ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Oktober 09, 2024 -Rabu

 
  RANG UNDANG-UNDANG (RUU) MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN : LANGKAH MAJU UNTUK KEHARMONIAN UMAT

Wednesday 09/10/2024



KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia yang memberi kuasa kepada Negeri-negeri termasuk Wilayah-wilayah Persekutuan untuk mengurus dan mentadbir hal ehwal agama Islam. Perkara ini jelas disebutkan dalam Jadual Kesembilan, Senarai I (Butiran 4K) dan Senarai II Senarai Negeri (Butiran 1). 

Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 hadir dengan tujuan utama untuk memperkukuh institusi kefatwaan di Malaysia, khususnya dalam hal penerbitan fatwa dan hukum Islam. Undang-undang ini dirancang untuk:

· Menyelaras prosedur penerbitan fatwa: Dengan adanya Undang-Undang Mufti yang jelas, fatwa yang dikeluarkan akan lebih konsisten dan dapat dipertanggungjawabkan.
· Meningkatkan kredibiliti institusi kefatwaan: Undang-Undang Mufti ini diharapkan dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti.
· Menjaga kesucian ajaran Islam: Melalui undang-undang ini diharapkan dapat mencegah penyebaran ajaran sesat dan menjaga kesucian ajaran Islam.

Tuduhan RUU Mufti Wilayah adalah autoritarianisme adalah satu tuduhan yang tidak berasas kerana RUU Mufti tidak memberikan kekuasaan mutlak kepada Mufti. Justeru itu, undang-undang ini mengatur mekanisme semak dan imbang yang melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan sesuai dengan kepakaran masing-masing. Tujuan utama RUU Mufti Wilayah ini adalah untuk memberikan panduan yang jelas dalam penerbitan fatwa, bukan untuk membatasi hak kebebasan yang sedia ada.

Selain itu, dalam konteks Rang Undang-Undang Mufti Wilayah Persekutuan, ia tidak akan mengikat jabatan fatwa di peringkat negeri. Secara umumnya jika negeri-negeri berkenaan menerima fatwa tersebut maka ia perlu dibawa di dalam muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri. Jika semua ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri bersetuju dengan fatwa tersebut, maka fatwa tersebut akan dipersembah kepada Raja bagi negeri-negeri berkenaan untuk memohon perkenan dan seterusnya diwartakan.

Dalam hal ini, jika Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah, Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan setiap negeri-negeri bagi mengikuti RUU ini kerana Islam ialah urusan negeri dan hal berkaitan Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri. Hal ini jelas disebut di bawah Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(2) ini, antara lain, menyatakan dengan jelas sekali bahawa, "Di dalam tiap-tiap negeri, selain negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai ketua agama Islam di negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan negeri itu, dan tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat."

Oleh kerana Wilayah Persekutuan itu bukan sebuah negeri, ia tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri. Segala undang-undang bagi Wilayah Persekutuan adalah dibuat oleh Parlimen dan Parlimen bertindak sebagai badan perundangan bagi Wilayah Persekutuan. Kuasa dan bidang kuasa Parlimen berkaitan Wilayah Persekutuan, termasuklah dalam hal gubalan undang-undang berkaitan Islam.

Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 3(5) menyatakan, antara lain, "...dan bagi maksud ini (iaitu bagi maksud Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam) Parlimen boleh menerusi undang-undang membuat peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam".

Lantaran itu, adalah jelas dalam Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan ini bahawa Kerajaan Persekutuan juga mempunyai peranan tertentu yang perlu dimainkan dalam hal berkaitan Islam bagi maksud Wilayah Persekutuan. Parlimen menggubal akta berkaitan Islam, dari segi perundangan dan pentadbirannya Islam di Wilayah Persekutuan adalah di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong.

Bagi maksud gubalan undang-undang, hal berkaitan Islam bagi tujuan Wilayah Persekutuan ada disenaraikan dalam Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan pada Seksyen 4(k), yang menyatakan, bahawa Parlimen mempunyai kuasa perundangan berkaitan "Undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan, termasuk (k) Penentuan hukum syarak dan undang-undang diri yang lain bagi maksud undang-undang Persekutuan;". Dalam keadaan ini, bagi urusan berkaitan pentadbiran dan perundangan Islam, termasuk juga kemajuan dan pendidikan Islam dalam Wilayah Persekutuan adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pelaksanaan peranan dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong, Wilayah Persekutuan mempunyai susunan pentadbiran seumpama di negeri-negeri. Sebuah Majlis Agama Islam, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 3(5), perlu diwujudkan bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong. Dengan ini jelas bahawa kuasa fatwa dan undang-undang bukan terhenti di Mufti sahaja bahkan, ia perlu perkenan dan persetujuan Yang di-Pertuan Agong. Sementara itu, Mufti juga terikat dengan Akta 505 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 bahagian 3 iaitu “Tiada pernyataan yang dibuat oleh Mufti boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika dan sehingga pernyataan itu disiarkan dalam Warta menurut subseksyen (1).”  Dari segi undang-undang, hanya fatwa yang diwartakan sahaja yang dianggap mengikat manakala pandangan atau kenyataan bertulis oleh mufti tidak mengikat dari segi undang-undang walaupun dibuat di mahkamah.

Kesimpulannya, Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah dibuat bagi menjamin kredibiliti dan keabsahan pengeluaran fatwa yang hanya digunakan di Wilayah Persekutuan sahaja. Andai ada negeri-negeri yang mempunyai Raja ingin melaksanakan peruntukan dalam RUU Mufti Wilayah ini, maka proses muzakarah di Jabatan Fatwa peringkat negeri perlu dilaksanakan terlebih dahulu dan perlu perkenan Raja bagi negeri tersebut kerana Raja negeri merupakan Ketua Agama bagi negeri tersebut. RUU Mufti Wilayah merupakan satu langkah penting dalam memartabatkan institusi keagamaan dan memberikan garis panduan yang jelas dalam pelaksanaan hukum syariah di negara kita. Dalam menghadapi cabaran masa kini, adalah penting untuk kita memastikan bahawa peranan mufti dapat dilaksanakan dengan berkesan, berlandaskan kepada prinsip keadilan dan kesejahteraan masyarakat.
 
Sekian, terima kasih,
 
YBhg. Prof Madya Dato’ Dr. Mohamad Azam Mohamed Adil,
Ketua Pengarah,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
 
9 Oktober 2024 bersamaan 6 Rabiulakhir 1446H

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail 
Tel: 016-219 5345 
Emel: nikhasnah@ikim.gov.my

Nama: En. Sharuzi bin Ismail 
Tel: 010-4026 6200 
Emel: jie@ikim.gov.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.