara terjamin, dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.
 
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 
 
SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
 
Nama: Roslinda Abdul Hamid
Tel: 019-2296199
E-mel: lynda@mpc.gov.my

Nama: Noor Izzati Kamis
Tel: 012-2867346 
E-mel:  noorizzati@mpc.gov.my 

--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.