ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Ogos 24, 2024 -Sabtu

 
  TALENTCORP DAN NSDC INTERNATIONAL MENANDATANGANI MOU KHIDMAT NASIHAT BERHUBUNG TEKNOLOGI BAGI MEMBINA EKOSISTEM KEMAHIRAN DIGITAL DI MALAYSIA

Thursday 22/08/2024



Table
Pertukaran MoU antara TalentCorp yang diwakili oleh Thomas Mathew (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp) dan NSDC International yang diwakili oleh Ved Mani Tiwari (Pengarah Urusan dan CEO NSDC International)  disaksikan oleh YB Steven Sim Chee Keong, Menteri KESUMA bersama Menteri Pembangunan Kemahiran dan Keusahawanan India, YB Jayant Chaudhary diiringi oleh pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan Kemahiran dan Keusahawanan India dan KESUMA.
 
NEW DELIHI, 22 Ogos (Bernama) -- Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), sebuah agensi dan badan pemikir di bawah Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA), telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan NSDC International, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Kemahiran Nasional (NSDC) India. Kerjasama strategik ini berperanan sebagai penyelesaian untuk pembangunan kemahiran digital yang bertujuan melengkapkan belia Malaysia dengan kemahiran masa hadapan, sambil memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan India serta inisiatif pembangunan kemahiran di kedua-dua negara.
 
Pertukaran MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif NSDC International, Ved Mani Tiwari telah berlangsung di ibu pejabat NSDC dan disaksikan oleh YB Steven Sim Chee Keong, Menteri KESUMA, serta rakan sejawatnya Menteri Pembangunan Kemahiran dan Keusahawanan India, YB Jayant Chaudhary.
 
MoU ini melengkapi perjanjian pertama yang telah ditandatangani pada Mac 2023 antara TalentCorp dan NSDC, yang membawa kepada penubuhan MyMAHIR Future Skills Talent Council (FSTC) yang dipacu industri oleh TalentCorp. Inisiatif ini membolehkan pemimpin industri mengenal pasti keperluan kemahiran yang berkembang dalam sektor tertentu dan menerajui latihan yang diperlukan untuk memastikan bakat dilengkapi dengan kemahiran semasa dan masa depan.
 
Sehingga hari ini, enam Majlis FSTC telah ditubuhkan yang meliputi sektor seperti E&E, ICT, Aeroangkasa, Biopharma & Pembuatan, Perkhidmatan Pembuatan Makanan, serta Perkhidmatan Global & Pusat Data, dengan empat lagi ditetapkan untuk dilancarkan menjelang September 2024.
 
Dalam ucapan beliau, YB Steven Sim, Menteri KESUMA turut berkata perbincangan dengan India telah membawa kepada perkongsian untuk meningkatkan kemahiran belia Malaysia.
 
"KESUMA, melalui TalentCorp, telah merangka program latihan kemahiran khusus berdasarkan cadangan dan bimbingan FSTC. Kami mendapati bahawa, rata-rata peserta yang menyertai latihan kemahiran berdasarkan panduan FSTC ini biasanya memperoleh gaji 10-15% lebih tinggi, membuktikan hubungan kukuh antara peningkatan produktiviti dan kenaikan gaji," ujarnya.
 
"Dengan MoU baharu itu, kedua-dua Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dan mencapai kejayaan yang lebih besar untuk kedua-dua negara," katanya.
 
Memorandum baharu antara TalentCorp dan NSDC akan memberi tumpuan kepada dua bidang utama iaitu: pertama, pendigitalan ekosistem bakat Malaysia melalui perkongsian pengetahuan dan kolaborasi dalam Hab Digital Skills India NSDC; kedua, memperkenalkan kelayakan digital untuk warga India yang bekerja di Malaysia yang disahkan.
 
KESUMA turut akan melancarkan platform digital yang merangkumi pembangunan kurikulum, reka bentuk latihan, penciptaan kandungan, dan amalan terbaik pensijilan untuk meningkatkan peluang pekerjaan belia di Malaysia dan di peringkat global.
 
Strategi ini diadaptasi daripada Skill India Digital Hub yang dengan mengintegrasikan kemahiran, pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan di India. Ekosistem digital ini memberikan Malaysia peluang untuk mengguna pakai model yang berjaya ini, dengan memberi fokus dalam AI dan Digital.
 
Dalam ucapannya, YB Jayant Chaudhary, Menteri Pendidikan dan Menteri Negeri (Independent Charge) Kerajaan India, berkata, “Program pembangunan kemahiran di India dibentuk dengan fokus pada keperluan industri. Melalui tinjauan dari akar umbi, kami mengenal pasti jurang kemahiran kritikal, dan Hab Digital Skill India memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang tersebut. Saya yakin TalentCorp akan mendapat manfaat besar daripada khidmat nasihat teknologi yang disediakan oleh NSDC International. Perkongsian ini membuka peluang berharga untuk pembelajaran dan pertumbuhan bersama bagi kedua-dua negara.”
 
Turut hadir pada majlis itu ialah Atul Kumar Tiwari, Setiausaha Menteri Pembangunan Kemahiran dan Keusahawanan (MSDE) India; serta para pegawai kanan daripada KESUMA, TalentCorp, MSDE dan MPPK.
 
Untuk maklumat lanjut bagi inisiatif MyMAHIR FSTC, sila layari lama sesawang www.talentcorp.com.my/mymahir
 
Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad

Mengenai Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)
 
Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang bertanggungjawab melalui mandatnya untuk menarik, memupuk dan mengekalkan modal insan serta kepakaran yang terbaik dalam menyokong perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju. Usaha TalentCorp dipacu oleh kerjasama erat dengan pelbagai kementerian, pihak berkepentingan di dalam industri dan institusi pengajian menerusi inisiatif yang menumpukan kepada 3 penawaran khidmat utama: Penyaluran, Kepelbagaian dan Mobiliti modal insan di Malaysia.
 
Mengenai NSDC International 
NSDC International adalah syarikat subsidiari 100% milik NSDC yang bertujuan untuk mencapai objektif Skill India International, menjadikan India sebagai sumber utama global bagi bakat berkualiti, menyediakan peluang pekerjaan global untuk warga India, memberikan mobiliti kerjaya global untuk warga India di luar negara, dan mewujudkan ekosistem kemahiran berkualiti yang setaraf dengan piawaian antarabangsa. NSDC International bertujuan untuk menjadikan India sebagai hab pilihan untuk bekalan tenaga kerja terlatih di seluruh dunia. NSDC International memainkan peranan penting dalam mewujudkan sistem yang memudahkan dan memacu kerjasama nasional dan antarabangsa bagi pekerjaan di luar negara melalui program-program khusus yang disesuaikan dengan keperluan pekerjaan global dan setanding dengan piawaian antarabangsa. Selain itu, ia juga berhasrat untuk memanfaatkan pengetahuan sedia ada NSDC dan pembelajaran pengalaman untuk menyediakan perkhidmatan teknikal bagi pembangunan kemahiran.
 
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif TalentCorp, layari
www.talentcorp.com.my ataupun ikuti @TalentCorpMsia di media sosial LinkedIn, Twitter, Facebook dan Instagram. 

SUMBER: Talent Corporation Malaysia Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Ahmad Anis
Tel: 019-390 5987
Emel: anis.kamil@talentcorp.com.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.