ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Oktober 18, 2024 -Jumaat

 
  PENGUMUMAN DAN PENAWARAN KUOTA TARIF GALAKAN (FIT 2.0) SECARA E-BIDAAN TAHUN 2025

Thursday 17/10/2024



PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia telah mengumumkan permohonan kuota tarif galakan (FiT) sebanyak 190 MW bagi tahun 2025 selaras dengan ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusuf semasa pelancaran 6th International Sustainable Energy Summit  (ISES) 2024 pada 20 Ogos 2024.
 
Permohonan kuota FiT boleh dimohon secara e-bidaan dalam talian melalui sistem e-FiT bermula 15 Januari 2025 sehingga 19 Februari 2025 yang merangkumi pecahan kuota sebanyak 50 MW bagi biogas, 40 MW bagi biojisim dan 100 MW bagi hidrokuasa kecil.
 
SEDA Malaysia telah menambahbaik kaedah permohonan kuota FiT sedia ada dan memperkenalkan FiT 2.0 melalui konsep kadar tarif 2-Fasa. SEDA Malaysia telah menetapkan kadar FiT bagi Fasa-Pertama untuk 10 tahun pertama. Manakala, kadar FiT bagi Fasa-Kedua akan dibida oleh syarikat-syarikat yang layak berdasarkan kadar tarif floor dan ceiling yang telah ditetapkan oleh SEDA Malaysia untuk baki 11 tahun seterusnya sehingga tamat tempoh perjanjian pembelian kuasa tenaga boleh baharu (REPPA).
 
Satu sesi taklimat turut diadakan kepada pemain industri dan pemegang taruh hari ini bagi memberi gambaran dan penjelasan yang lebih terperinci mengenai penawaran kuota FiT 2.0 ini.
 
Mekanisme FiT telah diperkenalkan pada tahun 2011 bagi menggalakkan penjanaan tenaga melalui sumber boleh baharu. Penawaran kuota FiT 2.0 bagi tahun 2025 ini dijangka berupaya menjana pelaburan sebanyak RM2.1 billion dan mewujudkan sebanyak 4,514 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung dalam industri tenaga boleh baharu. 
 
Projek-projek tenaga boleh baharu ini dijangka boleh menjana dan membekalkan elektrik mulai tahun 2028 hingga 2030. Langkah ini juga adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara khususnya dalam pembangunan sektor tenaga boleh baharu di samping menyokong sasaran 40% menjelang tahun 2035 dan 70% menjelang tahun 2050.
 
Sejak mekanisme FiT diperkenalkan pada tahun 2011, sejumlah 1,271.69 MW kuota FiT telah diluluskan bagi kesemua sumber boleh baharu yang melibatkan sebanyak 9,644 projek di Semenanjung Malaysia.
 
Maklumat lanjut mengenai permohonan kuota FiT 2.0 bagi tahun 2025 boleh dilayari menerusi portal SEDA Malaysia di www.seda.gov.my. 

TENTANG SEDA MALAYSIA

SEDA Malaysia adalah sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). SEDA Malaysia telah ditubuhkan pada 1 September 2011 di bawah Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 [Akta 726] dengan tujuan utama memacu agenda tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga negara.  

SUMBER : Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : En. Roslan Ali@Hassan
Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi Strategik
Tel : 012-377 6983
Emel : sc@seda.gov.my / roslan@seda.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.