ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

November 27, 2024 -Rabu

 
  PROGRAM QE 5.0: PROGRAM BAHARU UNTUK PENINGKATAN PRODUKTIVITI DAN KEMAMPANAN ORGANISASI

Monday 11/11/2024



Table

Gambar: Ketua Pengarah MPC bersama-sama peserta yang hadir di Majlis Pra Peluncuran Program QE 5.0.


PETALING JAYA, 11 Nov (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan sukacitanya mengumumkan pra-pelancaran Program QE 5.0, sebuah inisiatif inovatif yang dirancang untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti dalam sektor awam dan swasta di Malaysia, sambil menyumbang kepada penjimatan kos serta memberikan nilai tambah yang signifikan kepada organisasi. Majlis pra-pelancaran yang berlangsung di Dewan Produktiviti MPC, Petaling Jaya hari ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pemain industri mengenai manfaat program ini dalam memenuhi tuntutan global dan keperluan untuk mengoptimumkan operasi.
 
Sejak 1998, MPC telah menerajui pelaksanaan program QE sebagai agensi pertama yang memberi pengiktirafan kepada organisasi dan individu dalam membangunkan amalan persekitaran kerja berkualiti. Program QE 5.0, atau Quality Environment 5.0, merupakan penambahbaikan QE yang melalui lima tahap utama. Bermula dengan Revolusi Pertama yang memperkenalkan asas 5S bagi pengurusan tempat kerja yang teratur, setiap tahap seterusnya telah membawa pembaharuan yang menyeluruh: Revolusi Kedua memperkenalkan pengurusan visual untuk memudahkan pemantauan, Revolusi Ketiga menekankan kecekapan proses untuk mengurangkan pembaziran, manakala Revolusi Keempat memperkenalkan teknologi dan pengurusan Lean bagi mempercepatkan operasi. Akhirnya, Revolusi Kelima menggabungkan semua elemen terdahulu bersama kemampanan melalui pembangunan ESG (Environmental, Social, and Governance), menjadikan QE 5.0 sebuah program yang komprehensif dan lestari.
 
Menurut Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail, “Pelancaran QE 5.0 adalah inisiatif strategik untuk meningkatkan produktiviti industri Malaysia dalam ekonomi global. Program ini memfokuskan penambahbaikan operasi dan diunjurkan untuk meningkatkan produktiviti sehingga 25%, menjimatkan kos operasi sebanyak 20%, serta memberi nilai tambah melalui amalan pengurusan yang berdaya tahan dan efisien.”
 
Majlis pra-pelancaran ini turut merangkumi sesi penerangan mengenai rangka kerja QE 5.0 serta manfaatnya untuk organisasi yang ingin meningkatkan kecekapan melalui pendekatan yang berkualiti dan inovatif. Sesi Interaksi membolehkan para peserta bertukar pandangan dengan pakar industri serta membina jaringan profesional yang berpotensi.
 
Program QE 5.0 turut menyediakan QE5.0 Apps, sebuah aplikasi dalam talian yang memudahkan proses pendaftaran, penilaian, dan khidmat nasihat untuk pensijilan. Aplikasi ini menawarkan akses kepada maklumat, panduan digital, serta perkhidmatan khidmat nasihat yang membantu organisasi dalam menilai prestasi berdasarkan kriteria terkini.
 
Program QE 5.0 dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada pertengahan Januari 2025, dengan impak positif yang besar kepada sektor industri melalui peningkatan produktiviti, penjimatan kos, dan peningkatan nilai korporat yang mampan.
 
Untuk maklumat lanjut mengenai Program QE 5.0, sila hubungi MPC melalui emel di QE5.0_dgo@mpc.gov.my.
 
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 

SUMBER : Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:

Nama: Nik Haneez Amizan Nik Rosdi
Tel: 019-718 1804 
E-mel:  nikhaneez@mpc.gov.my
 
Nama: Zaki b. Jaafar
Tel: 012-269 4835 
E-mel:  zeck@mpc.gov.my  

--BERNAMA


 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.