|
|
|
|
|
|
PCG MENCATATKAN LAT SEBANYAK RM762 JUTA PADA 3Q 2024 DISEBABKAN KERUGIAN PERTUKARAN MATA WANG ASING YANG TIDAK DIREALISASI
Wednesday 20/11/2024
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail
· Pendapatan 3Q 2024 sebanyak RM8.0 bilion · Pengerang Petrochemical Complex telah menyelesaikan ujian prestasi · Terma harga stok suapan etana dan propana dikekalkan untuk tempoh 5 tahun KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan Kerugian Selepas Cukai (LAT) sebanyak RM762 juta untuk suku ketiga Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2024 (3Q 2024). LAT tersebut kebanyakannya didorong oleh kerugian pertukaran mata wang asing yang tidak direalisasi atas penilaian semula hutang di Pengerang Petrochemical Company Sdn. Bhd. (PPC) dan penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada PPC. Pada suku tersebut, Dolar AS (USD) merosot berbanding Ringgit Malaysia (MYR) daripada 4.721 pada 30 Jun 2024 kepada 4.107 pada 30 September 2024. Keuntungan Selepas Cukai (PAT) Kumpulan dianggarkan pada RM352 juta, jika tidak termasuk kesan kerugian pertukaran mata wang asing, PPC ialah syarikat usaha sama 50:50 antara PCG dan Saudi Aramco yang terletak di Pengerang Integrated Complex (PIC) di Johor. Kompleks ini terdiri daripada empat loji polimer dan satu loji glikol dengan kapasiti reka bentuk secara keseluruhan sebanyak 3.0 juta tan metrik setahun. Fasiliti-fasiliti tersebut telah menyelesaikan ujian prestasi pada 3Q 2024, lebih awal dari operasi komersialnya yang disasarkan pada akhir tahun 2024. PPC ialah syarikat mata wang fungsian USD dan kelemahan USD berbanding MYR baru-baru ini telah mengakibatkan kerugian pertukaran mata wang asing yang tidak direalisasi setelah penilaian semula hutang berjumlah RM536 juta, yang direkodkan oleh PCG. Selain itu, PCG telah menyediakan pinjaman pemegang saham yang didominasikan dalam USD kepada PPC yang juga terdedah kepada pertukaran mata wang asing yang tidak direalisasi berjumlah RM492 juta, disebabkan pergerakan pertukaran mata wang asing yang tidak menguntungkan. Jumlah kerugian pertukaran mata wang asing pada 3Q 2024 ialah RM1.1 bilion dan ini termasuk kerugian pertukaran mata wang asing daripada operasi- operasi lain berjumlah RM86 juta. Dari segi prestasi operasi, segmen komoditi Kumpulan iaitu Olefin & Derivatif (O&D) dan Baja & Metanol (F&M) telah merekodkan peningkatan pada 3Q 2024 mencapai kadar penggunaan loji (PU) purata sebanyak 92%, yang menyumbangkan kepada peningkatan dalam jumlah pengeluaran. Jumlah jualan O&D juga didorong oleh sumbangan volum daripada PPC. Walau bagaimanapun, segmen kimia khusus, telah mengalami sedikit penurunan dalam pengeluaran dan jualan akibat permintaan yang rendah disebabkan ketersediaan produk yang lebih tinggi. Berbanding 2Q 2024, pendapatan Kumpulan meningkat 3% kepada RM8.0 bilion berikutan jumlah jualan dan harga purata produk yang direalisasikan yang lebih tinggi.
Dalam 3Q 2024, pasaran komoditi bahan kimia secara umumnya bercampur berikutan faktor- faktor seperti inflasi yang berterusan, peralihan bekalan-permintaan bermusim dan pergerakan stok suapan. Harga urea dan mono-etilena glikol disokong oleh bekalan yang terhad manakala permintaan hiliran yang lemah menekan harga metanol dan poliolefin. Industri terus berhadapan dengan kesan pertumbuhan ekonomi China yang lebih perlahan dari jangkaan, manakala pemacu permintaan utama yang lemah telah mengekalkan harga dan penyebaran pada paras rendah.
Sepanjang tempoh kumulatif 9 bulan pada tahun kewangan berakhir 2024 (YTD 3Q 2024) pendapatan Kumpulan meningkat 8% tahun ke tahun kepada RM23.2 bilion berbanding 2023, sebahagian besarnya disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih tinggi termasuk sumbangan daripada PPC. Walau bagaimanapun, Perolehan Sebelum Faedah, Pencukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) menurun 10% tahun ke tahun kepada RM2.8 bilion disebabkan oleh pendapatan negatif yang direkodkan daripada PPC berpunca dari kerugian pertukaran mata wang asing berikutan penilaian semula hutang serta kos operasi yang lebih tinggi. PAT berkurang 53% tahun ke tahun kepada RM750 juta. PAT Kumpulan dianggarkan pada RM1.7 bilion jika tidak termasuk kesan kerugian pertukaran mata wang asing.
