ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Julai 31, 2024 -Rabu

 
  LARANGAN JUALAN PRODUK AIS KRIM YANG DICAMPURKAN DENGAN UBAT BATUK PEI PA KOA

Tuesday 30/07/2024



KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum dan memandang serius penjualan produk ais krim yang dicampur dengan ubat batuk tradisional Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) oleh sebuah rangkaian premis jualan ais krim.

KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah membuat semakan terhadap aktiviti penjualan tersebut di premis yang ditularkan mendapati bahawa ais krim tersebut disediakan bersama picagari yang berisi ubat batuk Pei Pa Koa.

Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) adalah produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM, di bawah kategori Tradisional, dengan nombor pendaftaran MAL06061564T yang digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.

Di bawah Seksyen 13B (2), Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk ini adalah diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut bagi tujuan keselamatan kepada pengguna dan orang ramai. Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut. Pihak industri makanan adalah diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan untuk pemasaran dan melariskan jualan.

Orang ramai juga adalah dinasihatkan supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan perlu sentiasa berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan yang tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) seperti berikut:

· http://moh.spab.gov.my
· https://www.facebook.com/bkkmhq
 
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
30 JULAI 2024 

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia


UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini

Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.