ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Ogos 15, 2024 -Khamis

 
  SITUASI SEMASA KES MONKEY POX (MPOX)

Thursday 15/08/2024



KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada laporan media antarabangsa mengenai peningkatan kes Monkey Pox (mpox) di rantau Afrika baru-baru ini. Merujuk kepada laporan situasi mpox yang dikeluarkan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertarikh 12 Ogos 2024, dalam tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2024 terdapat sebanyak 99,176 kes mpox di seluruh dunia melibatkan 116 buah negara, dengan 208 (0.21%) kematian. Pada bulan Jun 2024 sahaja, terdapat 934 kes dan empat (4) kematian yang dilaporkan di seluruh dunia, yang mana 567 kes (60%) adalah dari rantau Afrika.
 
Di Malaysia, jumlah keseluruhan mpox yang disahkan setakat ini ialah sembilan (9) kes di mana kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan yang terakhir dilaporkan pada bulan November 2023. Kesemua kes mempunyai sejarah menjalankan aktiviti berisiko dan kini telah pun sembuh dan tiada kematian dilaporkan. Berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh pihak KKM, tiada kes mpox baharu yang dilaporkan sehingga kini.
 
Mpox ialah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox, iaitu spesis di bawah genus Orthopoxvirus. Jangkitan boleh berlaku antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox.

Jangkitan juga boleh berlaku melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim.

Gejala mpox ialah demam berserta ruam “maculopapular rash” atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea. Tempoh pengeraman (incubation period) iaitu tempoh daripada terdedah kepada jangkitan sehingga individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima (5) hingga ke 21 hari. Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering sepenuhnya.
 
Individu yang mempunyai sejarah aktiviti berisiko dan bergejala dinasihatkan agar menjalani pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran. Pengamal perubatan yang merawat kes disyaki dan kes yang disahkan perlu melaporkan ke Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran agar siasatan, langkah-langkah pencegahan dan kawalan dapat dijalankan bagi mengelakkan berlaku penularan jangkitan. Bagi pengurusan kes mpox, pengamal perubatan boleh merujuk kepada garis panduan “Guidelines on mpox management in Malaysia” di laman sesawang portal rasmi KKM (www.moh.gov.my).
 
KKM ingin menasihatkan kepada semua individu yang ingin melawat ke Negara-negara yang melaporkan mpox agar sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dan mengelakkan aktiviti berisiko. Disamping itu semua pengembara yang tiba dari negara-negara berkaitan dinasihatkan untuk memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan mpox bagi tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia. KKM akan terus memantau situasi mpox di dalam dan luar negara dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
 
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
15 OGOS 2024

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia


UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini

Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.