ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Ogos 01, 2024 -Khamis

 
  MCMC PERKENAL KERANGKA KAWAL SELIA UNTUK PEMBERI PERKHIDMATAN PESANAN INTERNET DAN MEDIA SOSIAL

Thursday 01/08/2024



 
CYBERJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Kerangka kawal selia bagi perkhidmatan pesanan Internet (Internet messaging services) dan perkhidmatan media sosial (social media services) akan diwartakan pada hari ini dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025. Langkah ini diambil untuk memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dan judi dalam talian, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Menerusi penguatkuasaan kerangka ini, semua pemberi perkhidmatan pesanan Internet dan pemberi perkhidmatan media sosial yang mempunyai sekurang- kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta  588).  Mana-mana  pemberi  perkhidmatan  yang  beroperasi tanpa lesen selepas tempoh tersebut adalah melakukan suatu kesalahan, dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil.

Semasa tempoh penangguhan (grace period) (iaitu daripada 1 Ogos 2024 sehingga 31 Disember 2024), MCMC akan membangunkan garis panduan komprehensif yang memperincikan keperluan etika dan tanggungjawab (conduct requirements) yang mesti dipatuhi secara proaktif oleh pemberi perkhidmatan tersebut di Malaysia. Antara lain, pemberi perkhidmatan dikehendaki untuk memperkenalkan langkah-langkah yang kukuh berkaitan perlindungan data pengguna, pengesahan umur untuk menghalang penggunaan platform yang disediakan oleh pemberi perkhidmatan tersebut oleh pengguna di bawah umur 13 tahun, kaedah menangani kemudaratan dalam talian dan meningkatkan penyederhanaan kandungan (content moderation).

Selain itu, langkah-langkah untuk memudahkan prosedur aduan pengguna dan mengurangkan tempoh maklum balas serta langkah-langkah untuk menguruskan ‘deepfakes’ dan kandungan berbahaya yang dijana oleh Kecerdasan Buatan (AI), juga perlu diberi penekanan oleh pemberi perkhidmatan tersebut.

Dalam membangunkan garis panduan ini, rundingan awam akan dijalankan oleh MCMC. Semua pihak berkepentingan termasuk pertubuhan masyarakat sivil (CSO), badan bukan kerajaan (NGO), pemberi perkhidmatan dan orang awam dijemput untuk memberikan maklum balas apabila proses rundingan awam dimulakan.

MCMC sekali lagi menegaskan bahawa pengguna yang menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh pemberi perkhidmatan tersebut tidak akan terkesan dengan kerangka kawal selia ini dan hanya pemberi perkhidmatan sahaja (contoh: Facebook, Facebook Messenger, Instagram, Telegram, TikTok, WeChat, WhatsApp, X dan YouTube) yang dikehendaki untuk mendapatkan lesen daripada MCMC, jika memenuhi kriteria pelesenan.

Pengguna sebaliknya akan mendapat manfaat dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan dan pengalaman yang lebih baik hasil pematuhan terhadap undang-undang Malaysia secara proaktif oleh pemberi perkhidmatan. Pengguna boleh menjangkakan persekitaran dalam talian yang lebih selamat serta saluran aduan yang lebih jelas berkaitan kemudaratan dalam talian.

Maklumat terperinci dan butiran mengenai kerangka kawal selia ini boleh didapati di laman sesawang MCMC di https://www.mcmc.gov.my/.
 
KOMUNIKASI KORPORAT MCMC

Sumber: Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC)
Tel: 03 86 88 80 00
Faks: 03 86 88 10 00
E-mel : scd@mcmc.gov.my
Laman Web : www.mcmc.gov.my


--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.