ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Oktober 11, 2024 -Jumaat

 
  HOSPITAL UMUM SARAWAK MENGUKUHKAN KEDUDUKANNYA DALAM PUSAT PENYELIDIKAN KLINIKAL FASA AWAL DI PERINGKAT GLOBAL

Thursday 10/10/2024



Table

Pada awal Mei tahun ini, Hospital Umum Sarawak telah menerima anugerah sebagai Pusat Kajian Terbaik di Kementerian Kesihatan untuk Penyelidikan Klinikal Ditaja Industri


KUCHING, 10 Okt (Bernama) -- Hospital Umum Sarawak (HUS), bersama dengan Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) di HUS, telah berjaya mencipta nama melalui beberapa pencapaian penting dalam penyelidikan klinikal fasa awal, sejurus memposisikan HUS sebagai pemain utama dalam landskap klinikal First-in-Human (FIH) global. Pencapaian ini juga telah mengukuhkan reputasi HUS sebagai pesaing serantau dalam penyelidikan fasa awal, serta kemampuannya dalam menjalankan kajian tajaan antarabangsa dengan cemerlang.

Antara pencapaian terkini ialah penglibatan peserta kajian pertama di rantau Asia Pasifik dari HUS, untuk rawatan baharu bagi Systemic Lupus Erythematosus (SLE). SLE ialah keadaan autoimun yang menjejaskan pelbagai organ seperti sendi, kulit, otak, paru-paru, buah pinggang dan saluran darah. Kajian klinikal fasa pertama SLE yang ditaja oleh industri ini diketuai oleh Pakar Perunding Reumatologi HUS, Dr Teh Cheng Lay.

Hospital Umum Sarawak juga merupakan pusat pertama di Malaysia yang menjalankan kajian klinikal FIH. Pada tahun 2023, HUS telah menjalankan kajian klinikal FIH yang melibatkan terapi kelas baru bagi pesakit dengan tumor pepejal (tahap yang lanjut), dan diketuai oleh Pakar Perunding Onkologi Perubatan, Dr Voon Pei Jye. Penemuan kajian ini telah dibentangkan di Persidangan Antarabangsa AACR-NCI-EORTC di Boston, menjadikan Dr Voon penyelidik Malaysia pertama yang terlibat sebagai pengarang bersama dalam kajian klinikal FIH global, sekaligus meletakkan Malaysia setaraf dengan institut-institut kanser terkemuka dunia. Dr Voon kini tengah menjalankan satu lagi kajian FIH untuk tumor pepejal yang telah berjaya mendaftarkan peserta kajian pertama dari Malaysia pada  awal Julai tahun ini.

Pencapaian penyelidikan fasa awal di Hospital Umum Sarawak telah bermula sejak 2021, apabila Pakar Perunding Hematologi, Dr Chew Lee Ping, diiktiraf sebagai Global  Recruiter pertama bagi satu kajian First-in-Patient. Sejak itu, keupayaan penyelidikan klinikal fasa awal negara terus berkembang dengan mantap. Titik asal pencapaian  bermula dengan pelengkapan Projek Realisasi Fasa 1 oleh Clinical Research Malaysia (CRM), yang membolehkan pembangunan ekosistem penyelidikan klinikal fasa awal negara, termasuk pembangunan garis panduan dan keupayaan sumber manusia, serta penubuhan kemudahan Fasa 1 di CRC HUS.

Kini tiga kajian onkologi FIH yang ditaja syarikat-syarikat farmaseutikal global multinasional sedang dijadualkan untuk dijalankan di HUS, dengan tumpuan pada rawatan tumor pepejal, kanser paru-paru bukan-sel kecil dan kanser prostat. Dengan pelbagai pencapaian di bawah namanya, Hospital Umum Sarawak kekal sebagai salah satu pusat penyelidikan klinikal utama negara yang menyumbang kepada penemuan ubatan dan terapi baharu di arena global.

 
Mengenai Clinical Research Malaysia (CRM):  
Clinical Research Malaysia (CRM) adalah Organisasi Pengurusan Penyelidikan Dipercayai Global yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2012. Organisasi ini mengutarakan prinsip Kemanusiaan, Kestabilan, dan Kemampanan dalam mengutamakan penyelesaian kajian klinikal global dan membolehkan ekosistem penyelidikan klinikal berkembang maju di negara ini. Pada terasnya, CRM bertekad untuk membawa penyelidikan klinikal yang menangani keperluan pesakit yang tidak dapat dipenuhi oleh ubatan yang sedia ada, dan mengolah penjagaan kesihatan Malaysia.    

CRM menguruskan kajian klinikal yang ditaja dengan aspek Speed, Quality dan Reliability melalui kecemerlangan operasi dan bekerja dengan pihak berkepentingan dengan menyediakan perkhidmatan sokongan penyelidikan klinikal yang menyeluruh. Diperakui dengan kedua-dua ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Kualiti) dan ISO 37001:2016 (Sistem Pengurusan Anti-Rasuah), dan selaras dengan peraturan antarabangsa, nilai teras dan tatakelakuan  organisasi adalah terbenam di seluruh CRM. Kekuatan organisasi ini terletak pada warga CRM di mana visi kami adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penyelidikan klinikal pilihan di rantau Asia. https://clinicalresearch.my  
 

SUMBER : Clinical Research Malaysia (CRM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama : Siti Nazatul Tokshim 
Eksekutif Komunikasi Korporat            
E-mel : siti.nazatul@clinicalresearch.my  
Tel : +6019-784 2080 / +603-7931 5566 (ext. 123)
 
--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.