ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

September 14, 2024 -Sabtu

 
  25 ORGANISASI DINOBATKAN SEBAGAI JUARA ANUGERAH TENAGA KEBANGSAAN (NEA) BAGI KEPIMPINAN TENAGA LESTARI DENGAN PENJIMATAN TENAGA SEBANYAK RM 45 JUTA SETAHUN

Friday 13/09/2024



Table
Tahniah kepada pemenang Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2024. 
 
KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2024 meneruskan tradisinya mengiktiraf pemimpin industri dan organisasi atas komitmen mereka menerima pakai konsep dan amalan tenaga. Pada tahun ini, sebanyak 25 penyertaan diberikan penghargaan atas sumbangan besar mereka mengoptimumkan pengurusan tenaga, meningkatkan kecekapan tenaga, dan memajukan tenaga boleh baharu.

NEA yang diterajui oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mendukung cita-cita Malaysia untuk menggalakkan amalan tenaga yang lestari di semua sektor serta mengurangkan kebergantungan pada bahan bakar berasaskan karbon, sekali gus memajukan negara ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

NEA tahun ini menerima 134 penyertaan daripada pelbagai sektor, termasuk sektor kesihatan, badan kerajaan, dan sektor swasta. Usaha ini menjimatkan 315.37 GWj pengunaan tenaga dan kira-kira RM 45 juta kos tenaga setahun, serta menjana lebih 283.71 GWj daripada tenaga boleh baharu. Sektor kesihatan, khususnya hospital kerajaan, menonjol dengan lebih 65 penyertaan, menunjukkan kepimpinan dalam kecekapan tenaga. Penyertaan ini mencerminkan komitmen sektor tersebut terhadap kelestarian dan penjimatan tenaga negara.

“Saya kagum dengan kemajuan yang dikecapi pelbagai sektor dalam memacu agenda peralihan tenaga negara kita. Komitmen semua pihak terhadap penerapan serta pembangunan tenaga lestari akan memacu pertumbuhan masa depan negara. Tahniah kepada pemenang Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2024! Sumbangan anda kepada kelestarian tenaga telah menonjolkan kepimpinan Malaysia dalam bidang pengurusan tenaga, kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu” kata Dato` Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
 
Penjimatan tenaga ini penting dalam mencapai agenda kelestarian alam negara. Ia menyumbang kepada pengurangan 238,504.41 tan metrik pelepasan karbon setahun, iaitu bersamaan dengan menanam 5,962,610 pokok. Ini menunjukkan iltizam Malaysia yang berterusan kepada peralihan tenaga yang adil dan mampan, sejajar dengan landasan negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Mendahului senarai pemenang ialah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), yang memperoleh markah tertinggi dan berjaya menduduki tempat pertama dalam Kategori 1 bagi Pengurusan Tenaga Bangunan Besar. Universiti ini telah melebihi sasaran pengurangan tenaga tahunannya sebanyak 3% setahun dengan mencapai pengurangan sebanyak 17.8%, 18.5%, dan 19.3% bagi tahun 2021 hingga 2023.

NEA juga menonjolkan pencapaian dalam kategori lain seperti Hydroponic House, yang merupakan pemenang pertama dalam sub-kategori Residensi Hijau, menetapkan standard yang tinggi dengan landskap halaman tengahnya, pencahayaan semula jadi, serta sistem PV solar 6-kW yang meliputi lebih 34% penggunaan elektriknya. Begitu juga bagi sub-kategori Bangunan Tropika, PETRONAS Leadership Centre di Bangi diberikan penghargaan atas kawasan landskap hijaunya yang luas serta reka bentuk yang mesra alam, termasuk sebuah tasik buatan manusia dan integrasi tenaga solar, yang menyatu dengan landskap.

Dato` Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof menekankan bahawa pencapaian-pencapaian ini menunjukkan komitmen Malaysia kepada kemampanan dan pelepasan karbon sifar bersih. Seiring dengan permintaan tenaga yang meningkat, integrasi sumber boleh baharu dan pengurusan grid yang lebih baik akan menjadi kunci dalam memacu peralihan kepada masa depan tenaga yang lestari.

Anugerah Tenaga Kebangsaan akan terus membuka penyertaan kepada semua sektor sebagai satu pengiktirafan bahawa idea berkaitan kemampanan boleh muncul dari mana-mana sahaja. NEA edisi 2025 yang bakal dibuka untuk penyertaan pada Oktober ini menawarkan satu lagi peluang kepada pelbagai organisasi di Malaysia untuk menonjolkan sumbangan mereka kepada matlamat tenaga negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai Anugerah Tenaga Kebangsaan dan senarai pemenang bagi 2024, sila layari laman web rasmi: https://www.nationalenergyawards.com.my

Sila klik di sini untuk Lampiran Senarai Pemenang

Mengenai Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA)

Diterajui oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), NEA mengiktiraf penerapan konsep dan amalan tenaga mampan oleh organisasi-organisasi Malaysia merentas semua industri dan sektor.

Inisiatif NEA, yang menyokong hasrat Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, menggalakkan penerapan amalan tenaga lestari dan perkongsian pengetahuan tentang kegiatan yang mematuhi piawai tenaga mampan. Ini selari dengan aspirasi Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
 
Mengenai Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC)

MGTC ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang diberi mandat untuk mempercepatkan pertumbuhan hijau, memajukan tindakan iklim dan memupuk gaya hidup hijau dalam kalangan masyarakat.

Berpandukan Dasar Teknologi Hijau Negara (NGTP), Dasar Perubahan Iklim Negara (NCCP), Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030 (GTMP) dan Rancangan Malaysia ke-12, MGTC menjalankan pelbagai program dan inisiatif untuk menyokong para pemegangan kepentingan di semua peringkat.

Menjelang tahun 2030 dan menerusi pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan, MGTC berhasrat untuk membuat pelaburan hijau sebanyak RM100 bilion, mewujudkan sebanyak 230,000 peluang pekerjaan hijau dan membantu Malaysia mencapai pelepasan GHG sifar bersih dengan sasaran seawal tahun 2050.
 
SUMBER: Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Sharifah Syazwani binti Syed Mohamed
Eksekutif - Projek Khas, MGTC
Tel: +60 14-342 8570
Emel: Sharifah.syazwani@mgtc.gov.my 

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.