ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Oktober 12, 2024 -Sabtu

 
  KURSUS KEFAHAMAN DAN BIMBINGAN PENGURUSAN HARTA KELUARGA ISLAM TAHUN 2024

Thursday 10/10/2024



KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) --  Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menganjurkan Kursus Kefahaman dan Bimbingan Pengurusan Harta Keluarga Islam Tahun 2024 pada 8 dan 9 Oktober 2024 di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Program ini merupakan salah satu usaha IKIM untuk menyebarkan kefahaman dan bimbingan kepada masyarakat dalam menguruskan harta keluarga. Antara kepentingan kursus ini dijalankan adalah untuk memberi kefahaman kepada peserta mengenai setiap instrumen pengurusan harta yang sesuai bagi pengagihan harta yang hendak dilaksanakan. Ini termasuk penyediaan dokumentasi hibah dan wasiat yang sah dari aspek hukum syarak dan undang-undang.

Program yang dijalankan selama dua hari ini bermula dengan sesi “Pengurusan Harta Keluarga Islam” oleh YBrs. Tuan Mohd Syafiq bin Norizan, Peguam Syarie Syafiq Norizan & Associates dan dikendalikan oleh Puan Suzana binti Md Samsudi, Felow Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), IKIM. Antara penekanan dalam sesi ini ialah pengurusan harta keluarga amat penting dilaksanakan ketika pemilik harta masih hidup bagi memastikan pewaris mendapat hak daripada harta tersebut.

Sesi kedua diteruskan dengan perbincangan yang bertajuk, “Hibah dan Wasiat dari Aspek Hukum-Hakam” yang disampaikan oleh YBrs. Datin Dr. Noor Lizza binti Said, Pensyarah Kanan merangkap Penolong Dekan (Kualiti dan Strategi) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Sesi ini dikendalikan oleh Cik Wan Roslili binti Abdul Majid, Felow Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (SYARAK). Datin Dr. Noor Lizza telah berkongsikan pengetahuan asas mengenai rukun-rukun hibah dan wasiat yang perlu disempurnakan agar pelaksanaannya sah dan diterima di sisi syarak.

Sesi ketiga bertajuk “Dokumentasi Hibah dan Wasiat” telah disampaikan oleh YBrs. Tuan Mohd Faiz bin Adnan, Peguam Syarie Tetuan Faiz Adnan & Associates. Sesi ini juga dikendalikan oleh Puan Suzana binti Md Samsudi, selaku penyelaras bersama dalam program ini. Tuan Mohd Faiz telah berkongsikan kepada peserta berkenaan prosedur dan penyediaan dokumentasi  hibah dan wasiat serta situasi kes-kes yang pernah beliau kendalikan. Para peserta juga diberi peluang untuk bertanya secara langsung kepada Tuan Mohd Faiz, yang merupakan pengamal perundangan berpengalaman dalam bidang ini.

Sesi pada hari kedua yang dikendalikan oleh Cik Nur Shakirah binti Mohamed Yasin, Pembantu Penyelidik IKIM bertajuk “Harta Sepencarian: Prosedur di Mahkamah Syariah” telah disampaikan oleh YAA Tuan Haji Mohammad Taifor bin Ahmad Rusdi. Beliau merupakan Pengerusi Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perak. YAA Tuan Haji Mohammad Taifor telah menghuraikan prosiding harta sepencarian di mahkamah syariah dan kes-kes yang pernah dibicarakan di hadapan beliau sepanjang menjadi hakim di mahkamah syariah Negeri Perak.

Sesi kelima telah dikendalikan oleh Puan Nurul Suhaida binti Ibrahim yang merupakan Pembantu Penyelidik IKIM dengan tajuk “Pengenalan kepada Faraid.” Sesi ini telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Mohd Zamro bin Muda, Timbalan Dekan Prasiswazah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau menegaskan keperluan pengetahuan berkenaan pengurusan harta pusaka dan faraid kerana setiap Muslim berkemungkinan menjadi waris pada bila-bila masa. Oleh yang demikian, ilmu pengurusan harta tersebut dapat mengurangkan risiko kelewatan dalam pengagihan harta pusaka.

Sesi terakhir telah dikendalikan oleh Cik Wan Roslili binti Abdul Majid dengan tajuk, “Pentadbiran Harta Pusaka Kecil di Malaysia” yang telah disampaikan oleh YBrs. Tuan Baharuddin bin Aziz, Pengarah Bahagian Pusaka, Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Galian, Tanah dan Persekutuan. Beliau berkongsi mengenai pindaan Akta98 terhadap bidang kuasa peruntukan dan prosedur di peringkat persekutuan bagi pengurusan harta pusaka si mati.

Program kursus ini telah mencapai matlamat, dengan kehadiran seramai 65 orang peserta yang terdiri daripada orang awam, peguam syarie dan para profesional dari pelbagai organisasi. Buat julung kalinya, kursus IKIM telah mendapat tajaan dari Maybank Islamic Berhad sebagai rakan sinergi. Setiap peserta kursus juga akan menerima satu set Siri Infografik Hifz al-Mal (Pengurusan Harta Keluarga Islam) yang terdiri daripada enam buah buku yang bertajuk “Hibah”, “Wasiat”, “Harta Sepencarian”, “Faraid”, “Pengurusan Harta Keluarga Islam” dan “Pentadbiran Harta Pusaka Kecil di Malaysia.”

Sila klik di sini untuk brosur

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail 
Tel: 016-219 5345 
Emel: nikhasnah@ikim.gov.my

Nama: En. Sharuzi bin Ismail 
Tel: 010-4026 6200 
Emel: jie@ikim.gov.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.