TANJONG MALIM, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) dan Persatuan Solidariti Seni budaya dan Warisan Malaysia dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menganjurkan Pementasan Karya Agung Teater Tradisional Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ pada 9 & 10 November 2024 (Sabtu & Ahad) pukul 8.30 malam bertempat di Dewan Tengku Canselor (DTC) Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Perak.
JKKN mengangkat Pementasan Teater Tradisional Mak Yong yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Karya Agung Dunia di
3rd Proclamation of Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity pada 25 November 2005. Tujuan pementasan ini juga adalah untuk melestarikan kesenian tradisional yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO, menyemarakkan seni teater tradisional kepada generasi muda, memelihara warisan budaya Melayu serta menggalakkan pengiat seni mempersembahkan bakat, penyelidikan dan kajian lebih lanjut mengenai teater tradisional.
Pementasan teater Tradisional Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ ini juga untuk menyemarakkan kembali teater tradisional Mak Yong kepada masyarakat, terutama sekali kepada generasi muda. Pementasan Karya Agung ini bukan sekadar untuk menyampaikan hiburan semata-mata kepada penonton, malah ia juga adalah salah satu alat pendidikan yang boleh mengetengahkan nilai-nilai madani yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan bermasyarakat.
Melalui pementasan Mak Yong ini pelbagai elemen yang menjadikan ia sebuah Karya Agung yang menyelitkan unsur budaya, tradisi, pengajaran, pembelajaran serta tersurat dan tersirat unsur nasihat. Dalam pementasan teater Mak Yong ini nilai yang ditekankan adalah kebijaksanaan, keadilan, kesetiaan, pengorbanan, keberanian dan ketabahan seseorang. Karya ini juga adalah satu pementasan yang menggabungkan elemen tradisional dan kebudayaan Melayu. Ia juga adalah teater yang unik dan penuh dengan nilai-nilai estetika serta sejarah yang tinggi. Teater Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ adalah antara karya yang cukup terkenal dalam dunia pementasan teater dan seringkali menjadi persembahan warisan budaya Melayu yang kaya dengan nilai-nilai murni.
Kisah Mak Yong bermula dengan pelayaran Raja Tangkai Hati yang ingin pulang menziarahi ayahandanya di negeri Sekota Batu bersama-sama isterinya iaitu Puteri Cempaka Emas bersama dua orang anaknya iaitu Malim Bisnu dan Malim Bongsu. Namun begitu, pelayaran mereka tergendala akibat kuasa Puteri Bota yang menimbulkan sebuah beting mengakibatkan kapal itu berhenti. Hal demikian, terjadi akibat Puteri Bota yang menyimpan dendam terhadap ‘Raja Tangkai Hati’ yang tidak memperisterikannya. Disebabkan itu, Puteri Bota berniat jahat bertukar menjadi seekor kumbang lalu terbang ke atas kapal untuk menipu helah Raja Tangkai Hati sekeluarga.
Apakah pengakhiran kisah Raja Tangkai Hati ini? Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan secara langsung dari Dewan Tengku Canselor (DTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Perak. Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai menyaksikan Mak Yong “Raja Tangkai Hati” pada hujung minggu ini.
Maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, boleh hubungi JKKN dan melayari laman sesawang JKKN iaitu
www.jkkn.gov.my ataupun boleh layari
facebook JKKN melalui pautan
www.facebook.com/mysenibudaya.
Dikeluarkan Oleh:Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 03-2614 8200
Laman Sesawang: www.jkkn.gov.my E-mel: ukk@jkkn.gov.my
Platform Media Sosial Rasmi JKKN:
Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & YouTube: @mysenibudaya
--BERNAMA