Sorotan Utama 3Q 2024 Berbanding 2Q 2024. · Pendapatan meningkat 3% kepada RM8.0 (2Q 2024: RM7.7 bilion) berikutan jumlah jualan yang lebih tinggi. · EBITDA untuk suku menurun 50% kepada RM554 juta (2Q 2024: RM1.1 bilion) disebabkan oleh kerugian pertukaran mata wang asing yang tidak direalisasi atas penilaian semula hutang dan kos operasi loji yang lebih tinggi daripada PPC. Margin EBITDA pula menurun kepada 7% (2Q 2024: 14%). · LAT adalah pada RM762 juta (2Q 2024: PAT RM809 juta) terutamanya disebabkan oleh EBITDA yang lebih rendah dan kerugian pertukaran mata wang asing yang belum direalisasikan berikutan penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada PPC. · Kadar penggunaan loji meningkat kepada 92% (2Q 2024: 89%) pada suku tersebut yang turut menyumbang kepada peningkatan dalam pengeluaran dan jumlah jualan bahan kimia komoditi. Ringkasan kewangan perbandingan 3Q 2024: | 2Q 2024 | 3Q 2024 | Pendapatan (RM juta) | 7,728 | 7,986 | EBITDA (RM juta) | 1,110 | 554 | EBITDA diselaraskan, tidak termasuk kesan pertukaran mata wang asing (RM juta) | 1,140 | 1,104 | Margin EBITDA (%) | 14.4 | 6.9 | Margin EBITDA diselaraskan, tidak termasuk kesan pertukaran mata wang asing (%) | 14.8 | 13.8 | PAT (RM juta) | 809 | (762) | PAT diselaraskan, tidak termasuk kesan pertukaran mata wang asing (RM juta) | 871 | 352 |
Mengulas mengenai prestasi Kumpulan, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata “Prestasi kewangan kami untuk suku tersebut amat terkesan oleh kemerosotan USD berbanding MYR terutamanya daripada pelaburan kami di PPC. Dari segi operasi, prestasi perniagaan teras kami bertambah baik pada 3Q 2024 apabila kami merekodkan penggunaan loji yang lebih tinggi di operasi kami di Malaysia, menyumbang kepada jumlah jualan yang lebih tinggi".
“Kami telah menyelesaikan semua Ujian Prestasi di unit petrokimia kami di PPC dan kini sedang bersiap sedia untuk operasi komersial, yang disasarkan pada akhir tahun ini. Ini merupakan pencapaian penting bagi kami, dalam menyampaikan sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mengukuhkan perniagaan bahan kimia asas kami dan mempelbagaikan secara terpilih kepada derivatif dan bahan kimia khusus. Molekul yang tersedia daripada rantaian berasaskan nafta akan membolehkan kami mengembangkan tawaran menjangkaui portfolio semasa kami, termasuk produk yang lebih khusus dan inovatif di peringkat hiliran. Walau bagaimanapun, boleh diramalkan bahawa permulaan aset bermodal intensif yang berskala besar ini akan memberi kesan material kepada pendapatan Kumpulan, termasuk kesan pertukaran mata wang pada suku tersebut. Jika USD terus meningkat pada 4Q 2024, kami akan menjangka pembalikan separa terhadap kerugian pertukaran mata wang asing yang tidak direalisasi."
Dari segi pasaran, segmen O&D menghadapi sedikit kelemahan disebabkan permintaan hiliran bermusim yang lemah, walaupun terdapat penambahan bekalan daripada kapasiti baharu Asia Timur Laut. F&M semakin stabil kerana pembekal-pembekal utama menumpukan untuk memenuhi kontrak berpenggal, manakala dalam segmen kimia khusus, kami mengekalkan prospek berhati-hati memandangkan ketidaktentuan berterusan dalam persekitaran makroekonomi," akhiri Mazuin.
Kumpulan juga telah mengemas kini bekalan bahan stok suapan gas etana dan propana kepada PETRONAS Chemicals Olefins Sdn. Bhd. (PC Olefins). PETRONAS Chemicals Marketing (Labuan) Ltd. (PCML), anak syarikat milik penuh PCG dan PETRONAS Energy and Gas Trading Sdn. Bhd. (PEGT), anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) telah mencapai persetujuan bersama untuk terma harga dikekalkan selama tempoh 5 tahun bermula 1 Januari 2025, seperti yang dinyatakan dalam perjanjian semasa. PC Olefins menghasilkan etilena dan propilena, yang digunakan sebagai stok suapan untuk pengeluaran polimer dan derivatif kimia di dalam segmen O&D Kumpulan.
Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad
PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Ia mengendalikan 19 tapak pengeluaran bertaraf dunia di Malaysia, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 15.4 juta tan metrik setahun (mtpa), aktiviti perniagaan utama PCG melibatkan pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol serta bahan kimia dan produk derivatif asas yang lain. Disenaraikan di Bursa Malaysia dengan lebih daripada tiga dekad pengalaman dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia. PCG komited untuk memastikan amalan perniagaannya selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi amalan Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (EESG). PCG kini disenaraikan dalam Indeks FTSE4 Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Indeks Dunia Kelestarian™ Dow Jones. Maklumat lanjut berkenaan PCG boleh didapati di www.petronaschemicals.com.my SUMBER: PETRONAS Chemicals Group Berhad
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: Nama: Yogeswari Thangavelu Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Komunikasi Strategik & Pentadbiran PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG) Tel: +(603) 2331 5000 (GL), +(603) 23926434 (DL) M : (6) 017 2000919 E-mel : yogeswari.thangavel@petronas.com
--BERNAMA |
|
|
|
|
|