ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Oktober 01, 2024 -Selasa

 
  TALENTCORP RAIKAN KOHORT PERTAMA VETERAN MYWIRA YANG BERALIH KEPADA KERJAYA SEKTOR SWASTA SERTA MENGALU-ALUKAN RAKAN KORPORAT BAHARU

Monday 30/09/2024



Table
YB Steven Sim Chee Keong, Menteri KESUMA menyampaikan sijil pengiktirafan kepada salah seorang veteran ATM, yang kini bekerja di Micron Memory Malaysia.

PULAU PINANG, 30 Sept (Bernama) -- Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), sebuah agensi strategik dan badan pemikir di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus memberi sokongan terhadap veteran tentera dalam peralihan kerjaya selepas persaraan melalui inisiatif Veteran MyWIRA.
 
Kohort pertama yang bekerjasama dengan Micron Memory Malaysia (Micron) terdiri daripada 25 orang pesara angkatan tentera yang telah menyelesaikan program latihan selama tiga bulan di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) dan Pusat Kecemerlangan Walta (Walta COE). Selepas menamatkan latihan, kesemua peserta diambil bekerja oleh Micron secara sepenuh masa sebagai juruteknik dan penyelia dan memanfaatkan pengalaman dan kemahiran mereka yang terdahulu.
 
Ketika Majlis pengiktirafan kohort pertama ini, Menteri KESUMA, YB Steven Sim Chee Keong, menekankan bahawa inisiatif ini sejajar dengan misi strategik 3K KESUMA: Kebajikan, Kemahiran, dan Keberhasilan.
 
“Saya berbangga melihat 25 pesara tentera yang telah berjaya mendapatkan pekerjaan yang berkualiti dalam sektor swasta melalui inisiatif Veteran MyWIRA. Kejayaan mereka menyerlahkan potensi ini  serta menjadi tauladan yang baik untuk veteran dan Syarikat yang lain untuk turut serta, membantu memudahkan peralihan veteran ATM ke dalam kerjaya yang berkualiti dalam sektor swasta,” katanya.
 
Menteri Sumber Manusia tersebut turut mengumumkan empat lagi buah syarikat baharu yang menyertai inisiatif Veteran MyWIRA iaitu FedEx, Western Digital, Walta COE, dan Hilton Malaysia.
 
Program Veteran MyWIRA yang dilancarkan pada Januari tahun ini, adalah sebuah inisiatif TalentCorp dengan kerjasama PERHEBAT di bawah Kementerian Pertahanan. Inisiatif ini bertujuan menyediakan kerjaya selepas persaraan yang mampan serta memberi peluang bagi veteran ATM meningkatkan kemahiran, dengan penekanan kepada pembangunan kemahiran yang dipacu industri dan pekerjaan dalam sektor swasta.
 
Sewaktu acara tersebut berlangsung, YB Menteri turut menyaksikan pertukaran nota kerjasama antara TalentCorp dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA). Kerjasama ini akan memanfaatkan Geran Advanced Technology Meister Programme (ATMP) NCIA untuk menyokong majikan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang menyertai inisiatif Veteran MyWIRA dengan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan kemahiran Veteran. Micron merupakan syarikat pertama yang menerima geran ATMP untuk penyertaan mereka dalam inisiatif tersebut.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Encik Thomas Mathew, menegaskan komitmen agensi itu untuk meningkatkan taraf hidup veteran melalui inisiatif seperti Veteran MyWIRA. "Dengan memanfaatkan kelengkapan TalentCorp seperti platform pemporfilan MyNext dan menghubungkan veteran dengan rakan industri melalui Majlis MyMAHIR Future Skills Talent Council, kami berhasrat untuk mempermudahkan transisi mereka ke dalam tenaga kerja."
 
Beliau turut berkata, “Kami amat menggalakkan lebih banyak syarikat dari pelbagai industri untuk menawarkan peluang pekerjaan yang sama kepada wira negara kita. Ia membolehkan mereka mendapatkan kerjaya yang berkualiti selepas tamat perkhidmatan dalam bidang  ketenteraan.”
 
Amarjit Sandhu, Timbalan Presiden Korporat, Pemasangan Dan Pengujian Operasi NAND, turut menekankan peranan Micron selaku perintis laluan kerjaya baharu untuk veteran. "Dalam situasi bakat berkemahiran yang semakin berkurangan, Micron membentuk semula kemasukan bakat ke dalam industri semikonduktor. Kami berbangga selaku perintis laluan kerjaya dalam sektor semikonduktor dan mengalu-alukan veteran serta pesara tentera ke dalam tenaga kerja kami. Kami bukan sahaja menghargai jasa mereka tetapi juga memperkaya tim kami dengan pelbagai kemahiran, perspektif, dan pengalaman unik mereka yang tersendiri."
 
"Sebagai sebuah syarikat semikonduktor global terkemuka, kami amat memerlukan dedikasi, kepimpinan, dan ketahanan mereka yang akan menjadi aset yang tidak ternilai untuk memajukan kami dalam membantu membina tempat kerja yang lebih inklusif dan dinamik," tambahnya.
 
Majlis itu turut dihadiri oleh Datuk Azman Bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KESUMA; Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM; dan wakil kanan daripada TalentCorp dan Micron.
 
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.talentcorp.com.my/veteranmywira 

Mengenai Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)
 
Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang memacu strategi bakat Malaysia ke arah menjadi hab bakat yang dinamik. Untuk menyokong pertumbuhan dan kesejahteraan rakyat Malaysia, TalentCorp bekerjasama dengan sektor awam dan swasta dalam inisiatif untuk menarik, memupuk, dan mengekalkan kepakaran terbaik yang diperlukan untuk memenuhi permintaan bakat semasa dan masa hadapan. Pada Mac 2024, TalentCorp diberi mandat selaku badan pemikir strategik KESUMA serta memperluas kerjasama dengan jabatan dan agensi kementerian untuk menangani cabaran yang semakin berkembang dalam tenaga kerja Malaysia.
 
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif TalentCorp, layari
www.talentcorp.com.my ataupun ikuti @TalentCorpMsia di media sosial LinkedIn, Twitter, Facebook dan Instagram. 

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad

SUMBER: Talent Corporation Malaysia Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Ahmad Anis 
Tel: 019-390 5987
Emel: anis.kamil@talentcorp.com.my

Nama: Hajar Umira 
Tel: 018-947 3006
Emel: umira.zaki@talentcorp.com.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.