ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

September 27, 2024 -Jumaat

 
  MALAYSIA MENCIPTA GELOMBANG DI KONGRES ONKOLOGI ANTARABANGSA

Tuesday 17/09/2024



Table

Profesor Dr Serena Nik Zainal menerima Anugerah ESMO yang berprestij untuk Penyelidikan Translasional


BARCELONA, 17 Sept (Bernama) -- Profesor Dr Serena Nik-Zainal, seorang Saintis Malaysia yang menetap di United Kingdom telah menerima Anugerah ESMO yang berprestij untuk Penyelidikan Translasional semasa Majlis Perasmian di Kongres Persatuan Onkologi Perubatan Eropah (ESMO) 2024 yang diadakan baru-baru ini di Barcelona, Sepanyol.

Anugerah ini disampaikan kepada calon-calon yang diiktiraf di peringkat antarabangsa atas pencapaian cemerlang dalam penyelidikan translasional, dan Prof Serena telah menjadi rakyat Malaysia pertama yang menerima anugerah tersebut. Prof Serena diiktiraf atas penyelidikannya yang cemerlang dalam bidang pengenalan mutasi dan usahanya untuk mempercepatkan terjemahan pengenalan mutasi ke dalam domain klinikal.

Prof Serena ialah Profesor Perubatan Genomik dan Bioinformatik, dan Perunding Kehormat dalam Genetik Klinikal di University of Cambridge, UK. Di Pusat Penyelidikan Bioperubatan NIHR Cambridge, beliau mengetuai tema Perubatan Genomik, memajukan keseluruhan bidang genomik kanser melalui kaedah pengiraan dan eksperimen untuk akhirnya mencipta aplikasi klinikal.

Pencapaian lain oleh pakar-pakar dari Malaysia termasuklah pengiktirafan kepada Dr Voon Pei Jye (Pakar Onkologi Perubatan di Hospital Umum Sarawak) dan Profesor Dr Ho Gwo Fuang (Pakar Onkologi Klinikal di Pusat Perubatan Universiti Malaya) yang menjadi pengarang bersama dalam kajian kolorektal metastatik dimana kajian tersebut dibentangkan sebagai pembentangan lisan.
 
Dr Voon juga menjadi pengarang bersama dalam kajian First-in-Human untuk kajian kanser paru-paru (ARTEMIDE-01) serta menjadi pengarang pertama untuk satu lagi kajian kanser paru-paru fasa awal (PolyDamas) yang dibentangkan di 2024 World Conference on Lung Cancer (WCLC) yang dianjurkan di San Diego dari 7 – 10 September. Pengiktirafan pakar onkologi Malaysia ini mengukuhkan lagi keupayaan dan pencapaian Malaysia dalam pembangunan kajian klinikal fasa awal. Terdapat juga kajian klinikal lain yang melibatkan pakar onkologi Malaysia yang dibentangkan semasa sesi pembentangan lisan di WCLC 2024.

Penyelidikan onkologi telah menjadi tumpuan penyelidikan dan pembangunan syarikat farmaseutikal dan bioteknologi antarabangsa, yang mana ia merekodkan kadar pengembangan tertinggi setiap tahun. Di Malaysia, kira-kira 20 peratus daripada lebih 2000 penyelidikan tajaan yang dijalankan adalah dalam bidang onkologi dan Clinical Research Malaysia (CRM), penggerak dan pemudahcara penyelidikan klinikal yang ditaja industri untuk negara, berusaha untuk membawa lebih banyak kajian sedemikian melalui kehadirannya di ESMO 2024. Dengan prinsip panduan CRM iaitu Kemanusiaan, peluang dicipta untuk pesakit kanser di hospital tempatan untuk mengakses terapi kajian baru melalui penyertaan dalam kajian klinikal.
 
Mengenai Clinical Research Malaysia (CRM):

Clinical Research Malaysia (CRM) adalah Organisasi Pengurusan Penyelidikan Dipercayai Global yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2012. Organisasi ini mengutarakan prinsip Kemanusiaan, Kestabilan, dan Kemampanan dalam mengutamakan penyelesaian kajian klinikal global dan membolehkan ekosistem penyelidikan klinikal berkembang maju di negara ini. Pada terasnya, CRM bertekad untuk membawa penyelidikan klinikal yang menangani keperluan pesakit yang tidak dapat dipenuhi oleh ubatan yang sedia ada, dan mengolah penjagaan kesihatan Malaysia.  

CRM menguruskan kajian klinikal yang ditaja dengan aspek Speed, Quality dan Reliability melalui kecemerlangan operasi dan bekerja dengan pihak berkepentingan dengan menyediakan perkhidmatan sokongan penyelidikan klinikal yang menyeluruh. Diperakui dengan kedua-dua ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Kualiti) dan ISO 37001:2016 (Sistem Pengurusan Anti-Rasuah), dan selaras dengan peraturan antarabangsa, nilai teras dan tatakelakuan  organisasi adalah terbenam di seluruh CRM. Kekuatan organisasi ini terletak pada warga CRM di mana visi kami adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penyelidikan klinikal pilihan di rantau Asia. https://clinicalresearch.my
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:        
Nama: Audrey Ooi
Ketua Pembangunan Perniagaan
Tel:  +6012-609 6583 / +603-7931 5566 (sambungan 103)
E-mel: audrey.ooi@clinicalresearch.my


--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.