ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Ogos 15, 2024 -Khamis

 
  DUA PELAJAR CEMERLANG MALAYSIA DIPILIH MENYERTAI PROGRAM PELAJAR MUSIM PANAS CERN 2024 (CSSP)

Wednesday 14/08/2024



KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Dua pelajar cemerlang Malaysia, Nurul Nabiilah Sulaiman, 25, dan Shim Zi Jun, 23, telah terpilih untuk menyertai Program Pelajar Musim Panas CERN (CSSP) di Geneva, Switzerland. Mereka merupakan antara 150 saintis muda dari seluruh dunia yang telah ditawarkan peluang istimewa bagi mengambil bahagian secara aktif dalam operasi harian kumpulan penyelidik yang menjalankan eksperimen di Pertubuhan Penyelidikan Kajian Nuklear Eropah (CERN). Program ini sedang berlangsung bermula 1 Julai hingga 25 Ogos 2024.
 
Nurul Nabiilah merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Fizik dari Universiti Malaya dan sedang melanjutkan Ijazah Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Minat beliau terhadap komuniti dan sains telah mendorong semangat kerjasama dan dedikasinya terhadap pembelajaran yang berterusan.
 
“Saya sangat teruja dan berbesar hati untuk mewakili Malaysia di CSSP 2024. Ini adalah peluang yang luar biasa bagi merealisasikan impian saya untuk menjejakkan kaki di makmal fizik zarah terbesar di dunia! Peluang sekali seumur hidup ini membolehkan kami menyumbang kepada penyelidikan baharu dan membawa semangat inovatif negara kita ke peringkat global. Selepas program ini, saya bercita-cita untuk memberi inspirasi kepada belia Malaysia, memupuk minat mereka dalam sains, terutamanya dalam fizik dan kejuruteraan, seterusnya meningkatkan komuniti saintifik negara. Pengalaman ini benar-benar bermakna dalam hidup saya, sesuatu yang tidak akan saya lupakan,” kata Nurul Nabiilah.
 
Zi Jun yang mahir dalam AutoCAD, Revit, dan program Microsoft Office, bersemangat untuk menyumbangkan kepakaran kejuruteraan beliau kepada CSSP. Beliau merupakan pelajar Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Awam di University of Nottingham.
 
“Saya berbangga dan berbesar hati untuk mewakili Malaysia dalam program ini. Saya sangat bersyukur kerana ia membantu saya merealisasikan impian zaman kanak-kanak saya. Dengan pendedahan yang tidak ternilai dalam sains, perspektif saya tentang kehidupan telah berubah menjadi lebih baik dan telah membantu saya melangkah keluar dari zon selesa saya. Saya berharap dengan berkongsi pengalaman ini, ia akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar STEM masa hadapan di Malaysia,” kata Zi Jun.
 
Sejak tahun 2012, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menghantar 25 pelajar, termasuk edisi tahun ini, ke CSSP untuk meningkatkan keupayaan saintifik negara serta mempromosikan kerjasama antarabangsa.
 
“CSSP merupakan peluang penting untuk bakat muda tanah air untuk berkembang, berinovasi, dan memimpin Malaysia ke masa hadapan dengan kecemerlangan saintifik dan teknologi. Inisiatif ini dapat menyumbang kepada agenda nasional kita dalam membangunkan kumpulan bakat yang teguh. Dengan melabur usaha dalam pelajar kita, kita sedang mempersiapkan mereka untuk menjadi lebih cemerlang dalam bidang memuncul masing-masing dan menyokong visi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030,” kata YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
 
Presiden ASM, YBhg. Academician Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc berkata, “Penyertaan pelajar Malaysia dalam CSSP sejajar dengan misi ASM untuk memupuk dan membangunkan bakat terkemuka dalam sains, teknologi dan inovasi. Penyertaan dalam program antarabangsa yang berprestij seperti CSSP memupuk bakat bernilai tinggi yang akan menyumbang secara positif kepada kapasiti dan keupayaan inovasi kita. Rangkaian institusi dan individu yang dibangunkan melalui hubungan global ini akan memberi pengaruh besar dalam meningkatkan pembangunan teknologi Malaysia dan daya saing global.”
 
Tahun ini, ASM menjalankan proses pencalonan dan pemilihan CSSP di mana 47 calon telah disenarai pendek. Jawatankuasa Pemilihan CSSP telah menjalankan temuduga bagi mengenal pasti calon yang paling cemerlang. Dua nama telah dihantar daripada kumpulan ini kepada CERN, dengan Nurul Nabiilah dan Zi Jun telah terpilih untuk menyertai program ini.
 
CSSP 2024 menjanjikan pengalaman yang menyeluruh dengan ceramah khusus oleh pakar global dalam teori dan eskperimen fizik zarah, kejuruteraan dan pengkomputeran. Peserta akan terlibat dalam lawatan ke kemudahan utama CERN seperti ATLAS, Synchrocyclotron, Antiproton Decelerator dan Pusat Data. Aktiviti-aktiviti ini akan memberikan pengalaman praktikal di makmal yang canggih, memperdalam pemahaman mereka dan memupuk perbincangan interaktif.
 
Disediakan oleh:
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI, dan
AKADEMI SAINS MALAYSIA

14 OGOS 2024
 
Kit Media: https://bit.ly/CSSP2024_Malaysia   

Sumber: KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Syakirah Nurizzati Mohamad Hood
Tel: +6017 6780 925
E-mel: syakirah.nurizzati@akademisains.gov.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.